Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 29 Apr 1935, p.12

Feature Article.

Bersatu Itulah Pangkat Kemajuan.

Oleh Muhammad Rawi Sution.

Tidaklah agaknya kita hairankan kalimah Bersatu itulah pangkal kemajuan dan sebab bersatulah tercapai suatunya, bahkan dari sebab bersatulah pula makanya berjaya segala pekerjaan sekalipun di dalam keadaan merompak dan menyamun. Apa lagi pada kalangan yang memang dikemudi kebenarannya pada menjalankan perbuatan yang digemari di kalangan Islam yang maha suci. Sedang Nabi kita Muhammad wa-salam telah bersedia dengan katanya yang tidak asing lagi. Tujuannya Nabi kita bersabda demikian itu bererti kepada bersatulah jalan kepada berjaya dan berhasil sesuatu, malah tidak sia-sia lagi yang mulia itu yang mana sedang beliau telah kita maklumi bersifat kesempurnaan.

Lebih dalam lagi kalau kita halakan pula pemandangan kita kepada firman Tuhan kita Allah subhanahu wa-ta`ala, di dalam al-Qurannya yang maha mula, bagaimana bunyinya dengan kira-kira maknanya bererti, berpeganglah kamu dengan perjanjian Allah sekaliannya dan janganlah kamu bercerai berai dan ingat oleh kamu akan nikmat Allah. Ketika itu adalah kamu bersetu dan menjinak ia Allah akan segala hati kamu. Maka jadilah kamu itu dengan nasabnya bersaudara.

Sebegitu adanya firman Tuhan kita itu banyak maka sekarang telahkah kita mengikut dan berpegang dengannya dengan sekuat-kuat pegangan yang mana telah kita maklum bahwa sekarang telah sepatutnya kita berpegang, istimewa pula yang kita sebahagian daripada mereka yang dibilang "Puak" yakni puak kita Islam.

Atau adakah kita mengingkarkan bagaimana firmannya itu? Pada jawapannya sehabis-habis difikir dan dipandang dengan pemandang yang bermakna, tentulah kita dapati yang umat kita telah jauh tercicir dan terpelanting daripadanya. Sebaliknya pula, agama yang lain sebagai Christianlah dahulu kita katakan samanya sepatutnya tidak mengambil bahagian itu, yang telah mengambil bahagian secara Islam, kerana menurut yang tersebut di dalam kitabnya mereka "Injil", sekalipun ditampar pipi kanan, jangan melawan, bahkan berikan pula yang sebelah lagi. Begitulah kata Nabi Isa mereka yang mengikut dengannya; dipetik dari Mimbar Islam, Nombor 9, tahun kedua, muka 9.

Di dalam beberapa kurun yang telah lalu, adalah umat Islam di mana sewaktu masih ada hayatnya Nabi kita Muhammad bersatu itu memang digenggamannya yang berapi sehingga berani menyabung jiwa. Kemudian peperangan mati bersama hidup bersama, dan dapat mencapai darjat ketinggian yang setinggi-tingginya sekalipun dunia, apa lagi akhiratnya. Tetapi rupanya bersatu yang berapi tadi itu telah beredar kepada sehari semakin hilang, dan hapus daripada umat Islam bagaimana yang kita rasai dan kita berada dengannya sekarang ini selama peninggalan berpindahan Nabi kita itu.

Sungguh pun semakin sehari semakin banyak bilangannya umat Islam kita di muka alam dunia yang maha luas ini, bertebaran di sana sini, yang mana tidak kurang bilangannya dari 100 milyun jiwa, tetapi bolehlah kita katakan belum ada kalangannya yang berapi menurut pertandingan jejaknya ugama yang lain begitu maju.

Istimewa pula rakyat yang malang Melayu memang jauh benar ke belakangnya, kenapa tidak?

Sebab-sebab yang termaklum bagi jawapannya bukanlah perkara yang mudah dengan sekaligus sahaja begitu, bahkan terhentilah kita dengan menungan yang panjang, serta fikiran yang melayang, dan mengambil perhatian yang lebih di dalam, bagaimana umat yang berkemajuan itu mencapai pangkat ketinggian sehingga tidak tersembunyi di pandangan umat manusia.

Bangsa Barat dan Jepun bagaimana kita saksikan kemajuannya dewasa ini adalah mereka itu bersatu pada segala pekerjaan, baik pun tentang ugama dan pun lain-lainnya. Pendeknya memang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Merekalah yang terutama sekali bagi memperkenalkan diri mereka di mata umum di suatu umat yang berkemajuan.

Kita rakyat Melayu Semenanjung patut mengucap syukur di atas pendirian kerajaan kita British yang maha adil itu terhadap pada kita yang mana selamanya kita berada di dalam kemerdekaan yang luasnya bahagian kita tidak menghilangkan sebutan-sebutan yang kerajaan kita itu mempunyai timbang rasa yang kita bersenang lenang dengan budinya yang pekerti itu.

Kepada Allah kita berseru kiranya kekal dan lanjut usia zamannya; Camkanlah! Perhatikanlah! Menungkanlah!

Was-salam.

B[ukit]. Mertajam. 22.4.35.