Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1930, p.150-152

Feature Article.

Kelas-Kelas Malam.

Kita rasa Kelas-Kelas Malam itu ada lebih berguna pada masa ini daripada membuka suatu sekolah yang dikhaskan bagi belajar Inggeris dan Melayu sahaja. Kelas-Kelas Malam itu bukannya bagi untuk belajar bahasa sahaja, tetapi jua bagi untuk mempelajari berbagai-bagai pengetahuan yang boleh menolong penuntut-penuntut dalam berbagai-bagai jalan dan cawangan kehidupan. Lagipun di dalam kelas-kelas petang atau Kelas-Kelas Malam itu memang tidak dihadkan umur penuntut-penuntutnya -- walau dia sudah tua beruban dan meskipun ia masih budak baru lepas sekolah Melayu, asalkan masing-masing itu tahu dan masuk belajar pada lorong-lorong yang layak baginya bukan semuanya penuntut-penuntut itu boleh mengambil semua bahagian tetapi masing-masing mesti memikirkan dan memilih apa perkara dan pelajaran yang difikirkannya lebih berguna bagi dirinya. Tiap-tiap perkara yang hendak dipelajari itu boleh diikhtiarkan dan dijadi gurunya. Jika ramai dan mencukupi bilangan orang yang hendak belajar Inggeris atau lukisan atau Arab atau typewriting atau shorthand atau book-keeping atau agama atau bunyi-bunyian atau ilmu pelayaran atau lainnya yang boleh berguna pada menambah dan memajukan nafkah kehidupan, maka bolehlah diikhtiarkan dan dicari guru-guru yang pandai dalam masing-masing lorong dan pengetahuan itu. Dalam pelajaran bahasa Inggeris dikelas petang itu boleh diambil Guru-Guru Melayu yang pandai dari sekolah Inggeris dan dibayar dengan beryuran seberapa yang patut. Guru yang pandai itu tidak tergendala pekerjaannya yang biasa dan dapat pula peluang menolong kaumnya surat menambah pendapatannya.

Kita sangat dukacita memerhatikan bahwa di dalam beberapa cawangan kelas malam atau kelas petang yang telah diadakan oleh kerajaan dalam pekan-pekan dan bandar-bandar yang besar di Tanah Melayu ini untuk melatih anak-anak negeri supaya menambah kepandaiannya dan meluaskan pengetahuannya buat mencari kehidupan, kebanyakan bangsa-bangsa asing jua yang memenuhinya. Anak-anak Melayu yang setengahnya sudah tamat darjah sembilan ((Senior Cambridge)) dan yang telah dapat bekerja jadi kerani dan makan gaji itu nampaknya tidak suka hendak menambah pengetahuannya lagi. Agaknya disangkakannya pengetahuan Seniornya itu telah cukup tinggi pada hal setengahnya bercakap dan mengarang dalam bahasa Inggeris pun tiada betul -- leka terkepot-kepot dan tergagap-gagap seperti Cina Tongsan bercakap Melayu. Belanja belajar kelas malam itu kebanyakannya dalam seringgit dua sahaja pada sebulan iaitu terlebih murah lagi daripada belanja belajar di sekolah-sekolah Inggeris dan Arab di Tanah Melayu ini. Mengapa peon-peon dan anak-anak Melayu yang di dalam pekan yang tiada peluang masuk sekolah Inggeris itu tiada mahu belajar malam buat menambahkan pengetahuannya bagi menyenangkan kehidupannya? Mengapa semuanya atau hampir-hampir semuanya suka tinggal menjadi peon atau kuli atau drebar sahaja selama-lamanya?

Kita sudah biasa berjumpa dengan Cina-Cina pengedar air batu dan Cina-Cina yang bekerja menjadi kuli dalam factory-factory dan gudang-gudang motokar itu yang mengorbankan masanya sejam semalam untuk belajar bahasa Inggeris iaitu dengan tujuan hendak naik memanjat di dalam lorong pencariannya masing-masing. Asas pelajaran yang ada pada mereka itu hanyalah pelajaran tahu menulis, membaca, dan mengira sedikit dalam bahasanya seperti masa yang telah ada pada anak-anak Melayu yang telah tamat dari sekolah Melayu itu juga.

Maka barangsiapa yang tiada dapat masuk belajar kelas malam seperti belajar elektrik, ilmu-ilmu pelayaran, atau lainnya kerana barangkali cawangan yang digemarinya tiada ramai orang-orang lain menyukainya bolehlah pula belajar sendiri seberapa yang dapat. Seperti seorang daripada pejabat kita telah mengambil cawangan belajar mengambil gambar ((photography)) sehingga dapat ia berkenal-kenal dan beramah-ramah dengan tukang-tukang gambar Cina dan Jepun, dan berusaha ia mengadakan suatu bilik gelap di rumahnya sendiri. Pada masa ini ia sudah boleh memukul gambar dan membasuhnya ((develop)) dengan sendiri dan memberi puas hati. Mengapa lagi-lagi hendak membuka sekolah Inggeris yang boleh menjadikan anak-anak Melayu bekerja menjadi kerani lapuk pada hal banyak cawangan-cawangan yang lain yang boleh dibuat? Jikalau bersungguh-sungguh anak-anak Melayu yang punya daya hendak belajar, adakanlah kelas petang atau kelas malam dan ajak kawan-kawan meramaikan kelas itu.

