Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Apr 1932, p.40

General Article.

Melayu di dalam Pulau Ceylon.

Di bawah tadbir "Persekutuan Alam Melayu Ceylon", suatu pidato telah diadakan di dalam dewan bangunan yang bernama "Zainuddin Memorial Hall" dihadapan suatu perhimpunan ramai oleh Tuan Ayall. Ia Bailiff ((seorang daripada pendita di dalam sekolah Kingswood College, di mana kebanyakan pemuda-pemuda Melayu Ceylon belajar dan menerima pelajaran tinggi)). Perhimpunan itu diketuai oleh Tuan S. J. Majid.

Di dalam pidatonya, Tuan Bailiff berkata, "Bahwa negeri yang asal bagi umat Melayu itu mestilah di pulau yang jauh sekali di sebelah timur ini dan duduknya berbetulan pada pintu dari sebelah barat. Pulau-Pulau yang cemerlang itu terletak di dalam ulitan sinaran cahaya laut yang berkilau-kilauan itu. Bumi yang saujana dengan kemakmuran hidup dan kesejahteraan itu telah memberahikan hati segala pendita Syair dan pengembara-pengembara ((sebagai James Cook, ahli pelayaran yang masyhur itu, dan sebagai R.L. Stevenson iaitu ahli Syair dunia yang terkenal))."

Asal Melayu.

Beberapa zaman telah disangka orang bahwa "Melayu" itu iaitu termasuk keturunan mereka ialah daripada bangsa Mongol, yang turun dari benua Cina, tetapi kemudian sangkaan yang berat telah cenderung ke sebelah pendapatan yang mengatakan bahwa asal Melayu itu ialah daripada bangsa "Polynesia" iaitu ((pendiam beberapa pulau di dalam lautan Pacific)) mereka datang ke pulau-pulau ini dari sebelah selatan dan dari sebelah timur mara ke utara, hingga sampai kepada masa kemaraan mereka dihalang dan disekat oleh bangsa Mongol.

Di dalam itu, kedapatan pula suatu cerita mengatakan bahwa asal Melayu itu ialah orang-orang yang keluar dari dalam laut. Barangkali perkataan ini bermakna bahwa mereka datang dengan perahu-perahu atau kapal-kapal layar ke pulau-pulau yang tersebut.

Dari suatu ke suatu masa, adat resam dan sopan yang asli bagi orang-orang Melayu itu telah hilang disebabkan oleh pergaulan dan percampuran mereka dengan bangsa-bangsa lain terutama sekali dengan bangsa Mongol itu.

Adapun agama orang Melayu itu pada zaman dahulu ialah ugama Hindu, apabila bangsa Farsi dan bangsa Arab datang, maka mereka pun memeluk ugama Islam pula.

Melanggar Pulau Ceylon.

Hingga sampai kepada kurun yang keenam belas, adalah tarikh orang Melayu itu suatu perkara yang pakai agak-agak sahaja. Di dalam kurun yang ketiga belas, kononnya suatu serangan di atas Ceylon oleh orang-orang Melayu telah berlaku, iaitulah cerita yang tersebut di dalam buku yang bernama "Mahawansa*", kononnya seorang anak raja Melayu bernama Chandra Batu telah naik ke darat di Pulau Ceylon dengan beberapa orang pengikutnya ((tenteranya)) pada masa pemerintahan Raja Ceylon yang bernama Parakeramabahu yang kedua, tetapi anak raja Melayu itu telah ditewaskan. Selang beberapa tahun di belakang anak raja Melayu itu datang pula sekali lagi dengan bala tenteranya dan terus membangkitkan peperangan tetapi sekali lagi ia telah ditewaskan. Di dalam itulah ia lari. Cerita itu telah diterangkan oleh seorang penulis di dalam salah satu buku Belanda.

Chandra Batu itu melanggar Ceylon barangkali oleh kerana hendak memperoleh berhala Buddha yang dipercayai mempunyai sakti. Apa yang tidak diperolehnya dengan jalan senjata kemudiannya diperolehinya dengan jalan yang halus dan berhala Buddha itu dapat dibawanya ke tanah Siam, di mana berhala ini pada masa ini terkenal sebagai berhala bangsa Ceylon.

Selama dua setengah kurun ((250 tahun)), hingga sampai kepada masa kedatangan orang Portugis, mereka ((Melayu)) itu sedikit atau tidak sama sekali mempunyai tarikh yang disuratkan di dalam Ceylon. Di dalam masa di antara kedatangan Portugis itu, orang-orang Melayu mestilah telah datang ke sini seorang-seorang atau dengan ahlinya ataupun beramai-ramai dari gugusan pulau-pulau Melayu dan berdiam di sini. Tempat kediaman Melayu di sebelah utara Ceylon barangkali telah diperbuat kira-kira zaman ini.

