Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Jan 1935, p.7

Editorial.

Ucapan Selamat Tinggal Kepada Pembaca Majlis Dari Abdul Rahim Kajai.

Kira-kira tiga tahun dahulu, pada hitungan musim, iaitu pada hari Khamis, 11 December 1931, bersamaan dengan 7 Syaaban, Sanat 1350, ketika itulah Majlis yang sulung sekali zahir dari kandungan ibunya. Dan itulah jua sambutan Majlis datang mendapatkan Tuan-Tuan Pembaca. Menyerahkan dia mengata sebut serta minta sokongan. Ya! Saya belum lupa yang saya ketika itu menyusun jari yang sepuluh mengangkat sembah.

Alhamdulillah, sokongan yang diharap itu telah cucur laksana embun yang menyegarkan segala pohon yang dahaga di muka bumi alam ini, dan dengannya berjalanlah Majlis hingga hari ini, menerbitkan janjinya sebagaimana perjalanannya yang Tuan-Tuan Pembaca telah sama-sama saksikan sehingga sempat membawa sedikit-sedikit perubahan untuk muslihat dan faedah Tuan-Tuan Pembaca yang pada batinnya atau pada hakikinya Tuan-Tuan Pembacalah penaungnya.

Sekarang bagaimana saya menyusun jari tiga tahun dahulu, begitulah saya menyusun jari yang sepuluh hari ini mengangkat sembah bagi Tuan-Tuan Pembaca sebagai pepatah orang tua-tua kita, datang nampak muka, pergi nampak belakang. Dan walaupun akan meremukkan hati saya, tetapi saya ucapkanlah ucapan Selamat Tinggal saya yang berserta dengan salam bahagia bagi Tuan-Tuan Pembaca, terutama sekali Tuan-Tuan Pembantu dan Tuan-Tuan Penulis yang telah mengorbankan masa dan tenaganya menunda perjalanan Majlis selama ini, hingga sampai kepada peringkat yang ada ini. Di dalam itu, jika ada rasanya amal-amalan jasa dan budi di antara kita atau apa-apanya yang didapati selama saya kemudikan dia, marilah sama-sama kita taruh. Tentang saya berjanji saya akan memahatkan sokongan dan budi Tuan-Tuan itu pada hati saya selama ada hayat saya di dunia ini.

Saya tidak akan menyebutkan apakah sebabnya saya meletakkan jawatan saya, tetapi wajiblah saya terangkan bahwa saya letakkan jawatan ini pada sebaik-baik tempat, iaitu pertama-tama, saya pulangkan kepada Tuannya dan daripadanya berpindah saudara saya Encik Osman Kalam yang rasanya kepada tidak berkehendak kepada dikenalkan lagi, kerana Tuan-Tuan Pembaca telah memang kenal semenjak dari Pulau Pinang dan semenjak beberapa tahun dahulu.

Keberhentian saya itu telah ditetapkan dari 1 February 1935 ini. Maka inilah kali yang penyudah sekali bagi saya menulis dalam ruangan Majlis ini. Tetapi bagi Tuan-Tuan yang ingin kepada tulisan saya, janganlah berputus asa kepadanya.

Janganlah kiranya Tuan-Tuan terkejut mendengar keberhentian saya kerana ibarat, patah tumbuh, hilang berganti. Bolehlah diyakinkan sekarang bahwa Majlis ini akan bekerja bersungguh-sungguh lebih bersungguh-sungguh daripada apa yang saya kemudikan untuk faedah Tuan-Tuan Pembaca kerana tanda pulut akan bergetah, memang telah terbayang. Sekurang-kurangnya boleh diharap daripada pengemudinya kelak daripada kaki tangan yang muda-muda dan tentulah lebih cergas pula. Maka sudah sewajibnya bagi Tuan-Tuan Pembaca, terutama sekali bagi Tuan-Tuan Penulis, serta Tuan-Tuan Pembantu, menolong bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya sebagaimana biasa.

Jika tidak lebih kerana dasar Majlis selamanya bukannya untuk muslihat tujuannya bukan pula untuk muslihat pengarangnya, tetapi ialah untuk muslihat bangsa dan watan. Dan atas inilah diharap ganti-ganti saya itu akan berdasar pula dengan tidak berganjak sehasta pun daripadanya oleh kerana saya berhenti itu.

Saya tamatkanlah makalah saya yang akhir ini dengan mengulang ucapan, Selamat Tinggal, sekali lagi bagi Tuan-Tuan Pembaca, Tuan-Tuan Penulis, serta pembantu-pembantu rata-rata, termasuk sekalian kakitangan Selangor Press dan Majlis. Was-salamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Mengulang ucapan, Selamat Tinggal, maka muslihat tujuannya bukan pula untuk muslihat pengarangnya, tetapi sebagaimana jika dibawa pula [...]