Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 4 Feb 1935, p.1

Feature Article.

Perniagaan Melayu di Kuala Pilah.

Oleh Penulis Kita.

Kita telah mendapat ketahui menurut keputusan Mesyuarat yang diadakan di Muhammad Kelab baru-baru ini, nyatalah satu perniagaan Melayu akan berdiri di salah satu daripada kedai dalam pekan Kuala Pilah, selewat-lewatnya pada akhir bulan ini, masih ada di dalam ingatan lagi.

Pada masa yang telah lalu, kita telah bersuara di dalam akhbar-akhbar yang menyatakan di Kuala Pilah itu sepatutnya ada kedai keperluan dapur yang dipunyai oleh bangsa Melayu. Sekarang malap suara itu. Sungguh pun telah bawa dibawa angin, tetapi rupanya tidak begitu lenyap, malah masih diingati dan diperam dengan cita-cita yang tiada terputus.

Begitulah baru-baru ini hal itu telah diusahakan oleh Yang Mulia Tengku Hussein, siapa sebagai penganjur bangsa Melayu di Kuala Pilah, ingin pada membangkitkan semula cadangan-cadangan yang telah lalu itu. Bahwa bolehlah diingati adalah kedai-kedai yang akan diadakan itu, ialah dengan usaha Yang Mulia Tengku itu, pada menolong memberi nasihat dan pemberangsang kepada sekalian ahli-ahli hartawan orang-orang Melayu di Kuala Pilah.

Di mana akhirnya telah dapat dipersekutukan dengan sepuluh orang anggotanya, iaitu daripada bekas kaki tangan kerajaan yang telah bersara di dalam jajahan Kuala Pilah, termasuk beberapa orang guru-guru Melayu yang telah berpencen. Tiap-tiap seorang daripada yang sepuluh itu telah mengaku di dalam mesyuarat yang termaklum dengan dipengerusi oleh Yang Mulia Tengku Hussein. Mereka akan mengeluarkan modal setiap seorang seratus ringgit! Syabas! Syabas! Syabas!

Perniagaan barang-barang keperluan dapur yang tersebut tentu akan bermodal sekurang-kurangnya seribu ringgit. Jika tidak maulah kedai itu hal kemajuannya memang bergantung ke tangan bangsa Melayu. Jika mau mengutamakan kedai kebangsaan. Silalah! Dan bagi pihak pegawai-pegawai kerajaan di dalam pekan Kuala Pilah, segala apa urusan dapur rumahnya disanggup menghantarkan hingga ke muka tangganya.

Tak payah lagi berbelanja beca jika hendakkan barang-barang keperluan dapur pagi order sahaja. Budak penjaga kedai akan datang ke rumah Tuan bertanyakan apakah barang dikehendaki. Sehingga begitu sekali urusannya yang telah disebut-sebutkan di ketika hari Mesyuarat itu. Jika tak juga hendak membeli ke kedai bangsa sendiri, taklah kita hairan jika tak maju kedai kita itu!

Apakah Tuan kehendaki bila sampai ke Kuala Pilah?

Hendak membeli barang-barang dapur ada kedai bangsa kita. Hendak minum teh makan nasi, mee, meehoon dan sebagainya ada restaurant Melayu tersergam indah dengan bercogankan "Kedai Kita". Hendakkan kain baju ada kedai Melayu, carilah ia.

Jika sebenar-benarnyalah darah kebangsaan telah ada di badan Tuan-Tuan, sebarang apa kehendak mesti menuju kepada faedah bangsa.

Was-salam dan Maaf!

Kuala Pilah, January 1935.