Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, May 1930, p.87-89

General Article.

Melayu Ada Harap Akan Bangkit Oleh sebab ada Raja-Raja, ada Orang Besar-Besar dan ada Guru-Guru Agama. ((Sambungan MG Bulan April 1930))

Saya tidak lupa kepada Orang Besar-Besar yang ada sekarang ini, dan saya memuji kepintaran akal dan kecerdikan mereka itu. Maka dengan sebab akal dan kecerdikan merekalah yang telah mengangkatkan diri mereka itu kepada darjat kemuliaan dan kehormatan yang telah dicapainya pada masa ini. Dan dengan sebab cerdik pandainya itulah pula yang mengangkatkan hati sekalian umat bangsanya yang bergantung harap kepadanya, supaya boleh memimpin mereka ke darjat kemuliaan seperti bagaimana yang telah diperdapati oleh bangsa-bangsa asing di dalam Tanah Semenanjung ini.

Lidah Orang Besar-Besar itu memang masin, cakap-cakapnya memang terpakai, syor dan fikirannya memang diperhargakan. Hukuman-hukumannya akan diturut dan nasihat-nasihatnya sedia dinanti. Apalagi Orang Besar-Besar itupun memang pula tinggi cita-citanya dan luas pemandangannya, sukacita dan gemar ia dilihat akan kerajinan dan perusahaan sekalian anak-anak buahnya.

Tinggal lagi yang selama ini nampaknya anak-anak buah berharap sangat-sangat akan dapat menerima apa jua buah fikiran atau nasihat yang berguna daripada Orang-Orang Besarnya untuk dijalankan dan dimajukan. Tetapi mereka itu tidak pernah barang sekalipun memohonkan nasihat itu daripada Orang-Orang Besarnya; dan Orang-Orang Besarnya pula berharap sangat akan kemajuan kaum dan bangsanya dengan tidak payah menanti-nanti nasihat daripadanya lagi, melainkan patutlah sekalian umat Melayu ini berjalan terus dengan sendiri.

Bahkan Orang Besar-Besar itu memang memperhatikan gerak-geri sekalian anak-anak buahnya dan berasa sombong hatinya melihat kemajuan sekalian anak-anak buahnya itu. Sekiranya mereka itu tahu akan anak-anak buahnya itu berhajat hendak menyambut nasihat daripadanya, tentulah kesemua Orang Besar-Besar itu lebih suka memberi nasihat dan lebih gemar berkata-kata di dalam majlis perhimpunan ramai, bersyarah dan mengeluarkan buah fikirannya yang mana akan memberi kebajikan kepada umum kaum bangsa dan anak-anak buahnya, kerana perkara yang seumpama itu memang disukai oleh Orang Besar-Besar di dalam alam dunia ini.

Saya fikir juga tak lama lagi, tentulah Orang Besar-Besar kita akan begitu bergerak ke muka dan akan mengambil bahagian tentang perkara memajukan kaum dan bangsanya dengan berbagai-bagai nasihat dan bermacam-macam daya upaya, supaya menambah-nambahi kebilangan bagi dirinya dan menambah-nambahi kemanisan bagi cerita hidupnya sehingga beberapa lama kemudian daripada matinya kelak.

Sebagai lagi, tidaklah puas rasanya hati jika tidak dapat saya melahirkan terima kasih saya yang banyak kepada sekalian Tuan-Tuan Guru-Guru Agama yang di dalam alam Melayu ini. Kerana saya percaya dan mengerti akan bahawasanya dengan sebab mereka itulah yang menjadikan umat Melayu ini celik sedikit sebanyaknya pada tentang pelajaran Agama, dan tahu serba sedikit di atas segala aturan Halal dan Haram, Pahala dan Dosa, serta mengerti sebagaimana jalan yang patut diperbuat supaya hidup mereka itu senantiasa beribadat kepada Tuhannya. Maka dengan sebab itulah sekalian mereka ((Guru-Guru Agama itu)) dipandang oleh umat bangsanya sama seperti suluh yang amat terang-benderang di dalam alam ini dikerumuni dan dikunjungi oleh sekalian murid-muridnya akan segala ajaran nasihatnya serta dihormati dan dimuliakannya diri Tuan-Tuan Guru itu seperti bagaimana kemuliaan orang yang baik ((atau lebih lagi diri itu)).