Tarikh Melayu Zaman Tamadun.

Iaitu berserta dengan Belandalah baru tarikh Melayu di dalam zaman tamadun itu dimulai. Apabila Pulau Ceylon telah ditaklukkan di dalam tahun 1640, hal ehwal pulau Ceylon itu diperhati dari Betawi. Setengah daripada penghulu-penghulu dan anak-anak Raja yang menyinggah menaklukkan tanah Jawa dipisahkan ke Pulau Ceylon. Iaitulah kehasilan peperangan beberapa banyak dari mereka itu masuk menjadi tentera Belanda. Melayu itu selamanya suatu bangsa yang berani berperang dan beberapa pasukan Melayu telah mengiringkan pasukan Belanda ke Pulau Ceylon beberapa kali. Boleh jadi sedikit daripada mereka itu telah berpihak ke sebelah Raja-Raja Kandy. Dari kedua-dua barisan perang, laut dan darat, orang-orang Melayu itu telah berperang bagi pihak Belanda menentang bangsa Portugis dan apabila Belanda telah menahan Ceylon, orang-orang Melayu itu telah dianugerahkan suatu tempat kediaman di sini buat penambah tempat-tempat kediaman yang dahulu itu.

Dalam tahun 1749 masa pemerintahan Belanda di Pulau Ceylon telah hampir lanjut, tempat-tempat kediaman orang-orang Melayu telah sedia Batikalua dan Ulupindal, tersangat berfaedah diketahui bilakah orang-orang Melayu mula-mula mendiami Hambantuta.

Sebagai soldadulah kebanyakannya orang-orang Melayu itu bekerja di bawah Belanda dan mereka berperang hampir-hampir di dalam semua peperangan Belanda menentang Portugis dan menentang orang Ceylon di Galle, di Colombo, di Jaffna, dan di Manar. Orang-orang Belanda telah mempertahankan keselamatan orang-orang Melayu apabila mereka ((Belanda)) telah ditewaskan pula oleh orang-orang Inggeris. Syarat yang diminta oleh Belanda itu iaitu hendaklah Inggeris dengan kapal Inggeris mengirim orang-orang Melayu berserta dengan anak isteri mereka balik ke Pulau Jawa. Permintaan itu telah dibenarkan oleh Inggeris dengan jalan sehabis-habis insaf.

Orang-orang Inggeris itu tahu akan kegagahan dan keberanian orang-orang Melayu di dalam peperangan. Oleh itulah mereka berkira pula bagi kemuslihatan mereka. Kata mereka bahwa orang-orang Melayu itu akan dikirim ke Totigoran dan dari situ ke Madras. Jika pekerjaan mereka tidak dikehendaki oleh Inggeris, mereka akan dikirim balik ke tanah Jawa.

Pasukan Melayu.

Apabila Gabenur North ((Gabenur Inggeris)) telah menerima pemerintahan Pulau Ceylon, dibahaginya orang-orang Melayu itu kepada tiga darjah bangsa, pertama bangsa raja-raja, kedua bangsa soldadu, dan ketiga bangsa penyamun. Bahwa sebahagian daripada policynya ialah hendak menjadikan Ceylon itu terlepas daripada policy ketenteraan India, oleh itulah dicadangkannya akan menambah bilangan soldadu-soldadu Melayu dengan menghilangkan bangsa-bangsa penyamun.

Major Skinner telah menuliskan perihal pasukan Melayu yang dahulu itu sebagai pasukan kulit hitam yang terlebih utama sekali yang tidak ada bagi negeri-negeri lain.

Kemudian daripada pasukan itu telah dirombak ((tidak dipakai lagi)) beberapa banyak pula bekas soldadu itu masuk menjadi mata-mata sedang setengahnya masuk bekerja di dalam kebun-kebun kopi merata-rata Pulau Ceylon. Akhirnya mereka mengetahui harga pelajaran dan pada masa ini mereka berganding dengan lain-lain puak pada beberapa tempat seperti lawyer-lawyer, doktor, kerani, tukang ubat dan peladang.

Begitulah kata Tuan Bailiff di dalam pidatonya yang disambut dengan tepuk dan terima kasih di dalam Dewan Zainuddin Memorial Hall di sana.

Majlis.