Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 11 Nov 1935, p.9

Surat Kiriman.

Kaum Melayu Dengan Pekan Mingguan.

Sedikit Seruan Kita Terhadap Hartawan-hartawan Melayu Mengukuhkan Tonggak Perniagaan Melayu -- Seru Menyeru Itu Memang Satu Kewajipan Kita! A.A.H.

Setelah terdiri Pekan Mingguan di serata-serata tanah Semenanjung kita ini berjalan dengan sedikit-sedikit ke hadapan yang mana setengah-setengahnya telah mendesak kemajuan perniagaan bangsa tumpangan di negeri kita ini seperti dalam Batu Kurau, bermaknalah yang penganjur-penganjur kaum kita telah menyempurnakan satu daripada kewajipannya buat tanahair dan kaumnya begitu juga kaum kita yang telah memenuhkan pangkin-pangkin [?] di Pekan Mingguan itu tidak juga boleh dilupakan jasanya.

Sungguh pun Pekan-Pekan Mingguan kita terdiri dengan rapi baru di dalam masa empat lima tahun tetapi buktinya telah dapat dipandang dengan mata kasar dan dengar dengan telinga yang mana kita katakan begitu dewasa ini banyak kita dengar dipertuturkan oleh kaum kita perkataan belilah barang di Pekan Mingguan cukup untuk seminggu dan kita peratikan tidak apa-apa lagi sebagainya kaum kita tawar menawar sama sebangsa yang mana adat tawar menawar sama sebangsa dewasa lima enam tahun sudah sangat ganggu pada kaum kita yang menjadikan pintu-pintu kedai bangsa kita mudah sekali tertutup.

Seperti mana yang disebutkan di atas, sudahkah dapat kita kaum Melayu memperhatikan Pekan Mingguan kita itu daripada disekatkan bangsa tumpangan?

Pada menjawabnya fikirkanlah wahai kaumku. Kita tidak berpekakas buat memandang lebih jauh kita misalkan Pekan Mingguan di wilayah Alor Setar. Menurut hitungan kasar ada lebih dari sepuluh buah tempat yang semuanya memakai barang-barang dari Alor Setar. Kita pandang di bandar Alor Seta ada berapa buah kedai Melayu?

Barangkali sebuah kedai kain baju itu pun menyelit-nyelit di kedai-kedai Tionghua, habis dengan begitu kurang sekali kedai bangsa sendiri tidakkah terpaksa ahli-ahli perniagaan kita yang beratus orang di Pekan Mingguan itu mengangkat barang-barang dari kedai Cina dan India?

Dengan begitu, belumlah boleh dibilangkan Pekan Mingguan kita hidup bersendirian ataupun menyekat kemajuan perniagaan bangsa-bangsa luar sebagai kata orang-orang Cina atas Pekan Mingguan Batu Kurau sana.

Tetapi yang sebenarnya Pekan Mingguan itu sebagai pasar yang menerima commission dari kedai-kedai di bandar-bandar sahaja, fikirkanlah.

Manakala kita Melayu di Alor Setar khasnya dan Semenanjung amnya tak teringat balik yang tuntutan mengembalikan hak-hak perniagaan kita belum sempurna betul. Eloklah dimenungkan beramai-ramai buat kali ini kita menerangkan pendapatan kita dengan ringkasnya.

Di dalam itu pun kita jalan yang lebih kemas buat mengukuhkan tonggak perniagaan Melayu tidak lain daripada mengadakan kedai-kedai yang mengambil barang dari Pulau Pinang atau Singapura atau lebih jauh lagi dari tempat barang itu dikeluarkan, iaitu barang di dapur mau pun pakaian dan lain.

Buat mendirikan kedai-kedai itu contohnya boleh diambil teladan dari Sentul, Kajang dan Beranang, siapa yang telah berjaya mengikut Limited buat mengasaskan pekerjaan mendirikan Limited itu tak akan berjaya sekiranya dengan modal air liur sahaja sebagai penulis ini.

Sebab itu dengan suara yang terang kita serukan hartawan-hartawan Melayu memajaknya -- Ayuh Hartawan Melayu! Penuhkanlah peluang-peluang kosong ini, bantulah diri sendiri bermaknalah Tuan telah menolong bangsa dan tanahair.

Setakat inilah disudahi dengan berbanyak maaf kelajakan pena. Terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ihsan ruangannya.

Was-salamu alaikum dari

A.A.H. Langgar, Kedah.

6.11.35.