Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Feb 1935, p.7

Editorial.

Perusahaan Dijadikan Mata Persaudagaran Orang Melayu.

Dengan tulisan ini kita tidak berniat hendak mengajar orang-orang Melayu bersawah, tetapi yang sebenarnya kita suka menggalakkan lagi orang-orang Melayu kita kepada pekerjaan itu, supaya dapat dibesar dan diperluaskan lagi perusahaannya daripada yang ada-ada itu. Dan dengannya dapatlah pulak dijadikan satu mata persaudagaran bagi Orang Melayu di dalam negerinya sendiri.

Orang Melayu kita boleh disebut sudah kenal lama dengan pekerjaan dan perusahaan sawah itu. Tetapi tidak boleh dinafikan bahwa perkenalan itu cuma dalam sambil menyambil sahaja. Orang-orang Melayu bersawah dahulu sebagaimana elok sawahnya walau sebagaimana kuat usahanya, tidaklah lebih ((dan kerapkali kurang)) pendapatannya daripada cukup makan setahun sahaja bagi anak pinaknya atau ((jaranglah)) bagi kaum keluarganya.

Melihat kepada lamanya persahabatan orang Melayu dengan persawahan dan dilihat pula kepada rupa atau keadaan perusahaan Orang Melayu, maka apabila dikaji-kaji kedua-duanya, ternampaklah kepada kita bahwa jikalau tidak disebabkan oleh budi bahasa yang satu kepada yang satu lagi itu. Haruslah tali persahabatan itu sudah lama putusnya.

Kita harus jangan lupa bahwa sungguh pun orang-orang Melayu kampung yang bersawah itu senang makannya dari perusahaannya tetapi orang-orang Melayu yang tidak bersawah itu, tetapi juga membeli beras luar negeri. Dan dengan sebab itu bocor jugalah wang bangsa kita ke dalam saku bangsa asing. Inilah satu penyakit yang mesti diubat. Sekarang ertinya sudah lama ada kepada kita cuma yang dikehendaki lagi ialah lebih tenaga, lebih usaha, dan lebih syarikat pada memperbaiki ramuan ubat itu supaya jadi ilmu manfaatnya.

Kita jangan lupa bahwa satu daripada ikhtiar kerajaan kita yang sangat-sangat halal ialah menggalakkan orang-orang Melayu pada bersawah dan pada membesar dan memperluaskan persawahannya supaya negeri-negeri Melayu -- Semenanjung Tanah Melayu ini -- dapat berdiri sendiri dengan tegak dan kuat, yakni tak payah berharap kepada perbantuan dari luar negeri lagi.

Kita patut ingat bahwa perdirian sekolah tanaman di Serdang. Sawah kerajaan di Pulau Gedung, Melaka. Dan di Kerian, Perak itu; ialah untuk Orang Melayu menerima pelajaran latihan dan penunjuk atas perkara-perkara yang berkenaan dengan perusahaan dan lain-lain. Lawatan penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung ke tempat-tempat itu tidaklah asing lagi daripada untuk faedah dan manfaat orang-orang kampung juga. Kerana apa-apa yang didapati oleh mereka itu daripada syarah pegawai-pegawai di situ dan apa-apa yang dilihatnya dengan matanya daripada pekerjaan-pekerjaan itu. Semuanya akan dihebahkannya kepada anak buahnya.

Segala ikhtiar usaha dan tauladan yang ditunjukkan oleh kerajaan itu bukanlah semata-mata untuk ditauladani sahaja, bahkan dikehendaki orang-orang Melayu menauladaninya dengan betul dan lebih-lebih lagi membesar dan memperluaskan perusahaannya bukannya untuk faedah khas tetapi am.

Jikalau betul-betul orang-orang Melayu bertekun pada meluaskan perusahaan sawahnya tetapi sekali tidak lama lagi negeri-negeri Melayu kita ini akan ditanggung oleh pasak seribu negerinya sendiri, dan tidak lama lagi negeri-negeri Melayu itu akan mengorbankan satu-satu daerah di dalam jajahannya.

Di dalam hal ini kita cukup percaya yang kita akan dapat perbantuan dan pertolongan kerajaan.