Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Jun 1935, p.5

General Article.

Maju dan Kemajuan.

Oleh Lang.

Selalu sangat kita mendengar yang orang kita menyuruh dan menyeru di atas berbagai-bagai jalan kerana maju dan kemajuan bagi kaumnya dan faedah umum. Adalah orang-orang Melayu itu boleh dikatakan suatu bangsa yang dijadikan Allah ada mempunyai beberapa kepandaian dan akal dan tiadalah bezanya dengan orang-orang yang lain.

Akan tetapi masih muda kejadian Melayu ini. Adapun yang dikatakan muda itu bukan kepada umur, ialah kepada tawarikh. Dan di dalam pada itu saya puji yang Melayu ini tiada ke belakang jua. Demikian jua cuba kita siasat ada jua yang lain daripada Melayu masih duduk di belakang orang-orang Melayu dan ada setengahnya tiada tau akan dunia ini dan keadaannya.

Di dalam pada itu, musykil sedikit saya hendak menyebutkan di atas perjalanan orang-orang kita yang ada jua perkara yang sebenar tetapi tiada amanat baginya. Adapun sebab saya berani berkata ini ialah kerana benar yang sudah terjadi dan terpandang di hadapan mata saya sendiri dan kita-kita sekalian ini selalu memakai janji dan harap mengharap. Akan tetapi tidak dengan amanat baginya mustahil pula yang kita sekalian ini masih di dalam gua yang sangat gelap lebih daripada dalam Batu Cave.

Ialah yang saya berkata ini misalnya ada sesuatu kenduri ataupun sesuatu perkara yang hendak dibuat dengan rajinnya. Maka sudah tentulah kebanyakan bersetuju akan perkara itu. Dan dengan berjanji pula ialah saya akan sampai ataupun saya akan ada bersama-sama. Di dalam pada itu, datang pula kepada harap mengharap ialah kata seseorang daripada orang-orang; jika aku tiada, tentulah si anu itu ada dan demikian jua yang lain itu pun demikian jua. Oleh kerana harap mengharap kepada satu dengan lain dan akhbar kalam. Apakah jadinya maka tak boleh tidak, kosonglah tempat ini dan pekerjaan pun tiada jadi.

Ayuhai Tuan-Tuan! Inilah kerugian Melayu oleh sebab tiada menaruh kehargaan di atas sesuatu cadangan ataupun pekerjaan itu. Jika bermesyuarat tiada yang hadir pun tak jua menjadi kerugian. Jika kepada kenduri kalau tiada orang jemputan hadir, berapakah kerugian dan kedukacitaan Tuan yang empunya kenduri oleh mendapat beberapa barang yang bazir dan buang ataupun diberi kepada ayam sahaja. Dan tiba pula suatu fikiran yang tiada baik kepadanya maklumlah.

Di manakah maju dan kemajuan itu akan sampai kepada kita. Jika selagi ada jua amanat yang tidak dibuat ataupun dipakai, maka sudah tertentulah akan mundur ke belakang kelak, adalah yang dikehendaki kepada maju dan kemajuan itu, mahulah selalunya ke hadapan bukan pula ke belakang seperti ada masa kita sekarang ini.

Di mana maju dan kemajuan. Selagi ada itu perasaan. Hari yang jauh sudah ketinggalan. Harap dibuang itu fikiran. Jika tidak jua dijauhkan. Bagaimanalah jadi ayuhai Tuan. Kita ke belakang orang ke hadapan. Di mana ada maju dan kemajuan.

Salam dengan maaf. Kuala Lumpur.