Ya, betul, sesungguhnya jika tidak dengan berkata, usaha mereka itu haruslah sekalian umat Melayu yang ada sekarang ini tinggal di dalam gelap kejahilannya tiada tahu suatu apa dan tidak mengerti ((buta)) sama sekali akan aturan-aturan Agama Islam yang maha suci. Oleh yang demikian, alangkah besar nikmatnya dan lebih besar pahalanya yang akan diberi oleh Tuhan Seru Sekalian Alam kepada sekalian Guru-Guru Agama yang tersebut itu. Sekalipun ada jua setengah orang mengata kepada mereka itu yang ajaran mereka itu tidak berapa memberi kebajikan kepada umat Melayu sekarang ini, tetapi saya tidak dapat hendak menyertai fikiran orang yang seumpama itu, kerana pada pemandangan saya, bahwa besar gunanya Guru-Guru Agama itu: dapat ia menjinak-jinakkan kaumnya kepada satu-satu fikiran dan dapat pula ia memasukkan ilmu-ilmu yang boleh menjadikan aman daripada berkelahi dan berbunuh-bunuhan serta selalu ia menanamkan nasihat dengan menurut undang-undang Agama kepada jalan berbuat baik. Jangan berbantah, jangan berkelahi, jangan berdengki-dengkian, jangan menipu, jangan mencuri, jangan bohong, jangan dan segala jangan yang seumpamanya.

Tinggal lagi yang selama ini sebab dapat orang mencelahkan kata-kata seperti bagaimana yang kita selalu dengar dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah sekarang ini ialah kerana setengah daripada Guru-Guru Agama itu mengajar seqadar ringkasan Agama sahaja. Tiada juga terang, dan bagi murid-muridnya pula tidak pulak mau melangkah lebih jauh sedikit lagi daripada ajaran guru-gurunya itu. Maka itulah sebabnya tidak dapat dipandang oleh mata seramai akan kebuktian Agama yang telah diajarkannya itu. ((Inilah sahaja satu perkara lagi yang ketinggalan Guru-Guru Agama itu pada masa ini nampaknya.)) Sekiranya dapatlah Tuan-Tuan Guru itu lanjutkan ajaran agamanya lebih luas lagi daripada yang telah sudah itu percayalah saya yang mereka itu akan dipandang oleh sekalian umat bangsaanya suatu kejadian yang sebaik-baik manusia di dalam alam ini; dan tiadalah seorang jua pun yang berani membuka mulut pada menyalahi setengah daripada ajarannya itu.

Buat menyenangkan Tuan-Tuan Guru Agama itu berfikir bagi keluasaan Agama yang saya maksudkan ini, biarlah saya terangkan di sini sedikit daripadanya dengan ringkasan perkataan sahaja kerana saya tahu bahwa Guru-Guru Agama itu memang tajam akalnya dan dalam ilmunya. Oleh itu memadailah baginya dengan sedikit bayangan perkataan sahaja. Lebih tidak, dengan serta-merta itu jua mereka itu akan cukup mengerti dan menjalankan fahamnya yang lebih molek dan lebih jauh lagi daripada kenyataan-kenyataan saya itu.

Adapun setengah daripada ajaran Agama yang patut diluaskan itu ((selain daripada ajaran-ajaran yang biasa)) ialah seperti yang teratur di bawah ini:

Pertama, tentang mengucap dua Kalimah Shahadat. Patutlah diberi erti dengan selanjut-lanjutnya supaya tertolak daripada menbanyakkan tuhan dan membanyakkan rasul yang palsu -- seumpama percayakan hantu, memuliakan kubur orang yang mati, meminta tolong kepada keramat dan banyak yang lain-lain lagi. Dan bagi pihak Rasul itupun patut diterangkan dengan seterang-terangnya pula, suapaya jangan keliru murid-murid menyangkakan perkataan-perkataan orang alim yang tidak berasas kepada Hadis Nabi Salam itu sama kuatnya dan sama mulianya seperti Hadis-hadis Nabi itu pula!

