Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Dec 1930, p.236

General Article.

Sekolah Tanam-Tanaman Tanah Melayu.

Kita telah menerima sebuah buku peraturan sekolah tanam-tanaman yang baru didirikan oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Negeri Persekutuan di tempat yang bernama Serdang, lebih kurang 14 batu jauhnya ke selatan dari Kuala Lumpur. Sekolah ini akan dibuka dalam bulan Mei tahun 1931 dan dicadangkan murid-muridnya sebanyak 80 orang yang boleh diterima. Sedikit daripada peraturannya itu kita salinkan dengan ringkas lebih kurang seperti di bawah ini:

Murid-murid itu terbahagi kepada empat bahagian:

1. Agricultural Students in Training :

Iaitu dipilih daripada peranakan Asiatik yang telah diangkat oleh kerajaan dalam jawatan penolong pegawai pejabat tanam-tanaman dalam Negeri-Negeri Persekutuan, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

2. Agricultural Pupils :

Akan dipilih daripada peranakan Asiatik yang telah terpilih menunjukkan yang ianya layak bekerja jadi pegawai dalam Pejabat Tanam-Tanaman.

3. Scholars :

Ialah murid-murid yang ditanggung dengan scholarship -- sama ada oleh kerajaan atau oleh suatu perkumpulan.

4. Private Students :

Murid-murid yang menumpang belajar.

Latihan:

Bagi murid-murid yang mengambil bahagian selama tiga tahun akan diajar dengan Bahasa Inggeris. Berbagai-bagai pelajaran ilmu menyiasat darihal kejadian tumbuh-tumbuhan negeri panas.

Penuntut-penuntut bagi masa setahun sahaja akan diajar dengan Bahasa Melayu. Dan pelajaran-pelajaran peringatan ((syarah)) dengan Bahasa Inggeris akan diberi kepada penuntut yang bukan anak Melayu iaitu daripada pelajaran-pelajaran darjah permulaan dalam latihan ilmu tanam-tanaman.

Permintaan Jadi Penuntut:

Surat-surat permintaan hendaklah dialamatkan kepada Tuan Penguasa Pejabat Tanam-Tanaman ((The Director of Agriculture)) Negeri-Negeri Selat dan Negeri Persekutuan di Kuala Lumpur.

Dan hendaklah menyatakan umur serta surat keterangan pelajaran ((Educational Qualifications)).

Murid-murid yang di dalam bahagian ((1) itu akan diterima daripada mereka yang telah lulus dalam peperiksaan Junior Cambridge dan sedang belajar dalam Senior Cambridge.

Murid-murid dalam bahagian ((2) akan dipilih daripada murid-murid yang telah tamat Darjah V dalam Sekolah Melayu dan jika bangsa lain hendaklah pass Darjah V di Sekolah Inggeris.

Apakala diterima surat-surat permintaan itu, jika ada kosong tempat murid-murid sekolah itu akan dikirimkan kepadanya suatu form. Maka hendaklah dipenuhkan form itu dan kirimkan balik dengan seberapa segera.

Mereka-mereka yang diterima itu hendaklah datang berjumpa ((interview)) dengan Tuan Penguasa Tanam-Tanaman dan akan diadakan peperiksaan menguji pelajarannya -- baik yang mengambil bahagian tiga tahun atau yang setahun.

Penuntut-penuntut Bahagian A dan B akan menerima pelajaran dengan bebas dan tempat tinggal serta wang belanja yang tetap. Apakala telah lulus ia dalam pelajarannya akan diberi jawatan Agricultural Assistant dan Agricultural Subordinate.

Mereka itu hendaklah menyain suatu akuan ((agreement)) yang dia sanggup mengikut sepanjang peraturan-peraturan dan taat kepada sebarang kawalan dan lulus dalam sebarang peperiksaan serta bekerja dalam jawatan yang diuntukkan baginya sehingga cukup tempohnya yang tertentu. Jika sekiranya mungkir kelak, ia akan terkena membayar segala perbelanjaan selama berlatih dalam sekolah itu.

Naskah-naskah bagi peraturan bahagian ((A) dan ((B) boleh didapati daripada Tuan Penguasa Tanam-Tanaman di Kuala Lumpur.

Masuk Jadi Private Student:

Surat permintaan hendaklah dialamatkan kepada Tuan Pengetua ((Principal)) sekolah itu, dan hendaklah menyatakan umur, surat Certificate pelajarannya, dan bahagian mana hendak belajar. Mereka yang akan mengambil bahagian tiga tahun hendaklah berumur tiada kurang daripada 16 tahun dan telah pass Junior Cambridge dan sedang dalam Senior Cambridge. Lain daripada itu mereka yang dapat kepujian di dalam Ilmu Hisab.

Peminta bagi masa setahun akan diterima daripada murid-murid yang telah lulus Darjah V di Sekolah Melayu dan hendaklah berumur sekurang-kurangnya 15 tahun. Dan jika bangsa lain ((bukan Melayu)) mahulah pass Darjah V di sekolah Inggeris.

Keterangan yang lebih lanjut boleh didapati daripada Tuan Penguasa Pejabat Tanam-Tanaman Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Persekutuan di Kuala Lumpur.

The Director of Agriculture, Straits Settlements & FMS,

Kuala Lumpur.