Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1930, p.42

Editorial.

Selamat Hari Raya.

Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada tuan-tuan pembaca dan sahabat-sahabat sekalian. Jikalau orang-orang Eropah mereka itu setahun sekali berucap "Selamat Krismas" dan "Selamat Tahun Baru", orang-orang Cina dan Jepun pun mengucapkan juga "Selamat Tahun Baru"nya. Di dalam ucapan-ucapan selamat mereka itu terkandunglah di dalamnya ucapan dan doa selamat di atas segala cadang-cadangan yang hendak diperbuat oleh mereka itu, pada tentang perniagaan, pelajaran, perasaan, dan sebagainya dalam tahun yang akan datang.

Tetapi di antara kita orang Melayu pula peluang yang sangat besar buat berucap-ucapan setahun sekali itu ialah pada Hari Raya Puasa ini. Maka Hari Raya Haji, sungguhpun lebih mulia dan lebih besar kepada orang-orang Arab, tetapi entah apalah kenanya tidak mau besar pada kita di sini. Kita tidak juga biasa berucap-ucapan pada awal tahun Melayu kita, iaitu satu Muharram. Maka ketika Hari Raya Puasa yang sangat kita besarkan ini pula ((agaknya oleh sebab baru lepas menahan diri selama sebulan!)) apabila orang-orang kita mengucapkan "Selamat Hari Raya" baik dengan mulut maupun dengan kard, adalah maknanya yang kebiasaan mengandungi lebih kurang begini:

"Selamat bersuka ria memakai cantik-cantik dan memakan minum yang sedap-sedap dan berjalan-jalan melawat sanak-saudara dan sahabat handai ke sana ke mari, iaitu selama tiga empat hari lepas Puasa ini. Serta bermaaf-maafan atas apa percakapan yang terlebih dan terkurang. Dan minta halalkan apa yang termakan dan terminum, zahir dan batin."

Bila sudah bermaaf-maafan seperti itu, mereka itu sekalian sudahlah berasa sedap hati, iaitu jikalau mereka mati pun tidaklah ada lagi soal sama-sama manusia yang akan dijawab -- sudah selesai!

Sekarang saya mengucapkan "Selamat Hari Raya" dengan semangat yang lain daripada biasa. Saya bukan meniru-niru orang Eropah ataupun mengikut-ikut orang Cina dan Jepun, tetapi saya membuat bagaimana yang saya fikirkan lebih baik.

Saya ucapkan "Selamat Hari Raya" kepada sekalian tuan-tuan pembaca dengan tujuan supaya dari awal bulan Syawal ini hingga sampai ke akhir Ramadhan sekali lagi, dapatlah hendaknya tuan-tuan dan sahabat-sahabat saya sekalian, memajukan segala pekerjaan kebajikan yang dicita-cita; buat faedah diri tuan dan bangsa Melayu.

Kita sekalian berharap dan memandang dua belas bulan yang akan datang lagi dengan perasaan yang penuh dengan segala kebolehan dan kejayaan pada sebarang yang kita cita-cita.

Bangsa kita, umat Melayu sekarang ini, tengah kelam-kabut berkehendakan kepandaian pelajaran, perusahaan, persatuan, kekayaan dan ketinggian -- sekaliannya itu cita-cita kita. Dan boleh kita jadikan cadang-cadangan dalam program hidup kita buat setahun yang akan datang. Sekaranglah masanya, iaitu ketika kita berucap-ucapan, ini patut kita menuliskan atau menyediakan daftar-daftar perkara yang akan kita perbuat dan diikut dari masa ini hingga ke Hari Raya yang satu lagi.

Masing-masing orang mengikut masing-masing pekerjaannya, masing-masing kecenderungan hatinya-hatinya, boleh membuat dan menyediakan masing-masing program setahun. Oleh sebab percaya hati saya bahwa ramai di antara tuan-tuan pembaca yang telah menetapkan cadangan-cadangannya dan programnya. Maka saya ucapkan selamat kepada mereka itu.

Yang bercucuk tanam daripada padi, getah, kelapa, dan lainnya, diharapkan tanam-tanamannya -- dengan sebab lebih usahanya -- akan bertambah subur dan banyak mengeluarkan hasil.

Yang belajar -- iaitu di Sekolah Inggeris atau Arab atau Melayu, ataupun di Sekolah-Sekolah Doktor, perniagaan dan pertukangan ((Trade School)), sekolah tanam-tanaman dan Technical School dan lain-lain lagi -- diharap akan bersungguh-sungguh belajar dalam setahun yang akan datang dan lulus di dalam peperiksaannya.

Yang sudah bekerja -- diharap akan bertambah-tambah rajin dan taat serta tidak jemu menjalankan kerjanya dan kewajipannya, supaya nama Melayu yang telah busuk dan masyhur tidak tahan bekerja itu boleh perlahan-perlahan beransur hilang.

Yang mencuba hendak berniaga dan yang telah sedia berniaga -- diharapkan akan dapat mengikut contoh perniagaan bangsa-bangsa lain.

Maka yang mengarang kitab-kitab dan buku-buku dan mengeluarkan majalah-majalah dan surat-surat khabar -- diharap akan bertambah-tambah jaya memberi pengetahuan dan keluasan fikiran kepada anak-anak Melayu yang masih meraba-raba.

Dan yang mencuba hendak berjimat-jimat dan menyimpan wang -- diharapkan dapat mereka mengurangkan belanjanya dan melebihkan simpanannya bagi faedah dirinya dan anak-anaknya.

Pendeknya, pada Hari Raya ini kita orang Melayu boleh membuat beribu-ribu cadangan bagi setahun yang akan datang, mengikut kecenderungan dan kemahuan hati masing-masing. Kepada sekalian yang ada bercadang-cadangan baik seperti itu, maka saya ucapkan selamat! Kepada sesiapa yang programnya kosong dan cadang-cadangannya tiada lain lagi daripada hendak memakai cantik-cantik dan lawa-lawa, dan makan minum serta makan angin berjalan-jalan dalam empat lima hari lepas Puasa ini, saya ucapkan "Selamat Hari Raya"; biarlah mereka yang tiada berhaluan hidup itu berucap-ucapan kosong sama-sama mereka sahaja. Dan diharapkan pada Hari Raya yang lagi satu, dapat mereka itu memasukkan sekurang-kurangnya satu cadangan di dalam programnya.

Orang-orang Cina yang sangat maju dan sedang menelan ekor kepala bangsa kita Melayu ini telah mengucap-ucapkan Hari Raya dan tahun barunya pada awal Puasa kita ini dahulu. Agaknya entah berapa puluh atau ratus ribu cadangan yang telah direka-reka dan dicadang-cadang oleh mereka itu bagi setahunnya yang akan datang.

Sekarang meriahlah pula kita sekalian umat Melayu masing-masing membuat rekaan-rekaan dan cadangan-cadangan kita itu, mudah-mudahan dengan jalan itu bukannya sahaja pada beberapa tahun yang akan datang tetapi jua pada beberapa kurun yang akan sampai, dapatlah bangsa kita dan negeri kita terselamat daripada bahaya didesak, dihimpit, dan diketepikan oleh orang-orang Cina yang sedang bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya di dalam negeri kita ini. Wasallam.

Muhammad Yusuf bin Ahmad.