Yang kedua, fasal Sembahyang,. Biarlah sampai-sampainya mereka itu menyembah Allah semata-mata -- janganlah dibiarkan murid-murid itu menyembah hantu, seumpama menghantarkan nasi kunyit ke dalam rimba, dan ke punggul-punggul kayu, menyembah berhala atau manusia yang berlebihan sangat daripada Hadis, dan banyak yang lain-lain lagi -- Tuan-Tuan Guru tentulah lebih maklum di atas hal ini.

Yang ketiga Puasa. Luaskanlah lagi kegunaan Puasa itu buat meninggikan darjah keutamaan Agama Islam kita -- janganlah dihadkan seqadar pahala pada hari yang kemudian itu sahaja. Kerana setengah daripada murid-murid itu tentulah dada pula yang berhajat berkehendakan pahalanya pada masa di dunia ini. Oleh yang demikian, biarlah faham kepada mereka itu dengan sepuas-sepuasnya.

Pertama pahala Puasa ityu untuk belajar melatihi diri pada menahan nafsu -- umpama nafsu nak makan hati kata jangan; nafsu kata nak minum, hati kata tak usah! Nafsu kata nak merokok, hati kata tak boleh! Begitulah dipanjang lebarkan lagi sehingga sampai kepada segala jalan maksiat pun dapat kita tahan, dengan mengikut jalan latihan Puasa itu juga.

Yang kedua supaya sedar kita akan kebesaran nikmat Allah Ta`ala yang telah itu rasa pada setiap-setiap hari. Jika tidak kita Puasa, maka tidaklah dapat kita menilaikan atau membandingkan akan ketinggian harga minum dan makan yang kita rasa di dalam masa kita tidak Puasa itu.

Yang ketiga supaya kita sedar; iaitu jika kita boros juga pada sepanjang masa serta jika kita perjuali juga sekalian tanah-tanah yang ada sekarang ini, dan jika tidak juga kita mara ke hadapan mencari harta seperti bagaimana bangsa-bangsa asing yang merebuti tanahair kita sekarang ini, haruslah kita akan berpuasa panjang ((sepanjang tahun)). Sedangkan Puasa sebulan sahaja pun bagaimana rasanya tubuh kita? Maka bagaimanalah kita akan boleh tahan bertahun-tahun tidak makan minum, dan hanyut mendarat ke bukit dan ke gunung? Dan banyak yang lain-lain lagi cabangan yang terkandung di dalam kegunaan atau pahala Puasa itu, begitulah memberi lazat dan menguatkan hati kepada murid-murid yang hendak mencari kebajikan dunia akhirat itu. ((Tuan-Tuan Guru sendiri tentulah maklum)).

Yang keempat Zakat. Patutlah disuruh semua murid-murid itu bersungguh-sungguh mencari harta sama ada dengan meluaskan kebun atau berniaga atau berusaha yang boleh mendatangkan kekayaan atau sebagaimananya, supaya dapat kita menyempurnakan kewajipan rukun Islam yang difatwakan sangat-sangat oleh Nabi kita itu. Maka janganlah dibiarkan murid-murid itu sekadar bermegah-megah menyebut-nyebut Zakat dimulut sahaja. Tetapi harta yang hendak dizakatkan itu tidak dicarinya! Sia-Sialah sahaja melancarkan hukum Zakat itu sepanjang hari pada hal harta yang hendak dizakatkan itu tidak dicari!

Yang kelima naik Haji. Itupun berkehendakan harta juga. Pendeknya tentang bab Zakat dan naik Haji itu sangatlah kuatnya pada menyuruhkan sekalian umat Islam mencari harta dengan sejadi-jadinya. Bukanlah sekali-kali maksudnya itu menuruhkan orang-orang Islam duduk diam melancarkan rukun itu sahaja. Maka di sini nampaklah dengan seterang-terangnya berselisihlah benar kehendak maksud rukun itu dengan faham orang yang melancarkan serta duduk diam dengan memikirkan dirinya itu. Jangkanya jika sungguhlah sebetul-betul percaya kepada ajaran Agama Islam itu, patutlah ditunaikan segala suruhannya itu dengan sesungguh-sungguhnya hati.

