Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 23 Sep 1935, p.7

Editorial.

Kedai-Kedai Syarikat Melayu Bertambah.

Dalam ruangan ini, Majlis pernah memukul canang kepada sekalian kaum bangsa Melayu kita minta sokongan kepada mana-mana sahaja kedai atau syarikat Melayu yang baru terbuka supaya kedai atau syarikat itu dapat berdiri dengan selekas-lekasnya dan dapat pula membawa riwayat yang baik-baik bagi kaum dan bangsa kita.

Demikian jua Majlis senantiasa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada sekalian pembuka-pembuka dan Tuan-Tuan yang bersangkut-paut dengan perdirian mana-mana kedai atau syarikat Melayu, yang telah berdaya upaya menyebabkan zahirnya satu-satu kedai atau syarikat itu.

Waktu kedai Syarikat Khairiat Limited mula-mula berdiri dalam bulan October tahun 1934 dahulu, Majlis telah mengambil bahagianyya pada mencanangkan kewajipannya kepada sekalian kaum bangsa Melayu kita, demikian jua telah mengucapkan setinggi-tinggi tahniahnya kepada sekalian pembuka-pembuka yang telah bersedia dan terpaksa menghadap beberapa rintangan dan halangan pada mula-mula kejadiannya, tetapi pada masa ini menurut berita yang kita terima, kedai Syarikat Khairiat Limited itu telah bertambah maju dari sehari ke sehari.

Tidak itu sahaja yang menyukakan hati tiap-tiap seseorang bangsa Melayu yang berperasaan, akan tetapi disebabkan oleh satu contoh yang elok lagi baik itu dua tiga buah lagi kedai syarikat telah diregisterkan menurut undang-undang syarikat ((Company)) di dalam Selangor ini. Dalam bulan August 1934, Syarikat Khairiat Limited, Kajang, telah diregisterkan bermodal sebanyak $25,000. Kemudian diregisterkan pula Perniagaan Melayu Limited Sungai Segamat, Cheras, dengan bermodal $10,000. Dan baru-baru ini pula dua buah lagi kedai syarikat Melayu:

1. Syarikat Kedai Melayu Bukit Raya, Ulu Langat.

2. Persekutuan Melayu Beranang, Kampung Beranang.

Telah diregisterkan. Jikalau kita tidak silap, ialah bermodal $10,000-$10,000 jua.

Kesemua-semua kedai-kedai syarikat itu ialah tadbir Encik-Encik Abu Samah bin Haji Ali, Malayan Civil Service, District Officer Kuala Lumpur dan Ulu Langat.

Sekali ini, selain daripada kita memukul canang mengucapkan Selamat Jaya kepada segala kedai-kedai syarikat itu, dan mengucapkan tahniah yang berganda-ganda kepada pembuka-pembuka bangsa yang di dalam jajahan yang tersebut itu, kita berseru pula kepada umat Melayu Selangor khasnya, dan Semenanjung Tanah Melayu ini amnya, silalah ambil tauladan contoh daripada jajahan yang telah melangkah itu.

Dengan ini, kita berharap mudah-mudahan bangsa kita kelak bukannya sahaja dapat berniaga sama sendiri, tetapi ialah jua dapat meluaskan perniagaan mereka itu di antara segala bangsa yang ada di muka bumi ini.

Inilah satu daripada tanda-tanda semuafakat dan acuh kepada yang hak dan elok. Alhamdulillah!