Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1931, p.18

Surat Kiriman.

Ingin Mendengar.

Bahwa zaman sekarang ialah zaman kemajuan. Bagi kaum kita Melayu, jika belum maju pun sedang heboh mengikut tapak atau perlangkahan kaum-kaum yang telah berkemajuan iaitu daripada gerak-geri, gaya, pakaian dan berjenis-jenis yang lain lagi. Bahkan surat-surat kitabnya dan cerita-cerita pun telah banyak jua yang tersalin ke bahasa kita Melayu daripada bahasa Inggeris, Arab dll. Sedang gaya-gaya karangannya pun banyak telah berubah iaitu mengikut cara zaman ini. Pendeknya sekarang bolehlah dikatakan banyak cerita-cerita dan buku-buku pelajaran kita yang sudah bertokok dari masa sepuluh dua belas tahun yang lalu seperti ilmu alam, tawarikh, ilmu al-hisab, dan sebagainya.

Akan kitab-kitab seumpama ini tersangatlah bukan kepada kaum kita iaitu suatu tanda bangsa kita telah bertatih berjinak-jinak dengan buku-buku bacaan.

Oleh itu agaknya jika dikeluarkan pula kitab-kitab atau buku-buku yang berkenaan dengan pengajaran berpegang bagi membuat barang-barang yang selalu digunakan oleh orang kita, umpamanya ilmu membuat sabun, membuat kertas, membuat kaca, membuat lilin, dan sebagainya.

Iaitu perkara yang senang dan mudah tercapai atau difahamkan oleh akal fikiran kaum kita, kerana perkara-perkara ini belumlah ada lagi tersimpan di dalam kitab-kitab atau buku-buku kita. Jika sekiranya ada tentulah ada iklan-iklannya di surat-surat khabar atau dalam majalah-majalah.

Yang demikian itu, berharaplah kita kepada pendita-pendita yang budiman tidak meninggalkan peluang ini pada mengadakan buku-buku atau kitab-kitab yang diingini itu ke bahasa Melayu.

Jika ada, tentulah akan digemari oleh kaum kita -- biarlah dikatakan tiada yang mahu membuatnya kerana sudah menjadi buah mulut orang, "bangsa Melayu malas"!

Tetapi tak kenalah di dalam seratus tiada seorang yang mahu membuatnya. Jikalau seorang sahaja pun daripada seratus ((satu persen)) yang mahu dan suka membuatnya, dibandingkan dengan Melayu kita sekarang, tentulah ada di dalam sepuluh atau dua puluh yang telah tahu membuat sabun, dan demikian jua membuat kaca, kertas atau lain-lainnya, jika diusahakan biarlah tidak boleh dihadikan dagangan dihantar keluar negeri. Tetapi jika dapat untuk dipakai sendiri pun memadailah. Berapa potongan pada mereka itu?

Dan jika yang lain memerhatikan pula perbuatan itu, tentulah ia meniru. Dengan jalan tiru-meniru dan berambil-ambillan kelak, maka kembanglah perusahaan itu pada kaum kita.

Maka yang demikian itu pula, kembang biaklah ilmu pertukangan itu pada bangsa kita. Akan pelajaran ilmu alam, tawarikh dan lain itupun mendapatlah satu taulan lagi iaitu ilmu pertukangan. Jadinya, sambil menjajah dunia berserta bertukang pula. Bila sampai sahaja ke tempat yang dituju itu barang-barang pun boleh dijadikan dagangan.

Jadinya, dapatlah menggunakan pelajaran ilmu alam atau ilmu dunia itu -- tidaklah sia-sia sahaja mengetahui tempat-tempat di dunia ini.

Biarlah barang-barang kita yang dijadikan dagangan itu buruk atau tidak berharga tinggi -- asalkan ada, jadilah -- seperti kaum kita di Tanah Jawa Barat itu bukankah ia mengemukakan topi yang dibuat daripada selinapan buluh?

Sekarang dipulangkanlah fikiran ini kepada pendita-pendita kita yang budiman mudah-mudahan dengan jalan ini bolehlah anak-anak menunaikan seruan Pakciknya di Majalah Guru bilangan 12 tahun 1930 di muka 232 ((menyeru anak-anaknya menjadi tukang kebun, tukang membuat parang, tukang kasut, tukang jahit, tukang kayu, dan sebagainya)).

Ditamatkan karangan ini dengan berbanyak-banyak menerima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya.

Ibni Maya Al-Kelantani.