Tetapi tentang bab Haji ini adalah tinggi darjatnya daripada Zakat itu, kerana belayar ke Mekah al-Musharafah itu sangat meluaskan pemandangan -- tahulah kita akan apa-apa kemajuan yang telah diperbuat oleh manusia yang seketurunannya dengan kita ((sama-sama keturunan daripada Nabi Adam juga)). Seumpama mereka itu pandai membuat kapal, senang kita duduk belayar di dalamnya, mereka itu pandai membuat rumah yang besar-besar. Rehat dan senang hati kita duduk di dalamnya.

Mereka itu menimba ringgit pada sepanjang hari, ingin hati kita hendak mencuba pula. Mereka itu senang hidupnya pada sepanjang masa. Insaf kita akan diri kita oleh ketiadaan pandai kita menggunakan tulang-urat kita yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Pada hal akal kita sudah mengetahui:

Adapun sekalian harta yang disajikan Tuhan di dalam alam ini bukanlah ditentukan bagi untuk seseorang sahaja, melainkan siapa yang lebih usahanya, dialah yang mendapat banyak.

Dan lagi bila kita tiba di Mekah, nampaklah pula kepada kita akan bagaimana besarnya dan indahnya masjid mekah itu. Dengan sebab itu dapatlah kita mengagak-agak bagaimana banyak wang yang dibelanjakan kerana masjid itu. Pendeknya dapatlah kita meneladani dan membandingkan kekayaan yang dirasai dan kemegahan yang disombong-sombongkan oleh bangsa kita itu tidak sampai sebunga kuku kekayaan dan kemegahan bangsa-bangsa asing itu. Maka di situ barulah dapat kita memanjangkan fikiran kita dan meluaskan pengetahuan kita serta menambah-nambahi perasaan kita. Manakala kita balik ke tanahair kita, dapatlah kita menceritakan kepada kaum bangsa kita serta menasihati kepada mereka itu supaya bangun bersama-sama bergerak meneladani kekayaan dan kemajuan bangsa asing itu -- baik yang berugama Islam atau berugama lain sekalipun.

Maka inilah dia setengah daripada buah-buahan yang terbit daripada ajaran Agama kita ini yang patut diterangkan kepada mereka itu ((murid-murid)) supaya terasa kepadanya akan kelazatan yang terkandung di dalam isi Rukun-Rukun Agama yang dihafadzkannya tiap-tiap hari itu. Mudah-mudahan dengan jalan ini terbukalah mata hatinya dan terbit seleranya serta hidup perasaannya dan ingin hatinya pada menambah-nambahi perusahaan mencari kekayaan dan harta yang akan menjadikan senang hidupnya dan bertambah-tambah terbuka tangannya memberi sedekah kepada gurunya yang telah membukakan mata-hatinya daripada gelap kepada terang, hingga melepaskan dia daripada bahaya yang ditanggungnya seperti yang telah lalu itu.

Bahkan begitulah ajaran yang dihajati sangat-sangat oleh kemahuan umat Melayu kita sekarang ini. Sekiranya Tuan-Tuan Guru Agama itu sudi dan bersetuju melanjutkan ajarannya kepada aturan-aturan pelajaran yang seperti ini percayalah saya yang mereka itu akan diangkat dan dipandang sama darjatnya seperti pembesar-pembesar Rasulullah yang dipuji-puji oleh umat Islam sekarang ini.

Dan baharulah semua orang mengaku: tidak ada manusia yang lebih baik di dalam alam ini melainkan Guru Agama.

Syahdan, perkara-perkara yang seperti inilah pula yang digemari oleh kerajaan Inggeris yang maha adil itu, supaya aman negerinya dan makmur rakyatnya, sentosa orangnya dan nampak jasanya, wangi sebutannya di muka tarikh semua bangsa di dalam dunia ini. Hingga sampai kepada anak cucu cicitnya akan menerima pujian juga adanya.

Pada akhirnya sekali, berdoalah saya kepada Tuhan Seru Sekalian Alam mudah-mudahan barang diperkekalinya jua kerajaan Inggeris yang maha adil, dan diselamatkannya Sultan-Sultan, dan Orang Besar-Besar, serta Guru-Guru Agama yang berjasa memberi pelajaran Agama itu, dunia dan akhirat adanya. Amin.

Haji Muhammad Saidin.