Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1930, p.49

General Article.

Tanah Melayu dilumuri dengan Cat Hitam.

Di antara beberapa banyak orang-orang putih yang menulis ke negerinya ((England)) tetapi kiriman yang di bawah ini sangat-sangat tiada betul, dan jikalau tahu siapa penulis itu patut diikat, dijemur dan disebatkan dua tiga sarang kerengga!

Seorang yang baharu bekerja di Tanah Melayu baru-baru ini telah menulis dalam "Peacehaven and Newhaven Gazette", di antara lain-lain katanya,

"... Mula-mulanya kami bergaduh dengan anak-anak negeri itu ((Tanah Melayu)), mereka itu telah mencincang-cincang seorang Cina dan dicampakkan ke atas busut anai-anai supaya mati. Weldon dan saya telah dapat melarikan seorang daripada mereka itu ketika mereka itu tengah hendak memulakan kebengisannya. Rambut orang yang kami larikan itu telah dicabutkannya dan kukunya telah dikoyakkannya. Mereka itu ((anak negeri)) meminum tuak dan suka memukul gendang-gendangan yang bunyi celaka itu sehingga sampai mereka itu orang yang tak ingatkan diri nampaknya.

Saya telah pergi ke suatu tempat makan yang besar sekali dalam negeri ini, di mana ada lebih kurang 17 Orang Putih. Kemudian kami menaiki sampan melalui jalan yang bah airnya mendapatkan sebuah kampung 12 batu jauhnya melihat suatu permainan -- fikirkanlah bagaimana rupanya tempat itu! Suatu kumpulan orang-orang hitam beramai telah beratur berderet-deret, baunya .... hapak, hanyir dan busuk melentung!

Kesemuanya mereka itu mengunyah sirih. Apabila kami sampai, maka ketua kampungnya yang rupa s.m.p.w.d.l [?] itu mengajak duduk di atas bangku-bangku yang kotor dan diberinya kami makanan dan minuman yang sehabis-habis tidak sedap sekali yang telah saya rasa seumur hidup saya.

Kemudian dipakaikannya pula dileher kami bunga-bunga lalu menjerit-njerit mereka itu memuji kami. Kami tidak dibenarkan memukul dan merotan anak-anak negeri ini, tetapi mereka itu berkehendakan supaya dibantai -- bangsa yang laparkan darah! Dan lagi, banyak jua kumpulan orang Melayu hutan yang merayau merata-rata pada malam hari. Kami sedang bermuafakat hendak menghalau dan membunuh mereka itu.

Jangan susah hati ayahanda dan bonda! Tetapi kirimkanlah saya sedikit "Pudding" ((suatu jenis makanan)) kerana makanan di sini hanyalah bayang-bayang yang pucat daripada yang boleh didapati di negeri kita. Bahkan sekaliannya di sini ada bau hutan -- hapak dan tengit yang disebabkan oleh beberapa tahun telah busuk dan basi. Sekarang saya mesti keluar mengepalakan sedikit kerja -- Cheerio!"