Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Sep 1930, p.168-169

Feature Article.

Memandang Ke Kiri dan Ke Kanan.

I. Kerusuhan Dunia.

Jika kita menoleh ke kiri dan ke kanan pada masa ini, maka kita dapati beberapa bahagian yang besar dalam dunia ini dikelubungi oleh kabut pergaduhan dan kekacauan, berkelahi dan berperang-perang sama sendiri. Di negeri Russia, kehidupan anak-anak negerinya tersangat jauh daripada keamanan dan kesenangan. Di Jerman, Perancis, England, dan Amerika Syarikat, bermillion-million manusia yang tiada dapat pekerjaan dan terpaksa diberi belanja oleh kerajaannya masing-masing supaya menjauhkan daripada bahaya kelaparan dan kekacauan. Di negeri Mesir, orang-orangnya leka bergaduh dan berkelahi sama sendiri dengan sebab mengikutkan fikiran dan haluan politik masing-masing puaknya. Sedang di India, Mister Gandhi dan penurut-penurutnya senantiasa dengan kacau bilau, keluar jel dan masuk jel. Maka di negeri Cina, beberapa puak leka pula dengan berperang dan berbunuh-bunuh mana sama sendiri dengan gembiranya.

Seorang Melayu yang biasa seumur hidupnya diam dalam negeri yang aman sentosa dan senang-lenang seperti di Tanah Melayu ini payahlah hendak mengetahui akan kesusahan hidup yang sebenar, jika tidak dirasanya diam di dalam salah satu daripada negeri-negeri yang tersebut itu. Cukuplah rasanya jika dikatakan bahwa ketiadaan selamat harta dan nyawa di dalam negeri seperti Cina atau Tiongkok itu telah menambahkan lagi banyak bilangan orang-orang Cina itu yang meninggalkan negerinya datang ke negeri kita yang aman ini. Fikirkanlah bagaimana susahnya kita sekalian menyesalnya di dalam negeri kita ini berlaku kekacauan pergaduhan sehingga harta benda anak isteri dan nyawa kita sekalian tiada selamat. Sedangkanh bahaya kekurangan harga getah dan bijih timah yang menyebabkan beribu-ribu orang Cina tiada bekerja itupun telah dirasa terlalu amat merisaukan hati.

Sebesar-sebesar bahaya yang mengacau dan memarakkan api kesusahan dalam dunia sekarang ini ialah "Communism" yang berasal dari Moscow. Communism itu ialah suatu aturan yang tiada sekali-kali dipersetujui oleh agama kita Islam. Communism itu boleh hidup dan kembang biak di antara orang-orang negeri yang tiada puashati atas berbagai-bagai perkara. Oleh itu, buat penjaga dan penolak dari Communism itu ialah sebaik-baiknya kita menjauhkan daripada menjadi jalan yang membawa kepada tiada puashati.

Di dalam negeri kita ini orang-orang yang telah didapati ada membawa fikiran dan ajaran Communism itu ialah daripada bangsa Cina Hailam yang datang dari negerinya yang kacau-bilau dan leka dengan berbunuh-bunuhan itu. Tujuan mereka itu tidak lain lagi melainkan ialah hendak memalingkan peraturan undang-undang dan keselamatan yang dipegang kukuh oleh kerajaan Inggeris. Anak-anak Melayu yang telah merasa akan faedah keamanan dan kesentosaan yang diperoleh dari peraturan pemerintahan yang selamat ini patutlah menjaga dengan kuat dan menyokong dengan tugas hati akan keselamatan dan peraturan yang ada sekarang. Anak-anak Melayu yang mengaku negeri ini negerinya wajib menahankan dengan seberapa kuat akan ajaran-ajaran yang merbahaya dari luar itu. Maka sebaik-baik jalan bagi anak-anak Melayu yang masih muda dan kuat tulang uratnya itu boleh menolong dan membantu kerajaan ialah dengan masuk bekerja menjadi mata-mata di pejabat polis atau memasukkan diri jadi "volunteer" dengan mempelajari peraturan-peraturan yang boleh menyelamatkan negeri sekiranya berlaku kekacauan yang disebabkan bangsa-bangsa asing yang datang ke negeri kita ini.

