Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1930, p.130-131

General Article.

Anglo-Malay School di Pulau Pinang. "Saudara" sudah babas!

Perkara "Anglo-Malay School" yang dikemukakan oleh "Saudara" dan "Ikhwan" itu telah dibahaskan sedikit dalam majalah ini yang terbit pada 1.5.30. Surat khabar Saudara yang keluar saban minggu itu baru pada 7.6.30 yang lalu dapat memuatkan fikirannya berkenaan dengan apa yang telah terbentang dalam majalah ini dahulu. Agaknya sebab lewat kerana ada perkara-perkara yang lain yang difikirkannya wajib dimuatkan dalam ruangan lebih dahulu.

Bercakap itu memanglah senang walau melewat-lewat kepada menyebut nama Tuan Ramsay MacDonald, Mustafa Kamal, Chiang Kai Shek dan beberapa nama orang yang terbilang di muka tarikah dalam dunia ini. Beberapa banyak orang yang telah menyampaikan kepada mercu ketinggian hidup seperti mereka itu bukannya dengan sebab "sekolah" semata-mata tetapi ialah dengan Perseverence dan Self-Help, iaitu dengan tidak jemu dan tidak berhenti-henti daripada menolong diri-sendiri, belajar sendiri dan bekerja sendiri.

Pada masa ini pun ada beberapa banyak contoh yang kita boleh dapat lihat orang-orang yang telah besar dan tua itu berusaha menolong dirinya sendiri baik dengan seorang dirinya mau pun dengan bermuafakat mengadakan "Evening Class=" atau lainnya. Merata-rata dunia ini memang banyak kita boleh berjumpa orang-orang yang bekerja dan belajar sendiri ketika orang lain tidur. Tetapi jikalau Tuan Pengarang "Saudara" menyebut sekaliannya itu buat contoh menguatkan fikirannya berkenaan dengan Anglo-Malay School itu, maka kita katalah yang ia telah babas dan hanyut daripada tujuannya yang mula-mula berkenaan dengan "sekolah" itu. Bercakap itu memang senang -- senang berkata boleh belajar dipangkal pokok pisang, senang berkata tak payah pakai guru yang pandai dan senang menyebut tak payah kira umur dan wang ringgit -- tetapi cubalah buat!

Jikalau Saudara berkata tak payah mencari guru yang pandai yang mahal gajinya bagaimana Saudara boleh berkata "Carilah sahaja bagi permulaan ini guru-guru yang boleh memberi pengertian pelajaran kepada murid-muridnya dengan jalan yang senang menurut peraturan yang boleh mendapat kebenaran misalnya", tetapi jikalau gurunya tidak pandai, bagaimana ia boleh memberi pelajaran dengan jalan yang senang menurut peraturan-peraturannya?

Mengapa pula ditambah "misalnya" pada hujung perkataan itu? Kita mau buat dan bukan mau pakai "misal" lagi. Dan lagi, jikalau sudah mau nampaknya Tuan itu membuat peraturan lebih kurang pada sekolah yang akan dipakaikan dengan nama "Anglo-Malay School" itu mengapa pula dahulu Tuan gaduh mengatakan aturan pelajaran dan kemajuan di sekolah-sekolah Arab sekarang tiada memberi puashati?

Cadangkan sahajalah yang Bahasa Inggeris itu tambah jadikan satu "subject" lagi di sekolah-sekolah Arab sekarang dan cadangkan yang pelajaran Bahasa Arab itu ditukar dengan Bahasa Melayu. Tentang peraturan yang tidak memberi puashati itu, tinggalkanlah begitu jua kerana "Anglo-Malay School" yang diura-urakan nampaknya akan memakai peraturan yang lebih kurang jua.

Tuan Pengarang Saudara berkata "kita tidak berkehendak kesemuanya orang-orang yang bersekolah itu supaya laku atau pandai untuk menjadi perkakas atau makan gaji ....". Sesungguhnya dengan sebab kita pun tidak suka anak-anak Melayu itu sekalian menjadi kerani makan gaji itulah maka kita pandang akan tujuann-tujuan hendak membuka "Anglo-Malay School" itu dengan pandangan "syak".