Beberapa banyak anak-anak Melayu yang tiada tahu Inggeris di Kuala Lumpur itu telah mengadakan kelas malam untuk belajar bahasa Inggeris dengan bayaran atau yuran yang tidak lebih dari $1.50 seorang pada sebulan. Mereka itu jikalau betul-betul pandai dan usaha tentulah dalam sedikit tahun lagi banyak yang layaknya boleh bekerja menjadi salesman atau lainnya. Tetapi setengahnya oleh sebab difikirkannya belajar bahasa itu boleh dapat dalam semalam dua sahaja, maka mereka itu telah berhenti dan pulang tidur di rumahnya -- tiada cukup rajin dan tekun. Setengahnya mencuba lagi dan setengahnya pula sudah boleh dan pandai membaca dan bertutur bahasa Inggeris. Pendeknya siapa yang lebih rajin dan usaha serta bertekun betul dalam sesuatu cawangan yang diperbuatnya, dialah yang dapat.

Belajar yang seperti itu ((kelas-kelas petang)) pada fikiran kita ada lebih besar gunanya. Pertama belajar itu dengan kemahuan dan kuat hati sendiri. Kedua pelajaran itu tidak mengganggui pekerjaan hari-hari dan jika seorang menjadi peon ((budak office)) maka tahu ia membelanjakan seringgit dua sebulan daripada gajinya yang kecil itu atas perkara yang berfaedah -- bukan dihabiskannya dengan membeli tiket-tiket yang mahal buat menengok wayang ataupun buat beryuran mengadakan ronggeng atau sebagainya. Ketiga, melatih mereka itu pada tentang tahu dan pandai mengunakan waktunya dan apabila demikian halnya jika mereka itu bertambah pendapatannya, naik pangkatnya dan luas kesenangannya. Maka ia akan menjadi orang yang terlebih cermat dan berguna bagi dirinya dan negerinya. Keempat, tidak payah mereka itu ditanggung atau dibelanjakan oleh ibu bapanya yang miskin seperti anak-anak yang belajar sampai besar di dalam kelas-kelas sekolah Inggeris yang hanya tahu membelanjakan duit sahaja tetapi tiada tahu mencarinya. Orang-orang yang telah ternama di dalam dunia ini seperti yang amat berhormat Tuan J.H. Thomas, yang dahulu menjadi tukang penyapu enjin, Tuan Ramsay MacDonald yang dahulu menjadi tukang penjual surat khabar dan Tuan Herbert Hoover ((Presiden Amerika Syarikat)) yang dahulu menjadi "Foreman" di dalam gudang lombong -- sekaliannya begitulah kehidupannya iaitu sambil bekerja sambil belajar. Mereka itu bukannya anak-anak orang kaya yang disodokkan oleh ibu bapanya dengan pelajaran dari pun sekolah rendah hingga ke sekolah tinggi ((university)).

Kita tidak mahu semuanya bangsa kita dilorongkan dalam pelajaran yang boleh menjadikan mereka kerani atau tahu bercakap Inggeris pekak sahaja. Kita tidak mahu kerja-kerja seperti menangkap ikan atau menjadikan sawah itu ditinggalkan oleh kaum kita dan digantikan oleh bangsa-bangsa asing. Jikalau dapat kita mahu segala pekerjaan di tepi-tepi jalan, berjual ikan ke kampung-kampung dan lain-lain seumpama itu digantikan oleh Melayu, jika kita belum boleh menggantikan bangsa-bangsa Cina itu pada tentang membuka gudang-gudang dan toko-toko yang besar, patutlah kita dari masa ini mula menggantikan mereka itu pada tentang perniagaan yang kecil yang dibuat oleh "orang kecik" mereka itu -- itupun jadilah dahulu buat mula-mulanya.

Kelas-Kelas Malam itu memang diuntukkan bagi orang-orang yang tinggal dan mencari kehidupannya di pekan sahaja. Bagi anak-anak Melayu yang diam di kampung, kebanyakan mereka itu patut dan mesti tinggal di kampung jua memajukan kebun dan sawah padinya. Mana-mana yang tidak berhadap hatinya pada pekerjaan kampung itu patut bekerja menjadi mata-mata menjaga keamanan negeri ini, jangan dibiarkan pejabat polis kita berharap kepada orang-orang dari Punjabi sahaja. Pejabat Police kita itu dalam beberapa tahun yang lalu telah merasa kekurangan anak-anak Melayu. Polis itu suatu cawangan pekerjaan polis itu mesti dipandang oleh anak-anak Melayu sekalian dengan pandangan yang mulia.

Anak-anak Melayu di dalam pekan yang tiada mahu belajar kelas malam itu mengapa tiada mahu menjadi kuli belakar membuat rumah batu? Daripada kulilah boleh menjadi tauke. Sekarang ini sekalian rumah-rumah batu sehingga kepada masjid-masjid kita pun jikalau tiada Cina, semuanya tiada boleh terdiri. Jikalau orang-orang Cina itu menyesalnya balik semuanya ke negerinya, tiadalah dapat orang-orang Melayu yang tinggal itu membaiki rumah-rumah batu itu -- tak usahkan mengganti dan membuat baru! Mengapa semuanya hendak belajar Inggeris dan Arab sahaja? Mengapa tidak mahu belajar mengatur batu bata dan menyapu simen? Kita gaduh jua mengatakan bangsa Cina itu ramai di dalam negeri kita ini, tetapi selagi segala mata-mata air pencarian mereka itu tidak ditutup dan tidak digantikan oleh Melayu dengan perlahan-perlahan, tentulah akan berpanjangan juga mereka itu datang mencedok dan memungut di sini.

Pengarang-pengarang di Jelutong ada menyimpan ubat yang pahit bagi penyakit bangsa yang tersebut di atas itu. Apa dia ubatnya itu? ... Anglo-Malay School!

Anak Negeri.