Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 24 Jun 1935, p.7

Editorial.

Pakat Ahli-ahli Pemoden Timur Hendak Berjalan Teruskah atau Balik ke Pangkal?

Dalam keluaran akhbar kita ini bertarikh 17 June baru-baru ini, Tuan Masbab telah mensajikan apa yang telah dipetiknya daripada majalah al-Fatah buah qalam Tuan Melayu Putera.

Karangan yang tersebut itu patut benar bagi orang-orang Melayu khasnya dan orang-orang Islam umumnya mengulang-ulang membacanya hingga tersemat betul-betul mafhumnya ke hati masing-masing, serta dipasakkan terutama sekali ke cuping telinga anak-anak Melayu yang sedang berlumba-lumba menyalutkan dirinya dengan salutan Modern Barat itu.

Kita belum dapatlah meramal apakah akan jadinya alam Melayu ini jika anak-anak kandungnya telah banyak memutar haluan perasaan fikiran, kemauan dan adat resamnya ke Barat-Barat dan ke Shanghai-Shanghai itu; tetapi dengan karangan yang telah disajikan oleh Encik Musbab itu, rasanya memadailah untuk dihadikan teropong bagi memandang, merenung dan mengetahui bagaimana orang-orang Barat itu sendiri dengan pergerakan modern yang sedang digila-gilakan oleh setengah daripada setengah orang-orang di sebelah sini sama ada laki-laki yang belum ada rupa hendak menyamai sebahagian daripada Mussolini, atau Hitler, bapak-bapak politik itu. Tak usahlah disebut yang perempuan.

Adalah penyakit-penyakit yang kita sebutkan di atas itu ialah penyakit-penyakit yang bertambah di bahagian luar dan dalam ((kemauan, iktiqad, perasaan dan fikiran)) iaitu penyakit-penyakit yang telah didapati disebabkan oleh hasil daripada pergaulan kita sehari-hari. Yang mana penyakit-penyakit itu dengan senang sahaja telah menjangkit kepada umat kita.

Orang-orang Melayu yang telah sedar tidaklah patut mereka berdiam diri dengan hanya mengucap astaghfirullah sahaja dan berdoa meminta perlindungan daripada Tuhan. Tetapi wajiblah di atas mereka berdiri di atas dua kakinya mencari ikhtiar bagi memulihkan penyakit-penyakit modern Barat yang telah menghinggapi setengah daripada setengah anak-anak Melayu di hari ini.

Dengan injection menyumbatkan ke dalam darahnya ubat pemulihan supaya kita tetap bersih daripada penyakit-penyakit itu.

Apa yang tidak ada di dalam pengajaran ugama Islam? Ilmu pengetahuan, pergaulan, ekonomi, politik, dan lain-lainnya ada cukup melengkapi serba-serbi peraturan hidup yang sempurna, baik hidup di dunia, apa lagi di akhirat kelak.

Cuma menantikan uraian yang cukup sempurna daripada orang-orang yang tua.