Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1930, p.10

Surat Kiriman.

Surat Kiriman Al-Mukarram Tuan Pengarang Majalah Guru, Dengan kesejahteraannya.

Tuan,

Dengan sebesar-besar permintaan saya diharapkan kiranya Tuan kabulkan; adalah rencana peringatan fasal masalah laki-laki dan perempuan, "Kejahatan lucah dan kebaikan bersih", karangan Prof. J. H. Morehead LLD dan sepucuk surat yang terbuka kepada segala orang muda-muda daripada Tuan Douglas Whitehead yang dimelayukan oleh Za`aba di dalam Majalah Guru dari bilangan 8 hingga 11 tahun 1929 itu, saya mintak Tuan jadikan satu kitab untuk karangan ini sahaja. Saya perkenan benar apa-apa yang tersebut dalam kedua-dua karangan itu dan saya percaya betul-betul iaitulah kemajuan bagi mana-mana bangsa yang mengamalkan dia. Elok sangat kedua-dua karangan ini diberi baca kepada anak-anak muda dan perempuan yang berumur 13,14 dan 15 tahun dan patut tiap-tiap orang ada menyimpan sebuah. Sayang benar saya takut kalau-kalau karangan kedua ini tidak dicapkan menjadi kitab bersendiri boleh jadi hilang faedahnya yang sangat besar itu. Bila sudah dicapkan menjadi kitab, saya ada berniat hendak membeli kadar yang tidak keberatan atas saya kerana menghadiahkan kepada pemuda-pemuda dan perempuan-perempuan yang tiada berlupai. Begitu as-Salam kepada Tuan. Demikianlah adanya.

Tengku Abdul Kadir bin Sulaiman. Kampung Laut, Kelantan.

((Surat di atas ini sudah kita perlihatkan kepada Za`aba. Katanya, "Rencana fasal itu ada empat semuanya lebih kurang sama panjang; yang ketiganya ada mula dikeluarkan pada bilangan ini, iaitu diterjemah oleh Encik Abdul Kuddus dan yang keempatnya akan datang apabila selesai yang ketiga itu. Setelah itu, Inshallah, akan diikhtiarkan fasal hendak menjadikan dia kitab bersendiri itu dengan meminta kebenaran daripada pengarangnya atau companynya atau lain-lainnya serta memperoleh hak mencetakkannya. Memang rencana-rencana itu diterjemah dengan kehendak pegawai kesihatan Singapura hendak dicapkan dan diberi-berikan percuma kepada orang-orang Melayu, tetapi entah apa sebabnya maka tiada jadi." P.))