Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 24 Aug 1933, p.8

Editorial.

Tolong-Menolong atau Bertolong-tolongan.

Tolong-menolong atau Bertolong-tolongan itu boleh dikata diketahui dan diaku wajib oleh semua orang, tetapi kebanyakannya hanya pada lafaz sahaja. Oleh kerana kita percaya jarang-jarang atau amat sedikit di antara kita yang ingin mengetahui berapa jauh bawaan bertolong-tolongan itu pada dirinya.

Banyak di antara kita yang selalu menyebut dan menyeru kepada bertolong-tolongan sesama bangsa dan seugama, tidak pula kurang yang menyeru dan mengasut saudara-saudaranya supaya jangan bertolong-tolongan dengan bangsa asing, tetapi sayang, oleh kerana kurang teliti dan jahil pada bawaan bertolong-tolongan itu. Ia sendiri selamanya bekerja menolong bangsa asing dengan tidak disedarinya.

Sebenarnya menolong kaum dengan harta itu sebaik-baik pertolongan, tetapi kita boleh berkata bahwa kaum kita pada zaman ini jarang-jarang atau tiada sama sekali yang terpaksa berhajat kepada pertolongan wang walaupun kita mengaku bahagian yang besarnya miskin dan papa.

Menolong kaum dengan wang derma itu tentu sahaja akan mendatangkan keberatan di atas diri kita, tetapi kita boleh menolong kaum kita dengan pertolongan yang amat besar pada masa kita tidak berugi sesen pun kepada mereka itu.

Jikalau kita sedar bahwa menyuburkan segala cawangan perusahaan bangsa kita yang umum ada tanamannya, pertukangannya, atau perbuatannya, istimewa pula perniagaannya itu satu jalan yang terlebih hampir dan terlebih deras membukakan pintu penghidupan bangsa kita, nescaya tiap-tiap seorang daripada kita akan merasa rugi jika keperluan serumah tangganya tidak dibeli dari tangan bangsanya. Tetapi dengan dukacita disebut bahwa bab ini selamanya sangat kurang diendahkan.

Berkat seruan bersama mudah-mudahan pada masa ini orang-orang Melayu mulai bergerak kepada perniagaan. Benih perniagaan itu boleh dikata telah cambah di merata-rata tempat hingga boleh pula dikata mereka tidak berhajat kepada seruan lagi. a yang kurang sekarang kepada orang-orang Melayu tidak lain melainkan benih suka mengutamakan perniagaan bangsa sendiri selekas benih ini cambah selekas itulah pula perniagaan Melayu itu subur.

Seorang daripada pegawai tinggi Melayu di kota ini pada suatu hari melawat ke pejabat kita dan dengan malangnya seorang kawan bangsa asing telah menegur lengan bajunya yang tampaknya baru keluar dari dobi itu berkedut-kedut, tetapi kita terperanjat mendengarkan jawabnya, katanya saya tahu baju saya berkedut, tetapi saya masih berbesar hati baju ini di dobi oleh bangsa saya sendiri.

Barang kita wajib meniru ketegasan hati Tuan Pegawai Melayu ini, terhadap kepada perusahaan bangsanya, bukan sahaja pada satu perusahaan, tetapi mahulah pada serba serbi perusahaan bangsa kita.