Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Oct 1935, p.2

General Article.

Bangsa Lain Berkedai Di dalam Kawasan dan Kampung-kampung Melayu.

Kita berbanyak-banyak menerima syukur kepada kerajaan yang telah mengaturkan undang-undang serta dijalankan di atas tanah-tanah kawasan Melayu tiada boleh dijual, dimiliki, dan digadaikan kepada bangsa-bangsa lain. Tetapi sungguh pun demikian ada juga dibuat helah oleh bangsa-bangsa lain itu, iaitu dengan ditaruhkan nama Melayu yang suka menjalai tali barut kepada bangsa-bangsa lain oleh sebab mengharapkan sedikit duit kopi.

Tetapi mengapa pula satu pertanyaan timbul di hati penulis akan bangsa-bangsa lain itu seperti Keling Malabari Cina dan lain-lainnya tiada dilarang dan ditahan mereka daripada membuka kedai dan perniagaan dan tinggal di dalam kawasan dan kampung-kampung Melayu itu?

Pada halnya, perniagaan bangsa-bangsa lain di dalam kawasan Melayu itu satu bencana yang menghabiskan duit pencarian orang-orang kampung masuk kepada dalam kantung bangsa-bangsa lain.

Yang keduanya, satu bala pada membiasakan tertanam di dalam hati orang-orang kampung dan orang-orang Melayu umumnya daripada anak-anak kecil hingga kepada setua-tuanya, terlatih suka membeli di kedai bangsa lain dan sehinggakan mendatangkan tertanam di hati mereka benci hendak membeli di kedai bangsanya sendiri.

Yang ketiganya, menghilangkan satu perusahaan dan pencarian orang-orang Melayu di kampung-kampung yang suka berniaga itu.

Pada ingatan penulis sedikit hari tempoh hari dahulu ada tersiar khabar-khabar angin bahwa ketua-ketua dan penganjur-penganjur Melayu kita yang ada berasa cemburu di atas hal ini, berura-ura hendak memohonkan kepada kerajaan mengadakan aturan-aturan menahan bangsa-bangsa lain itu berniaga di dalam kawasan dan kampung-kampung Melayu.

Tetapi sehingga had mana angan-angan itu, wallahualam, sehingga pagi ini masih kosong sahaja ura-ura yang maha baik itu.

Kehidupan orang-orang Melayu di kampung dan sekalian Melayu umumnya tiadakan berjalan maju dan bertambah elok selagi tiada penganjur-penganjur bangsa Melayu yang dihormati bergerak dan menghabiskan tenaga dan usahanya, sama-sama kita tunggu.

A.Th.

Ura-ura yang seperti itu sia-sia sahaja, payah dilulus oleh kerajaan. Orang Melayu sendiri mesti bertenaga mencari ikhtiar supaya kaum Melayu yang di kawasan atau di kampung-kampung Melayu itu setia berlanggan dengan kedai-kedai bangsanya sendiri atau mendirikan kedai sendiri dan bersemuafakat sekampung-kampung itu berlanggan dengan kedainya atau kedai bangsanya. Pengarang.