Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Mar 1935, p.7

Editorial.

Jalan-Jalan Membantu Anak-anak Melayu.

Di muka satu di dalam keluaran kita hari ini, Encik Loba telah membayangkan satu jalan buat membantu anak-anak Melayu untuk mengadakan satu titian bagi mencapai ilmu-ilmu yang lebih-lebih tinggi lagi daripada yang didapati di dalam negeri kita ini.

Tak payah kita sebutkan di sini lagi bahwa semakin tua dunia ini semakin banyak kita nampak perkara-perkara yang baru dalam serba serbinya, yang tak pernah ternampak dan tersohor kepada orang-orang tua kita dahulu. Adat-adat yang lama suratkhabar sudah mulai ghaib daripada pemenangan kita.

Dan pemikiran orang-orang sekarang pun sudah berubah daripada fikiran orang-orang dahulu dan lain-lainnya. Kesemua-semua perubahan itu datangnya daripada perubahan yang didapati daripada ilmu yang bertambah hari bertambah perlu baik dan banyaknya.

Zaman kita sekarang ini bukannya lagi di zaman yang dipadai sekadar mengetahui alif ba ta ilmu pengetahuan sahaja, bahkan sudah tiba masanya kita mesti pandai dan tahu akan segala cawangan ilmu dengan secukup-cukupnya buat meninggikan mutu darjat bangsa kita dan untuk mempertahankan hak-hak kita di dalam negeri kita ini.

Anak-anak bangsa kita yang telah lulus di dalam peperiksaan Cambridge sudah banyak. Dan beberapa peratus daripadanya yang terpaksa menganggur sahaja. Pada hal anak-anak muda inilah yang akan diharapi pada masa yang akan datang menjadi benteng-benteng kebangsaan kita dan tiang yang akan meninggikan mutu darjat bangsa kita. Tetapi keberhentian dan kepengangguran mereka itu satu kerugian yang besar dan sekatan yang kuat kepada kemajuan kita.

Pendek kata, patut kita yang sebangsa, senegeri, dan seperasaan menubuhkan satu permuafakatan bagi membantu mereka itu dengan wang supaya dapatlah mereka itu melanjutkan pelajarannya lagi dalam berbagai-bagai cawangan ilmu di dunia Barat sanya.

Encik Loba telah mencadangkan dikutip derma dengan jalan yang halal; sepuluh sen seorang daripada tiap-tiap seorang anak negeri di dalam negeri masing-masing. Satu syor yang amat molek, tetapi kita fikir tidak akan menjadi keberatan jikalau sekiranya yang bergaji $50 ke bawah diambil sepuluh sen. Tiap-tiap yang bergaji $60 ke $100 diambil 20 sen dan tiap-tiap yang bergaji $100 ke $150 diambil 40 atau 50 sen tiap-tiap bulan. Demikianlah hendak seterusnya ke atas.

Kita yakin dengan kutipan yang begini akan menjadi satu perbantuan yang besar bagi anak-anak muda kita buat melanjutkan pelajarannya. Lebih-lebih lagi akan menggirang dan memberangsangkan mereka kepada rajin. Usaha dan tekun yang belajar untuk merebut peluang yang ternanti buat anak-anak yang pintar dan pandai.

Dalam lima enam tahun dijalankan pengutipan derma yang semacam ini kita percaya pada tiap-tiap tahun kita dapat mengirim anak-anak muda kita ke Eropah atau ke lain-lain tempat untuk menuntut berbagai-bagai cawangan ilmu yang dikehendaki.