Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 23 Dec 1935, p.28

Aliran Arus Umat Melayu.

Sambungan.

Oleh Pegawai Syarikat Bekerja-kerjasama.

Pada fikiran saya, moleklah kita jalankan peperiksaan kita di dalam suatu majlis perbahasan.

Kembali semula kepada perubahan, pada pendapatan saya, yang cantik beredar mengikut masa itu ialah seelok-eloknya perbuatan. Tetapi jika kita hendak mendapat kejayaan di dalam perjalanan kita, sayogialah kita iringkan perbuatan kita itu dengan segala syarat-syarat dan kelengkapan yang mustahak supaya dapat dan terdiri serta kekal cita-cita kita itu. Di dalam hal ehwal peredaran hidup saya tiada berkehendak menunjukkan satu persatu. Kerana kejadian itu dapat kita lihat berlaku saban hari, dengan tiada payah menggunakan teropong pembesar.

Dan jika kita periksa dengan halus, kita akan berjumpa dengan perkara-perkara yang mustahak, kita pulihkan sebelum kita bercita-cita hendak berdiri di kemuncak kemajuan.

Di dalam tawarikh kehidupan kita Melayu, tidak ada suatu zaman yang mempunyai tuntutan yang terlebih berat daripada masa ini, di atas umat Melayu semua sekali. Pada hari ini, telah sampailah masanya yang kita umat Melayu mustahak berubah tentang perkara-perkara yang berhubung dengan kehidupan. Dan jika tidak kita akan tinggal di dalam keadaan ini juga. Saya tiada mengaku yang pendapatan saya ini betul, dan saya tiada bercadang hendak mengajar itik berenang. Tetapi bagaimana sekalipun saya suka hendak menerangkan apa dia yang pada sangkaan saya ketinggalan dan kesilapan orang kita.

Di bawah ini saya butirkan setengah daripada perkara-perkara yang kita hendak perbetulkan terlebih dahulu.

1. Perbaiki dan betulkan gaulan dan urusan rumah tangga sendiri.

2. Timbulkan perasaan kasihkan diri sendiri terlebih dahulu daripada kasihkan orang lain.

3. Tolong diri sendiri dengan jalan menyediakan kelengkapan bagi mengadap suatu pekerjaan yang kita ketahui akan datang.

4. Untukkan pencarian kita dengan sepatutnya kepada perbelanjaan dan simpanan. Jika tiada cukup hendak menyimpan tambah lagi perusahaan kita.

5. Longgokkan modal sebelum berniaga.

Sebanyak inilah yang dapat saya rencanakan bagi ucapan Selamat Hari Raya dan saya pohonkan berbanyak ampun dan maaf.

Muhammad Tahir bin Setia Raja.