Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Aug 1935, p.8

General Article.

Pengaruh Modern.

Oleh Prof. Tanjung Pagar.

Sayogianya ini hari kita kemukakan suatu ungkapan kita yang tidak dengan sepertinya serta dinamai akan dia Pengaruh Modern. Sebagaimana jua menjadi kepala rencana kita yang tertera di atas ini. Juga dimaklumkan ke hadrat pembaca-pembaca kita yang berbahagia berkenaan dengan apa-apa yang kita tuliskan di bawah ini tidaklah kita berhajat kepada perbahasan halaman.

Seterusnya kita berkata bahwa tujuan maksud kita menuliskan rangkapan kita ini yang sebenar-benarnya ialah sebagai hendak menarik pemerhatian kaum sebangsa kita Melayu dan seugama dengan kita Islam, supaya jangan tercebur sama sekali "golongan" "kemodenan" yang sedang bermaharajalela pada masa ini.

Juga tentang kalimah Modern ini berkenaan dengan keterangannya wahai Tuan-Tuan Pembaca yang berbahagia tidakkah rasanya pada fikiran kita akan menjadi hairan buat Tuan-Tuan atas pada maknanya. Oleh sebab kalam yang termaklum itu dapat didengar setiap waktu dan masa kerana sudah menjadi bibit percakapan kepada merata-rata penduduk di alam Semenanjung ini.

Adapun kalam Modern ialah boleh dikatakan suatu percakapan yang baru yang boleh ditentukan kepada banyak perkara, bukan tertentu buat satu perkara sahaja. Dari itu, sekarang adalah Modern yang hendak kita percakapkan di sini ialah Modern yang berkenaan dengan hal ehwal pergerakan yang mana sepanjang pengetahuan kita tersangat-sangat subur kejadiannya di alam Semenanjung kita ini. Bukannya bangsa-bangsa asing sahaja yang telah terpedaya oleh Modern, bahkan kaum dan bangsa kita Melayu pun tertipu jua. Oh sudahlah nasib kaum kita yang malang!

Maka oleh kerana memikirkan kaum dan bangsa kita yang telah tertipu itu, makanya kita kuatkan tenaga kita pada menuliskan sedikit sebanyaknya berkenaan dengan Pengaruhnya Modern itu, yang mana telah kita dalami sekiranya kalau-kalau diperdiamkan juga, tentulah kelak akan mendatangkan kehinaan kepada kaum bangsa kita Melayu yang mendiami seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang kita kasihi ini.

Begitu telah kita memperkatakan wahai Tuan-Tuan yang berbahagia, betapakah tidaknya? Kerananya telah beberapa banyak kaum-kaum kita Melayu laki-laki dan perempuan yang telah kita lihat sendirinya. Juga berbagai-bagai cerita yang telah kita perdapat yang mana mendatangkan keyakinan kepada kita, bahwa dek kerana tersangat hebatnya Pengaruh Modern itu tidaklah syak lagi kaum-kaum kita yang telah tercampur kepadanya Modern sehinggakan terlalu mereka itu sama sekali pada memikirkan darihal perbuatan serta kelakuan mereka-mereka itu telah terkeluar daripada gurisan pada zahirnya.

Ya! Di sini kita berasa sedih tetapi apa hendak dikata sebab kemahuan Modern! Oh! Betapa sedihnya lagi akan datang belum tahu kerana alam kita tersangat-sangat berharap pandangan yang sedemikian telah terjadi kepada serta percaya bahwa kaum dan bangsa kita moga-moga dengan pengenalan kita ini dapat mempertukarkan pergerakan Modern yang tak elok pada penglihatan umum itu, dengan secara Modern yang diawasi oleh agama kita yang suci.

Sebab demikian kehendak kita tidak juga dihajat menghapuskan pergerakan Modern itu. Tambahan pula, ugama pun tidak melarang jua. Tetapi secara mana? Fahamkan! Tambahan pula yang mendatangkan lebih-lebih takjub apabila melihatkan setengah daripada setengahnya kaum-kaum bapa dan ibu bangsa kita yang sudah terkena ancaman Pengaruh Modern itu.

Tampaknya tidak menaruh sedikit takut atau ngeri bahwa memperlihatkan anak perawan mereka itu pergi pelesir, yakni ((makan angin)), atau juga pergi menuntut bersama-sama anak-anak muda yang bukan mengharamnya juga, tidak pula sebangsa. Dan selalu ketemuan ialah dengan bangsa Cina, Benggali, dan Kayu Arang. Apa secara yang demikian adakah lulus oleh ugama kita Tuan Pengarang?

Buat penutup rangkapan, kita yang tidak sepertinya di atas ini, kita seru kaum sebangsa dan seugama dengan kita sekali supaya dimenungkan sedikit berkenaan dengan apa-apa yang telah kita cantumkan di atas ini, kerananya kalau-kalau pergerakan Modern yang diperturutkan secara keadaan sekarang ini, kita sangat takut boleh mendirikan sesuatu binaan yang bergelar Convent khas untuk kaum Melayu pula agaknya di belakang hari, ingatlah!!!

Setakat inilah kita merebahkan kalam kita, dengan menuntut ampun kepada Tuan-Tuan Pembaca serta banyak-banyak terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya.

Was-salam.

Ingatan Kebangsaan Prof. Tanjung Pagar.