Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Jan 1935, p.8

General Article.

Bahtera Perusahaan Melayu Terbentang Kerana Angin Salah Sangka.

Oleh Khalid al-Bilal, Kuala Lumpur.

Kaum kita Melayu laki-laki dan perempuan-perempuannya masa sekarang telah sedar akan ketinggalan kaum-kaumnya jauh ke belakang bagi menghambat perlangkahan bangsa-bangsa yang telah maju beberapa lama dahulu daripada kita.

Waktu ini tampaknya dari sehari ke sehari makin bertambah-tambah penulis akhbar-akhbar Melayu mengeluarkan buah fikirannya akan kejatuhan bangsanya pada sebarang perkara, diruangannya suratkhabar-suratkhabarnya. Perkara-perkara yang dituliskannya itu ialah pelajaran, perniagaan, persekutuan, bertolong-tolongan antara satu sama lain, bertanam-tanaman, memelihara binatang hidup-hidupan dan lain-lainnya.

Tetapi apalah tentang ruangan saudara kita penulis-penulis itu hanyalah tinggal termendam di dalam kolah angan-angan kosong sahaja, kerana tiap-tiap angan-angan yang kebanyakan itu tidak dibuat dengan pekerjaan anggota, supaya terdiri bangunan angan-angan tadi dipandang oleh kaum bangsanya akan cita-cita yang permai di qalbu penulis-penulis yang bijaksana itu.

Jika tidak salah adalah buah fikiran penulis-penulis yang tersemai di akhbar-akhbarnya haruslah tumbuh menjadi pohon perhiasan telinga dan mata sahaja. Bolehkah pokok-pokok kemajuan tiap-tiap bangsa itu dengan seruan sahaja? Tidak disertakan dengan pekerjaan anggota?

Jika ada pula seorang yang mulai membuat pekerjaan yang disertakan di atas tadi dengan bertindih-tindih mengembalakan kaum-kaumnya ke malam yang sempurna kemajuannya, tumbuhlah pohon kayu ejekkan dengan mengeluarkan bunga-bunga kebencian dan putik dengki khianat, memandang kaum-kaumnya yang mengelolakan perkara yang tersebut.

Oleh yang demikian, apakala dapat didengari oleh orang yang memimpin kemajuan bangsanya, dengan segera tidak mahu lagi membuat, menjadinya, haruslah bahtera perusahaan bangsa Melayu itu terbentang kerana angin salah sangka. Kemudian, apalagi dengan jalan itu terbantutlah apa-apa juga pekerjaan dan cita-cita kita itu serta dengan sekejap masa berpecah belah semuanya membawa hal masing-masing.

Jikalau selagi ada rasmi mereka itu tersemat dihatinya fikiran salah sangka itu, walau seribu tahun lagi bangsanya kita ini tak akan maju perusahaannya.

Adakah buah fikiran musykilan penulis-penulis yang tertera di halaman akhbar-akhbarnya telah kita mulai membuka kerja-kerja itu dengan anggota-anggota sekali. Jika tak khilaf, barangkali satu suku pun kaum kita masih berpeluk tubuh masing-masing hanyalah cita-cita orang Melayu ini tinggal di dalam cita-cita jualah.

Bayang-bayang perusahaan bangsanya masih diliputi oleh awan-awan malu, segan, malas, dan lain-lainnya. Selagi ada penyakit ini serta diiringi oleh ejek mengejek, kata mengata, tiap-tiap perusahaan kita itu walau bangsa kita Melayu juga. Tentulah padi kemajuan kaum kita itu terbit mengandung hampa!

Melayu orang yang menggiat-giat itu, bolehlah dipanggilkan seekor ular yang amat bisa mematuk daging-daging bangsanya supaya terbantut sebarang apa perusahaan-perusahaan kita.

Lain tiada apa-apa diharapkan dengan beribu-ribu pengharapan pada kaum-kaum semua yang berbangsa Melayu dan berugama Islam di laut Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan pulau-pulau Melayu; memaafkan perkataan-perkataan yang diuraikan di atas tadi. Jika didapati pendengaran yang kurang sedap di telinga saudara-saudaraku! Apa kata Tuan Pengarang Majlis, adakah karangan ini menerbitkan perkataan cerca mencerca satu sama lain?