Orang-orang yang ramai datang ke negeri kita ini ialah datangnya dari kiri kanan iaitu negeri-negeri yang berserabut dengan huru-hara: Cina dan India. Di antara beberapa negeri di dalam dunia ini yang aman, satu daripadanya ialah negeri kita yang cantik ini. Wajib kita sekalian menguatkan jalan-jalan keamanan itu. Kita patut menerima-kasih kepada anak-anak Melayu kita yang ramai pada masa ini bekerja menjadi mata-mata dan volunteer. Bilangan mereka itu patut ditambahi lagi oleh anak-anak Melayu yang ramai di kampung-kampung itu.

II. Anak-anak Melayu yang menjadi Ketua atau Penganjur Bangsa.

Bagi anak-anak Melayu yang menjadi ketua bangsanya -- termasuk pengarang-pengarang surat khabar dan majalah -- mahulah berikhtiar mencari jalan dengan seberapa upaya buat menyatukan dan memperelokkan perasaan di antara sama-sama kaumnya. Jauhkan perbalahan atau perbahasan yang boleh memecah-belah kaum itu kepada pihak yang dikatakan kaum tua dan kaum muda itu! Yang memikirkan dirinya cerdik dan pandai patut menasihatkan dan menunjukkan orang yang difikirkan bodoh dan jahil. Sebaik-Saik jalan menasihatkan dan menunjuk mangajar itu ialah ditunjukkan mana yang baik dengan jalan yang halus dan sempurna -- bukannya dengan mengutuk-ngutuk dan memerang-merang orang dengan tajam seperti memerang ((bukan memarang!)) dengan pedang yang berlumur dengan racun. Mengajar dan mencerdikkan bangsa itu bukannya pekerjaan yang boleh dihabiskan dalam seminggu-dua sebulan-dua atau setahun-dua, tetapi mahulah mengambil masa beberapa tenggang dan kurun. Orang-orang yang ahli pada tentang agama patut menuju haluan ugamanya dengan lembut dan urus -- jangan menyimpang-nyimpang kepada politik atau lainnya yang ia tidak mengerti sedikit pun. Kekhilafan orang-orang dalam negeri kita ini ialah apabila pandai ia begitu pada tentang hukum-hukum agama, maka difikirkannya ia ahli pada bidang politik ataupun ahli pada tentang mengadakan aturan pelajaran. Hal orang-orang yang ahli pada tentang cawangan-cawangan itu memandangkan pekerjaannya diperbuatnya itu seperti kanak-kanak yang bermain kotor. Sungguhpun semua itu meliputi akan sekaliannya tetapi jikalau mereka yang semata-mata pandai berdalil dan mengeluarkan Hadith itu hendak menunjukkan orang kita tentang membina rumah, atau berladang padi, atau bertukang kasut atau ahli pada tentang memerintahkan negeri ataupun pada tentang membuka sekolah dan mengadakan aturannya, tentulah fikiran-fikirannya itu akan disifatkan oleh orang-orang yang ahli pada masing-masing cawangan itu seperti fikiran budak-budak membibir-bibir. Jikalau demikian, lebih baiklah orang yang berhaluan kepada semua itu mengambil bahagiannya semata-mata pada tentang membetulkan fikiran dan faham -- jangan membebel atau meruyut pada tentang yang bukan ia ahlinya -- pendeknya tuju satu-satu!

