Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 11 Jul 1935, p.12

General Article.

Nasib Orang Melayu Dahulu.

Oleh Si Buyung Kini.

Masih banyak orang-orang Melayu kita ini yang diamnya dahulu-dahulu yakni yang tinggal berjauhan dengan pekan atau bandar. Pendeknya kaum kita yang di sinilah yang biasa jauh dari lodging mereka itu masing-masing belum mengerti perkataan "Kemajuan" lagi kehidupan mereka itu amat-amat picik, setengahnya bekerja menjala ikan atau menerusi getah dan ada yang berhuma pendapatan mana boleh dikata cuma cukup-cukup dimakan secara memelihara cadangan mati sahaja, ikhtiar lain tidak ada sama sekali, maklumlah, kiranya bagi siapa-siapa juga pun daya upaya orang yang hidup dahulu-dahulu mereka itu tidak biasa memandang pergerakan orang di bandar sekalipun ia pernah juga ke pekan atau seumpamanya. Tetapi tersebab oleh miskin dan susah jadi fikiran serta kemaraan mereka itu sempit dan sedikit benar menurut takdir Tuhan sahaja lagi.

Maka kesusahan dan kemiskinan mereka ini, di separuh-separuh tempatnya tidak siapa juga yang menginsafkan jangan lagi kata yang akan menolong atau membantu mereka itu hiduplah seolah-olah sekadar dagang hanyut semata-mata.

Mereka itu insaf pada dirinya yang ada di dalam kemiskinan dan kesusahan hidupnya itu dengan tidak ia berkhabarkan atau mengadu pada siapa-siapa minta bantu atau meminta belanja kepada kaum bangsanya di pekan-pekan yang ada berduit atau berharta, kecuali sedikit-sedikit bilangan itu pun atas perkara ini tidak melebihi adat.

Ketahui wahai kaumku yang berfikiran sejahtera, tiadalah hidup kaum kita yang seperti dagang hanyut itu, tidak akan mendapat selamat selama-lamanya, atau sampai ke anak cucunya lamun tidak ditolong bantu oleh orang-orang yang boleh memberi perbantuan iaitu daripada kaum kita juga yang berpengetahuan dan berharta.

Mereka itu ((kaum kita yang miskin itu)) akan bertambah-tambah tersempit dan bertambah-tambah buruk nasibnya dari yang ada ini. Sekalipun kita di bandar berjalan beransur-ansur kepada pelbagai kemajuan namanya.

Sebetulnya juga si hamba itu tiap-tiap suratan Allah jua memeliharakan dan tiap yang hidup dijamin mesti dapat makan. Tetapi di manakah kita letakkan ikhtiar yang Tuhan beri pada kita aqal fikiran itu? Dan apa pula dikatakan hidup berkaum dan berbangsa itu? Serta dituntut supaya bersemuafakat dan bertolong-tolongan serta kasih mengasihi di antara sebangsa dan seugama itu.

Gamaknya kalau di sebelah-belah sahaja dimajukan atau yang baru jua dibarui tentulah tidak adil dan bukan makna sama sekali kemajuan Melayu bersalahan macam di negeri yang besar-besar itu bilangan rakyatnya berpuluh ganda dari bangsa kita Melayu itu pun; mereka itu tidak bersunyi-sunyi sahaja melainkan sedang mencari jalan buat menggerakkan kaumnya dahulu itu kepada kesedaran dan berlumba-lumba kepada kemajuan.

Akhirnya menungkanlah saya apakah kata pujangga Melayu yang biasa tulus ikhlas membuang masa dan mencurahkan fikirannya di awang-awangan suratkhabar-suratkhabar buat penggerak kaumnya itu.

Was-salam.