Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Apr 1935, p.7

Editorial.

Perniagaan Melayu dengan Pendaftaran Syarikat.

Orang-Orang Melayu telah mulai membongkar harapan bergerak menuju pelabuhan perniagaan kedai-kedai kecil untuk keperluan dapur yang telah dibuka-buka oleh orang-orang Melayu di kampung-kampung. Kedai membeli getah sudah bertambah-tambah bilangannya dimiliki oleh orang-orang Melayu, perniagaan kelapa kering telah sudah dijumlahkan oleh orang-orang Melayu di Hilir Perak dan di sebelah Pantai Selangor, kedai dobi Melayu telah diusahakan oleh orang Melayu, kedai basikal pun sedang dikerjakan.

Mudah-mudahan dengan begini, kaum semua itu akan merasa payah hendak menjalankan jaruman di kampung-kampung, yakni di tempat-tempat yang banyak penduduk-penduduknya Melayu.

Dalam pada itu, Orang Melayu telah terasa muslihatnya dan telah mulai pula membuka kedai-kedai syarikat kecil-kecil dengan modal yang kecil di kampung-kampung yang dipunyai oleh anak-anak buah di kampung itu dengan tujuan supaya wang kampung itu pergi ke kedai kepunyaan kampung itu sendiri.

Sebagaimana telah maklum, bahwa satu-satu syarikat yang ahli sharenya lebih daripada 20 orang mestilah didaftarkan menurut undang-undang syarikat dengan bayaran $50, bukannya berhenti setakat itu sahaja. Tetapi maulah pula diaturkan Memorandum dan Prospectus ((Peraturan dan Undang-undang)) kedai itu dalam bahasa Inggeris, yang mana mestilah pula mengeluarkan wang kedai syarikat sekurang-kurangnya $50 lagi. Dalam pada itu, pulak untuk pengetahuan ahli-ahli share di kampung yang tidak tahu bahasa Inggeris, diterjemah Memorandum dan Prospectus itu ke dalam Bahasa Melayu yang mana akan mengeluarkan belanja pula sekurang-kurangnya $30 ((sesama Melayu!)).

Pada hal, modal kedai itu kadang-kadang tidak lebih daripada lima enam ratus ringgit, $50 kerana mendaftarkan, $30 kerana mengaturkan undang-undangnya dan $30 kerana menerjemahkan undang-undang itu ke dalam Bahasa Melayu, dan katalah $20 untuk orang tengah yang mengusahakan pekerjaan daftar mendaftar itu, jadi jumlahnya $150, dan wang itu akan dikeluarkan daripada modal kedai yang mana akhirnya terpaksalah kedai itu berjual tulang ikan masin sahaja.

Supaya jangan jadi bosan orang-orang Melayu memikirkan perkara mendirikan kedai syarikat dengan modal yang terupaya oleh mereka dan apa-apa yang berkenaan dengan daftar-mendaftar itu, maka seharusnyalah ahli-ahli Mesyuarat Melayu dan Pegawai-pegawai Melayu mencari ikhtiar supaya undang-undang kedai syarikat kecil orang-orang Melayu yang di kampung itu dikawali oleh undang-undang khas untuk itu sahaja, yakni dapatlah dibenarkan mereka mendaftarkan syarikat mereka dengan percuma, dan Memorandum dan Prospectus kedai syarikat mereka pun dapat diatur dengan Bahasa Melayu sahaja.

Sekiranya luluslah permintaan kita ini kita berharap, mudah-mudahan banyak di antara orang-orang Melayu akan bergerak membuka perniagaan, lebih-lebih lagi yang di kampung-kampung itu.

Demikianlah kita harap akan mendapat pertimbangan yang menyukakan hati Melayu am.