Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Oct 1935, p.7

Editorial.

Tanah Lombong Bagi Anak-anak Melayu.

Menurut berita yang kita siarkan di dalam muka enam hari ini berkenaan dengan Mesyuarat Negeri Pahang yang telah bersidang pada hari Sabtu, 12 October 1935 yang lalu, yang telah diadakan di bandar Bentong itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang telah membanyakkan satu syor untuk dibawa dan ditimbangkan ke dalam perjumpaan Mesyuarat Negeri yang akan datang, iaitu berkenaan dengan menyimpan yakni mereservekan tanah-tanah lombong bagi anak-anak Melayu sebagaimana tanah-tanah tanaman yang ada sekarang ini juga.

Oleh sebab, sabda Duli Yang Maha Mulia, belum ada tanah-tanah lombong itu diuntukkan bagi anak-anak Melayu supaya boleh mereka itu belajar melombong pula.

Syor yang dibayangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang itu akan dibawa dan ditimbangkan di dalam Mesyuarat Negeri ((State Council)) yang akan datang.

Pada fikiran kita, inilah Raja syor yang terbit daripada seorang Raja Melayu yang bersih dan ikhlas hatinya ingat kepada hamba rakyatnya yang senantiasa menyerahkan junjungannya.

Kaum Melayu memang termashyur di dalam pekerjaan mencari logam hingga satu daripada asas perdirian perniagaan orang-orang Melayu pada zaman beberapa abad yang lalu ialah bijih. Oleh itu, tidaklah dapat diletakkan perkataan yang orang-orang Melayu tidak boleh membuat pekerjaan melombong atau sebagainya itu.

Pekerjaan melampan dan melanda bijih masih dikerjakan oleh setengah daripada setengah orang-orang Melayu lagi. Dan itu satu daripada tanda-tanda yang menunjukkan orang-orang Melayu suka menjadikan perusahaan itu satu daripada mata pencarian hidupnya.

Apabila tanah kawasan ((lombong)) bagi orang-orang Melayu sebagaimana yang disyorkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang itu, diadakan, maka dapatlah orang-orang Melayu menunjukkan tenaganya dalam perusahaan yang memang mereka itu mahar di dalamnya.

Orang-orang Melayu memang macam-macam kecenderungannya. Ada yang suka bertanam cucuk, ada yang suka berkebun, ada yang suka berladang, ada yang suka bekerja, ada yang suka bertukang, dan ada juga yang suka melombong dan sebagainya.

Pada fikiran kita, syor yang maha baik yang terbitnya pula daripada cenderungan negeri kita itu, maka sudah sewajibnya diterima baik oleh Mesyuarat Negeri dan tauladan yang ditunjukkan oleh negeri Pahang dan Rajanya itu tidaklah seharusnya tinggal di Pahang sahaja, bahkan sepatutnya menjadi tauladan pula kepada negeri-negeri Melayu yang lain-lain adanya.