Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 27 Jun 1935, p.4

General Article.

Orang-orang Melayu dengan Pengaruh Modern.

Oleh Hamdam.

Apa Modern?

Modern satu kalimah bahasa Inggeris yang sama juga tujuannya dengan Adiriyah di bahasa Arab, "Baru" di bahasa kita Melayu.

Kalimah Modern ini bukannya satu kalimah yang baru menjelma di alam perbahasaan Barat, tetapi di sisi orang-orang Melayu kalimah ini di dalam dua tahun yang lalu belum begitu di kenal, jika dibandingkan dengan hari ini.

Bahwa kalimah Modern ini telah menjadi buah mulut sehingga kanak-kanak yang masing pelat bertutur dengan bahasanya sendiri yang ada di kampung-kampung yang dikatakan jauh dari lonjong itu pun telah kedengaran tau menyebut-nyebut Modern. Di dalam tak berapa lama lagi agaknya harus kalimah Modern ini menjadi satu bahasa bahasan orang-orang Melayu raya dan semangatnya tak syak pula semakin sehari semakin mesra ke darah daging Orang Melayu.

Yang demikian patut benar ditafsirkan ((dihiraukan)) apa dia yang dikatakan Modern itu, dan bagaimana cara dan rupanya di mana datangnya?

Jika diperhatikan adalah kedatangan Modern itu ialah,

1. Daripada hasil pergaulan daripada bermacam-macam bangsa, bermacam-macam adat, bermacam-macam ugama, daripada kekuatan tarikan aliran zaman yang dikatakan beredar dari semasa ke semasa ini.

Apa yang dikatakan Modern itu menurut yang terdapat di fahaman penulis ialah sebagaimana yang telah disebutkan di atas tadi, "Baru", yakni satu-satu perkara perasaan, fikiran, kemajuan, kelakuan dan keletah-keletah yang baru terangnya satu-satu pergerakan atau anjuran yang dilazimkan atau diadatkan, dilakukan oleh datuk nenek kita yang dahulu, mengubah atau dipinda sama ada ditambah bagi memperelokkan atau dikurangkan pada tempat-tempatnya supaya secocok dengan kemaraan aliran zaman yang beredar itu. Tetapi lunasnya tetap di atas dua: adat resam dan ugama,. Kerana dua perkara ini tidak akan terlepas kita daripada takluknya sebagaimana kata orang tua-tua ((hidup kandung adat, mati dikandung tanah, adat bersendi syarak, syarak bersendikan kata Allah -- ugama!)).

Bagi mengesahkan hidup beradat itu ((masuk ke kandang kerbau menguak, masuk ke kandang lembu mengeluh)), dan jika dibawa pula keadaan Modern ini kepada hukuman syariah, adalah ia satu perbuatan bidaah ((rekaan baru)) yang akan terbahagi kepada empat bahagian ((menurut hukum-hukum bahagian bidaah itu)):

1. Wajib.

2. Sunat.

3. Harus.

4. Haram.

Oleh yang demikian menurutkan kemauan aliran zaman itu supaya hidup kita selamanya bersih, mulia dan selamat di dunia dan diakhirat kelak.

Tetapi penulis berasa hairan manakala memerhatikan setengah daripada setengah anak-anak Melayu kita yang di hari ini sedang bergila-gila kepada Modern itu bukan berlumba-lumba mengubah langkah Melayu yang lama itu, kepada langkah-langkah Melayu yang baru bagi mengukuhkan perdirian, peraturan, dan keadaan orang-orang Melayu amnya, rupa-rupanya mereka itu berlumba-lumba melayan atau menurutkan dirinya kepada tiupan angin kemodenan Barat.

Pada hal, mereka dikatakan sedang terpelajar? Subhanahu wa-astaghfirullah!

Jika mereka-mereka ((anak-anak Melayu)) yang bergembala-gembala kemodenan Barat itu menggunakan sedikit fikirannya yang terpelajar kepada mengetahui takrif Modern itu, dan memikirkan bagaimanakah adat resam datuk nenek orang-orang Barat dan apa ugama kebanyakan yang mereka itu memeluknya?

Tak usahlah lagi berfikir panjang kepada mengetahui dan membezakan keadaan-keadaan orang Barat sana dengan orang-orang di sebelah Timur ini, hawa-hawa negeri sana dengan hawa negeri di sini. Dan peraturan-peraturan pemerintah di sana dengan peraturan pemerintah-pemerintah di sini lebih jauh jangan didengarkan lagi suara-suara teriak tempik orang-orang Barat itu sendiri, siapa yang telah sedar dan telah merasakan dahsyat pukulan tiupan angin Modern Barat yang beracun itu.

Dan tak usahlah pula mengambil tau dan arti sama sekali kepada apa adat resam Melayu yang mereka sendiri berbangsa kepadanya dan ugama Islam yang mereka mengaku berugama dengannya, adat resam dan ugama apa yang sangat-sangat dijagai oleh Raja-Raja Melayu di masa menyerahkan ((membuat Treaty)) negeri-negeri Melayu ini kepada kerajaan British rasanya memadailah bagi memberitahu dan memperingatkan kepada pemuda-pemuda kita:

1. Mereka terkujat* ((tertipu)) tegak-tegak.

2. Tergolek ((terjatuh)) di tempat terang.

3. Tersalah besar kerana memecahkan amanat keMelayuan.

4. Akan menyesal sebesar-besar sesalnya kerana memerhatikan pokok hujan di langit air di tempayan dibuangkan.

Ugama dan adat resam Melayu di mana tidak akan tersangkut lenggang lenggok dan lentik layu dan segala jenis kelakuan atau keleteh-keleteh, fikiran, perasaan dan kemauan yang dikehendaki membuat cara baru, fashion baru itu.

Bahkan akan lebih-lebih teratur dan sempurana serta selamat dan mulia hidup di dunia dan akhirat kelak. Kerana adat resam Melayu yang dikatakan itu memang bercocok dengan kemauan atau perjalanan ugama Islam yang maha suci itu. Tambahan di dalam pengajaran-pengajaran ugama Islam itu apa yang tak ada?

Kaji social, ekonomi, serba serbi peraturan hidup yang sempurna baik di dunia apa lagi di bumi al-akhirat kelak cubalah menungkan, fahamkan dan pastikan.