III. Pekerjaan Bertukang.

Pekerjaan tukang-menukang itu memang banyak cawangannya, iaitu bertukang membuat rumah-rumah dan bangunan-bangunan, tukang kasut, tukang enjin, tukang perahu, tukang kayu, membuat kerusi, meja dan sebagainya, tukang jahit, tukang besi, tukang emas dan perak, dan lain-lain. Dalam pekerjaan tukang ini, bangsa kita tidak dapat campur atau masuk tangan kerana ilmu itu tiada padanya. Berpuluh-puluh dan beratus-ratus milyun wang yang dapat dan dibelanjakan pada pertukangan-pertukangan itu tiap-tiap tahun, tetapi tidak dapat atau tidak sampai kepada Melayu, sebab Melayu tiada memperbuatnya! Segala pekan-pekan dan rumah-rumah yang besar, gereja-gereja, masjid, sekolah, ofis, jambatan, jalan keretapi, dan lain-lain itu bukan bangsa kita yang membuat dan mengatur papan dan batunya. Dan meskipun setengah daripada rumah-rumah seperti sekolah atau masjid atau rumah pasung itu didirikan dalam kampung Melayu, tetapi tukang-tukang yang bekerja itu bukan sedikit yang tiada berpencarian, tetapi apabila tiba pada tentang bertukang yang seperti itu, tidaklah dapat mereka itu membuatnya kerana tiada ilmu dan pengetahuan itu kepadanya. Tetapi kerja yang lebih berat dan susah daripada itu seperti menebang dan menebas hutan, berkebun dan menggali parit boleh jua mereka itu membuatnya, bahkan mereka itulah yang banyak menjadi kuli jika ada pekerjaan-pekerjaan seperti itu berhampiran dengan kampungnya.

Apa sebabnya? Tiada latihan sedari kecil atau dari nenek-moyangnya barangkali. Jikalau demikian bagaimana pula kita hendak melatih mereka itu supaya suka pada tentang pekerjaan-pekerjaan itu -- pekerjaan-pekerjaan seperti membelah dan mengetam papan mengaturkan batu dan menyapu simen, memahat dan menaikkan atap genting, beberapa banyak rumah-rumah kepunyaan Melayu sendiri yang memakai simen, dan batu bata serta genting di dalam kampung-kampung itu Cina jua tukangnya, sebab jikalau adapun orang Melayu yang mahu membuatnya sudah tentu pekerjaan tiada akan senonoh. Bagaimana jalan hendak menyukakan dan melorongkan hati anak-anak Melayu itu kepada pekerjaan-pekerjaan yang seperti itu supaya luas mata pencarian mereka di dalam negerinya cuba sama-sama kita fikirkan.

Dalam tiap-tiap negeri yang telah maju dalam dunia ini masing-masing kaum ada belaka meninggalkan bekas tangan pertukangan bangsanya yang boleh tahan beratus-ratus dan beribu-ribu tahun. Tembok batu yang besar dan panjang beribu-ribu batu negeri Cina ((The Great Wall of China)) itu perbuatan bangsa Cina. Taj Mahal di negeri India itu bekas tangan orang-orang Hindia, Piramid di negeri Mesir itu bekas tangan orang Mesir. Istana-istana dan Gereja-gereja yang cantik di Eropah itu memang buatan dan pertukangan anak negerinya. Rumah-Rumah berhala yang cantik dan ganjil bangunannya di negeri Siam, itu memang perbuatan anak Siam. Kita apa yang ada bekas tangan anak-anak bangsa kita; ofis-ofis kita yang besar, Cina membuat. Masjid dan istana-istana raja kita sekarang, Cina jua yang membuat! Inilah masanya kita hendak meniru tamadun bangsa-bangsa asing itu supaya perkataan "maju" dan "tamadun" itu betul-betul meresap masuk ke dalam darah daging bangsa kita dan tidak tinggal dibibir dan di lidah sahaja ataupun di atas kertas-kertas khabar. Penulis sendiri mengaku belum dapat memikirkan satu peraturan buat menjangkitkan kepandaian itu kepada anak-anak bangsa kita. Bagaimana fikiran tuan-tuan pembaca?

Satu perkara yang terlintas di fikiran penulis "Apakah sebabnya kerajaan mengadakan pelan rumah-rumah guru dan rumah-rumah sekolah di kampung-kampung itu seakan-akan bentuk rumah Melayu?" Agaknya dengan sebab memakai dinding bertam dan atap yang melengkung fesyen Sumatera itu dicadangkan oleh kerajaan supaya tukang-tukang Melayu boleh membuatnya. Tetapi tukang Cina jua yang membuatnya, hendak pun katakan orang-orang Melayu tiada dapat bekerja sebab kontrak-kontraknya orang Cina. Tetapi jikalau kontraknya atau pemborongnya Melayu pun harus jua ia akan memakai kuli Cina kerana mereka itu lebih baik dan kukuh perbuatannya.

Anak Negeri.