Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 18 Apr 1935, p.7

Editorial.

Anak Melayu Tiada Berpeluang.

Dalam halaman fikiran di muka 8, keluaran kita hari ini, kita siarkan satu tulisan yang berkepalakan seperti di atas ini, di mana penulis itu telah mendengar daripada kanak-kanak ((murid)) yang mengaji di sekolah Inggeris di Kelang itu mengatakan adalah kanak-kanak yang hendak masuk di dalam peperiksaan Junior Cambridge pada masa yang akan datang, hendaklah ianya berumur tak lebih daripada 16 tahun. Jikalau lebih daripada yang tersebut tidak akan diterima, yakni tidak akan dibenarkan masuk periksa.

Sungguh pun perkhabaran itu didengar daripada kanak-kanak yang terkandung di dalamnya salah dengar atau salah faham, tetapi kita yakin perkhabaran yang semacam itu tetap menjadikan satu kerunsingan yang besar kepada ibu bapa murid-murid yang mengaji di dalam sekolah yang tersebut kerana kita berani teka banyak murid-murid yang ada itu kena masuk ke dalam kawasan perenggan sempadan umur. Pada hal, mereka belum lagi sampai ke tangga naik ke darjah Junior itu. Jadi apabila lebih umur daripada 16 tahun, tidak dapat tiada terpaksalah mereka angkat kaki keluar.

Bukan itu sahaja akan terbit daripada angkara itu. Orang-orang Melayu sedang asyik mempelajari bahasa Inggeris dan mereka mau anak-anak mereka pandai dalam bahasa itu. Maka oleh kerana berbuatkan masa supaya jangan terlewat daripada batas umur itu, kadang-kadang ada yang tidak mau lagi memasukkan anaknya ke sekolah Melayu langsung, dan ada pula yang memberhentikan anaknya waktu ia dalam atau telah lulus darjah tiga sekolah Melayu.

Perbuatan yang semacam itu boleh mendatangkan akibat yang tidak baik kemudian hari kelak daripada pergaulan dan perasaan kepada kaum bangsa dan ugamanya.

Negeri ini negeri Melayu. Orang Melayu diutamakan. Pemuda-pemuda Melayu yang layak akan mendapat peluang lebih di dalam pejabat-pejabat kerajaan, tetapi kita sangat-sangat dukacita di mana akan datang kelayakan itu, jikalau itu dihadkan, dan ini dibataskan. Pada hal, pihak yang berkuasa dan yang berwajib tahu benar-benar yang anak-anak Melayu dikehendaki lebih dahulu belajar di dalam sekolah-sekolah Melayu selama 4 atau 5 tahun.

Anak-anak Melayu tidak dapat belajar lebih daripada darjah tujuh di sekolah-sekolah Inggeris, disebabkan oleh batasan umur itu, kelak dikatakan Orang Melayu tidak layak.

Maka apakah peluang bagi anak-anak Melayu pada Melayu yang akan datang?