Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 4 Apr 1935, p.1

Feature Article.

Apakah Peluang Anak-anak Melayu yang Akan Datang.

Oleh Masbab.

Sediakan Payung Sebelum Hujan.

Dunia semakin tua, kepandaian manusia semakin banyak, isi negeri semakin ramai, pencarian semakin susah, kehidupan semakin terdesak. Apakah peluang hendak berhidup bagi anak-anak Melayu dalam masa yang akan datang? Inilah suatu soal yang selalu menerjah fikiran orang-orang Melayu pada hari.

Disediakan payung sebelum hujan; ialah suatu pepatah yang elok dijadikan cogan bagi masalah ini. Tetapi telah lalu berbilang zaman sebelum jua, nampaknya ditimpa akan alat persediaan bagi melalui masa yang digerunkan itu selain daripada alat untuk pemakan gaji. Ia bukan tidak, makan gaji itu satu mata pencarian yang elok jua. Tetapi adakah terlupa pada akal kesemuanya anak-anak Melayu kelak akan hidup dengan makan gaji walaupun kesemuanya sekali berpelajaran tinggi? Tentu tak boleh. Oh! Katalah semua-semua Orang Melayu dibukakan baginya sebesar-besar peluang untuk makan gaji misalnya, tetapi adakah sebuah negeri yang isi negerinya semuanya daripada orang yang hidup dengan makan gaji boleh dibilangkan bahwa negeri itu negeri yang maju?

Jawab kepada soal yang akhir itu tidak dapat tiada menarik ia akan perhatian kita kepada kewajipan mengadakan berbagai-bagai cawangan hidup. Bermacam-macam mata pencarian berjenis-jenis pendapatan mengikut apa juga kepandaian; berniaga, bertukang, bercucuk tanam, berternak, dan ... dan ... dan ... sebagainya. Hal keadaan sekalian itu ampu-mengampu dan di antara satu dengan lain seumpama ampu-mengampu aur dengan tebing, pada mengukuhkan asas di mana kemajuan itu akan dibina.

Maka sesungguhnya tidak akan bersentuh dengan kemajuan sesebuah negeri, jika anak negeri itu menghalakan haluan kehidupannya ke arah makan gaji sahaja. Lihatlah perahu umpamanya. Jika muatannya dilonggokkan ke sebelah pihak sahaja, yakni tidak bertimbang sama berat, alamatlah perahu itu akan sempit dan tenggelam.

Jenis-jenis cawangan hidup yang dikatakan alat bagi menongkah arus penghidupan dalam masa yang akan datang itu bukanlah ia daripada jumlah perkara yang boleh ditiru-tiru, dibuat-buat, dan diagak-agak sahaja bagi menyambil. Tetapi iaitu daripada perkara yang berkehendak disekolahkan, diajarkan, dilatihkan, dan dimahirkan, barulah pekerjaan dan perbuatan itu memberi faedah sebagaimana faedah yang telah nampak dengan mata kepala kita dijolikan orang pada masa ini.

Maka tentang masalah hendak mengadakan tempat mengajar, melatih dan memahirkan anak-anak Melayu dalam tiap-tiap cawangan pekerjaan itu; bukanlah iaitu suatu pekerjaan yang kecil dan ringan tetapi ialah perkara yang besar dan berat, kerana satu daripada syaratnya yang utama ialah modal yang banyak dan keduanya pemimpin yang ikhlas.

Syarat yang pertama: modal yang dikehendaki itu, jika kita mengharapkan atas seseorang pada memberi atau mengeluarkannya dahulu, tentulah tidak jauh ubahnya kehendak itu sebagai kita "meminta darah kepada Daeng", tetapi jika sama-sama bersetuju hendak maju, sama-sama bersetia hendak jaya di antara alam bangsa kita pada mengerjakan yang maha besar kebajikannya kepada anak pinak kita kelak tidaklah akan menjadi keberatan kiranya sama-sama bersetuju pula pada memberikan sedikit, bahkan sedikit benar, daripada pendapatan kita walau daripada apa pun pencariannya kepada kumpulan wang yang akan dikumpulkan dan diuntukkan bagi menjalankan tujuan ini.

Maka daripada berpuluh ribu kali sedikit-sedikit itu dikumpulkan di dalam beberapa tahun punya lama, tentulah akan menjadi suatu jumlah yang banyak, sekira-kira boleh mencukupi buat menyempurnakan cita-cita ini dengan tidak syak. Bergeraklah kita sekarang kepada tujuan ini, kerana bergerak itu terlebih baik daripada diam. Kata pendita, bahwa gerak itu peranak ((breeder)) dan diam itu mandul.

Syarat yang kedua: pemimpin yang ikhlas yang dikehendaki untuk menyelenggarakan pekerjaan yang maha berfaedah ini telah wujud di sini kita pada hari ini. Dan langkahnya yang pertama terhadap kepada masalah hendak mengadakan peluang kepada anak-anak Melayu di dalam masa yang akan datang seperti yang disebutkan di atas itu, sudah pun dimulainya dengan sabar, tekun dan bersungguh-sungguh; yang mana dipercayai manakala seruannya itu dihebahkan bahwa semua Orang Melayu di dalam serata-rata daerah akan berbesar dan bergirang hati pada menyokong membantu, menyukai dan menyertai pekerjaan yang maha besar kebajikannya ini dengan pertolongan yang amat sedikit pada tiap-tiap seseorang.

Mudah-mudahan dengan pertolongan kita yang seseorang sedikit itu lama-lama jadilah ia suatu bukit yang akan kita jadikan apilan untuk menghasilkan cita-cita ini bahwasanya inilah sahaja jalannya. Lain tidak yang boleh menghasilkan maksud kita, dan bolehlah diyakinkan bahwa pemberian kita yang sekumbang kepada kumpulan wang ini, tidaklah ubahnya seumpama kita meninggalkan harta pusaka yang banyak kepada anak cucu kita yang akan dibelanjakannya dengan tidak habis-habis selama hidupnya kelak. Pendeknya, jika dengan jalan itu pun tidak jua akan menghasilkan seruan ini, maka tiadalah kalimah yang patut diucapkan lagi melainkan; dari Allah jua kita datang, dan kepada Allah jua kita kembali.