Jikalau diakhirkan Bahasa Melayu sahaja di dalam sekolah itu, tidakkah akhirnya mereka itu akan terhalau kepada pekerjaan makan gaji jua? Itulah sebabnya kita kata siang-siang yang mereka itu mesti berlatih dari kecil dalam pekerjaan-pekerjaan yang tidak mewajibkan mereka itu mencari kerja makan gaji apabila mereka itu besar kelak. Mengapa anak-anak belajar pada tentang enjin-enjin dalam Workshops atau berlatih berkebun sayur atau menjual air batu atau membuat kasut atau belajar menjahit kain baju ((tailoring)) atau belajar dalam kerja-kerja seperti bertukang membuat meja, almari, kerusi, atau belajar menjual-menjual cigarette dan coklat di tepi-tepi jalan seperti yang dibuat oleh beberapa banyak anak-anak Cina yang akhirnya boleh menjadi kaya-raya dengan pekerjaan dan latihan yang seperti itu. Sungguhpun sekaliannya itu menyebut-nyebut senang iaitu sama sahaja setengahnya seperti menyebut "Anglo-Malay School" itu, tetapi pada fikiran kita yang demikian itu lebih berguna daripada "Anglo-Malay School" itu jikalau sebenar-benarnya tujuan kita tidak hendak menjadikan kerani dan orang makan gaji belaka.

Cuba perhatikan di kedai-kedai tukang jahit, tukang kasut, dan factory-factory beberapa banyak anak-anak Cina itu yang bekerja ((belajar)) dengan percuma atau dengan gaji yang sangat sedikit. Mereka itulah yang akan menjadi tauke-tauke yang kaya dalam masa yang akan datang. Tetapi jikalau hendak mendapat sekalian itu bagi bangsa kita mengapa pula hendak dihimpunkan budak-budak itu di dalam suatu tempat yang dinamakan "Anglo-Malay School"? jikalau kita hendakkan buah kelapa bolehkah dapat jika kita tanam benih pisang?

Tiap-tiap orang yang ingin hendak melihat kemajuan bangsanya pada tentang serba serbi perniagaan maulah ia memikirkan betul-betul apakah jaminan latihan dan pelajaran yang patut diberi kepada anak-anak bangsanya supaya mereka itu boleh jadi selamat makmur dan kaya raya apabila mereka itu besar kelak. Mengapa pada tentang pelajaran Inggeris yang telah memang dimajukan oleh kerajaan itu sahaja hendak dimajukan lagi?

Tidakkah tujuan orang yang seperti itu hendak menjadikan semua anak bangsanya kerani sungguhpun suaranya becok mengatakan "bukan hendak jadi kerani".

Jikalau dilatih dalam Bahasa Inggeris, anak-anak pengail atau penangkap ikan yang telah memang diperhatikan dari sekolah Melayu tumpul anaknya dalam perkara-perkara bahasa dalam ilmu tulis menulis dan kira-kira, bolehkah anak-anak itu maju dalam pelajaran Inggerisnya dengan pula apakala mereka itu besar kelak jikalau tiada layak mereka itu membuat kerja kerani, maukah mereka itu balik membuat pekerjaan bapanya?

Kerajaan tidak membezakan di antara bangsa tinggi dan bangsa rendah atau di antara orang kaya dan orang miskin. Bahkan selama ini beberapa banyak anak-anak orang yang miskin dan anak-anak peladang dan orang kampung yang cerdik dan tajam akalnya itu yang telah diterima dan diambil dan dinasihatkan sudah masuk sekolah Inggeris dan setengah mereka itu telah jaya kehidupannya dengan sebab latihan kerajaan itu. Tetapi mana yang telah dapati tumpul otaknya dan tiada jaya pelajarannya di sekolah Melayu atau pun di sekolah Inggeris itu walau sekalipun ia anak raja atau anak milyuner, maka itu menunjukkan ada bagi mereka itu diuntukkan oleh mana lorong dan peluang yang lain buat mereka itu boleh maju dalam kehidupannya di dunia ini.

