Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 11 Feb 1935, p.7

Editorial.

Radio dan Faedahnya kepada Rakyat Terutama Orang Melayu.

Melihat kepada kemajuan radio di serata alam ini, tidaklah dapat kita menahan kalam kita daripada menulis serba sedikit berkenaan dengan radio dan faedahnya kepada rakyat negeri terutama sekali kepada orang-orang Melayu kampung.

Kita patut sebut di sini bahwa kerajaan India telah mendapat faedah yang besar daripada radio kerana dengan jalannya mereka dapat menjalankan propaganda kebajikan kepada rakyat segera sambungan terutama sekali yang di kampung-kampung. Usaha mereka itu telah mendapat kejayaan yang besar dan pula menurut kata seorang yang baru balik dari England, tiap-tiap rumah peladang yang jauh dan yang dekat daripada bandar-bandar di England, ada menaruh peti jentera radio untuk menerima siaran suara radio daripada ibunya ((station)), demikian juga di dalam negeri-negeri Eropah yang lain.

Kita belum lupa bahwa pejabat syarikat bekerja-kerjasama kota ini telah mencuba hendak menyiarkan propagandanya dengan jalan radio, dan beberapa peti penerimaan suara itu telah dipasangkan pada beberapa tempat. Tetapi menurut khabar yang kita perolehi adalah pencubaan itu jikalau tidak sia-sia pun, tidaklah jaya kerana beberapa penyiaran yang diterbitkan daripada station radio kota ini, penerimaannya di Setapak, Petaling, Puchong, Ulu Gombak, Kuang dan Kajang tidak lebih daripada rungut ikan keli, tetapi di tempat-tempat yang agak jauh sedikit seperti Kelang dan Jeram, dapat didengar dengan terang dan jelas. Menurut penyelidikan kita adalah sebab-sebab kejayaan itu ialah:

1. Station itu cuma "memancar" yakni untuk main-main sahaja.

2. Jentera yang di Petaling Hill itu sudah tua, dan lagi diperbuat untuk pergunaan telegraf sahaja, bukan untuk penyiar suara ((broadcasting)).

3. Kekuasaan elektrik tidak cukup kuat buat menyiarkan suara jauh dan dekat dengan sempurna.

Ada juga dikatakan bahwa satu daripada sebab-sebab yang mengendalakan suara itu ialah di udara yang kelam kabut disebabkan oleh hujan atau ribut, tentang ini kita cuma berkata wallahualam, tetapi sekiranya terbit sebab-sebab yang mengendalakan itu daripada jentera-jentera yang berkenaan dengannya.

Maka seharusnyalah pihak yang berkuasa atas perkara itu bermurah hati memikirkannya.

Pada pendapat kita, negeri ini sudah sepatutnya mempunyai sebuah Broadcasting Station yang cukup lengkapnya jikalau tidak sama sebagaimana yang di Barat sana, cukuplah seperti yang di Jawa atau di India itu. Dan tidaklah asing lagi bahwa kerajaanlah yang mustahak mengambil bahagian pada menjayakannya kerana bukan sahaja faedahnya akan terpulang kepadanya, tetapi rakyat amnya akan mendapat manfaat juga.

Faedahnya kepada Orang Melayu.

Maka apakala Station Radio negeri ini sudah cukup lengkap menurut cara Station-Station Radio yang baru-baru, bolehlah disebut bahwa orang-orang Melayu kampung itu akan mendapat manfaat yang besar daripadanya kerana dengannya dapatlah pejabat-pejabat Agriculture ((Tanaman)) syarikat bekerja-kerjasama, kesihatan, pelajaran, pemerintah, polis dan lain-lainnya menyiarkan nasihat-nasihat, syarah, pelajaran, perintah atau undang-undang kepada rakyat negeri yang di dalam kota atau kampung dengan pantas dan ekonomi.

Di sini tidaklah pula lupa kita mengambil peluang mensyorkan kepada pejabat-pejabat yang akan mengembangkan propagandanya dengan jalan Radio kepada orang-orang Melayu kehidupan itu menempatkan peti-peti jentera radionya di masjid-masjid, di surau-surau, di madrasah-madrasah, di balai-balai penghulu, atau di ofis Tuan-Tuan DO; kerana di situlah orang-orang kampung kita berhimpun iaitu hari Jumaat di masjid, hari Mesyuarat kampung atau mengambil kupon di balai penghulu atau di ofis Tuan DO.

Kita tahu bahwa pejabat-pejabat kesihatan, tanaman dan syarikat bekerja-kerjasama telah mendapat kejayaan dengan propagandanya dengan menunjukkan wayang-wayang bangsawan gambar di merata tempat dan kampung itu. Tetapi kita cukup yakin bahwa dengan jalan Radio propaganda-propaganda itu akan mendatangkan natijah yang lebih luas dan lebih berfaedah daripada yang didapati daripada usaha, ikhtiar yang lain-lain itu.