Barangkali mereka itu boleh jaya dalam pekerjaan soldadu atau mata-mata ((polis)) yang sangat berguna bagi negeri atau barangkali lorongnya pada tentang bercucuk tanam atau bertolak pelihara hidup-hidupan, atau ugama atau melukis atau fotografi atau bunyi-bunyian atau lain-lainnya. Mengapa lagi-lagi mereka itu hendak disumbatkan ke dalam sekolah yang ada belajar Inggeris sahaja?

Tuan Pengarang Saudara berkata aturan cadangan saya itu menyempitkan jalan "kemajuan" maka saya kata pula jikalau semuanya anak-anak bangsa kita hendak dimajukan pada selorong sahaja seperti hendak belajar Bahasa Inggeris sahaja -- itulah yang lebih sempit dan menyempitkan kemajuan bangsa.

Tinggal lagi jikalau anak-anak yang tiada dapat masuk sekolah Inggeris itu sudah ada berlatih dalam berbagai-bagai cawangan pekerjaan seperti yang saya sebutkan di atas itu, jikalau mereka itu hendak belajar Inggeris atau Melayu atau Ugama atau Short Hand atau belajar bahasa Cina dan Keling atau Seamanship ((ilmu pelayaran)) seperti yang telah diadakan di Singapura atau lainnya buat menambah kemajuan pekerjaan masing-masing dalam pencarian kehidupannya, terlebih eloklah mereka itu belakar lagi dengan bermuafakat mengadakan kelas-kelas petang atau kelas malam ((Evening Classes)).

Bangsa-bangsa lain yang maju dalam negeri kita ini begitulah aturannya. Kelas-kelas malam yang diadakan oleh kerajaan buat mempelajari berbagai-bagai perkara di Kuala Lumpur itu penuh dengan anak-anak bangsa lain yang bermacam-macam darjah kehidupannya dan pekerjaannya. Tetapi tidak ada tiga empat kerat pun bangsa Melayu yang ingin hendak masuk ke situ!

Semuanya hendak jadi kerani sahaja dan bila sudah jadi kerani sekolah, mereka tinggal jadi kerani selama-lamanya dengan tidak hendak menambah pelajarannya. Tetapi begitukan tujuan "Anglo-Malay School" yang mula-mula diura-urakan itu? Jikalau begitu iaitu ubah namanya kepada "Malay Evening Class=" atau "Malay Evening School" supaya jangan menjadi salah faham orang-orang yang ada berhati hendak memberi fikirannya. Tetapi jikalau hendak diadakan "Anglo-Malay School" itu seperti aturan "Anglo-Chinese School" atau "Anglo-Arabic School", saya katalah siang-siang bahwa peraturan hendak menerima murid-murid dengan tiada berhad ((termasuk yang sudah putih ubannya dan tanggal giginya sekali)) itu sudah jatuh jadi sangat "common" pada bilangan sekolah. Beginikah yang telah diadakan di Sumatera atau di Tanah Jawa?

Patutlah di sana banyak sangat orang-orang yang tiada puas hati dan banyak yang menjadi pengikut telunjuk ketua-ketua kaum Soviet dalam pergerakan "Communism". Kita di Tanah Melayu tidak mau menerima sebesar hama pun aturan dan ajaran yang seperti itu.

Adapun yang dikatakan oleh surat khabar di Jelutong itu bangsa Turki tua dan muda balik bersekolah itu bukanlah maknanya kesemua balik belajar di dalam sekolah seperti "Anglo-Malay School" yang dicadangkan itu. Tetapi ialah dengan mengadakan muafakat sama sendiri dan peraturan itu bukannya pula dicadangkan oleh kerajaan akan berkepanjangan selagi ada umur kerajaan itu dan bangsa Turki, melainkan ialah buat sementara orang-orang tua yang tiada tahu huruf rumi itu belum mati sahaja.

Lagipun pelajaran mereka itu tidak pula menganggu pekerjaan hidup mereka itu sehari-hari melainkan "bekerja bekerja jua dan belajar belajar jua". Seperti peraturan penuntut-penuntut "Evening Class=" atau "Evening School" yang saya sebutkan di atas ini.

Anak Negeri.