Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 11 Apr 1932, p.6

Editorial.

Seruan Kita Kepada Anak-anak Melayu.

Hendaklah Sabar, Tekun, Setia dan Amanah.

Wajib Memandang Lebih Jauh.

Di dalam masa yang akhir ini iaitu meski di dalam masa dihimpit oleh kemelesetan alam, tetapi kita telah mendapat khabar yang sah bahwa di dalam masa dua bulan ini sahaja hampir-hampir seratus lima puluh orang pemuda-pemuda Melayu kebanyakannya berpelajaran rendah telah diterima oleh kerajaan di dalam berbagai-bagai jawatan rendah di sini dan daripadanya kira-kira enam puluh orang di dalam pejabat keretapi sahaja, kebanyakannya atau semuanya di dalam jawatan yang bernama ((tiket examiner)) bakal akan dipilih mana-mana yang layak menjawat jawatan tiket collector, station master dan guard.

Setengahnya pula kita mendapat tahu bahwa beberapa orang muda-muda kita telah diangkat menjadi manager di kedai-kedai tuak kerajaan di dalam bandar ini; jawatan mana telah dibahas oleh suratkhabar Daily Express di bandar ini bertarikh pada 29 March dengan alasan katanya bertentang atau berlawan dengan ugama Islam.

Kita tidak menyertai pembahasan Daily Express itu, dan tidak pula kita akan menyebelahi pihak orang-orang Melayu yang bersungutkan akan jawatan itu ((Sheikh)), tetapi kita akan bekerja menyeru anak-anak kita yang telah diterima oleh kerajaan itu terlebih dahulu dari menerima kasih atas timbang rasa kerajaan terhadap kepada putera bumi ini, iaitu hendaklah kiranya mereka sabar, tekun, setia dan amanah di dalam jawatan masing-masing supaya dapat kita tunjukkan kepada kerajaan kita terutama sekali kepada bangsa asing di sini bahwa anak-anak Melayu itu sebenar-benarnya bangsa yang hidup dan berotak serta layak menjalankan sebarang pekerjaan yang boleh dijalankan oleh bangsa lain. Kerana jika anak-anak Melayu dapat menebus nama bangsanya yang telah cemar dan hina itu pada kali ini tak syak lagi beberapa jawatan lagi daripada jawatan rendah akan dibukakan untuk anak-anak Melayu seperti Meter Reader bagi api letrik dan air, serta kerani-kerani menjual candu kerajaan dan lain-lain seumpamanya. Asal sahaja pemuda-pemuda Melayu itu boleh menunjukkan kelayakannya pada masa ini.

Pemuda-pemuda Melayu yang baru-baru bekerja itu hendaklah selamanya ingat bahwa pekerjaan itu akan diperhati dan dijadikan contoh oleh kerajaan. Jika kesudahannya berhasil baik bagi saudara-saudaranya yang di belakang akan dipandang baik pula oleh kerajaan. Tetapi jika kesudahannya tidak memuaskan hati, maka saudara-saudaranya yang di belakang kelak tidak diharap oleh kerajaan lagi.

Pemuda-pemuda tersebut hendaklah sedar bahwa anak-anak Melayu itu pada zaman dahulu telah dicap orang dengan cap seperti berikut:

1. Jolos, Pemalas dan Lalai. 2. Bantah hukum, dan selalu melawan ketua. 3. Suka bercuti, sebentar emaknya mati, sebentar lagi saudaranya pula. 4. Banyak bermain dan kerapkali ketara. 5. Suka gaduh. 6. Dan yang lebih berbahaya sekali, iaitulah kurang amanah, artinya mudah gelap mata tentang wang.

Kita tidak mengaku yang bangsa kita penjenayah, tetapi kita tak dapat pula menolak ((hujah)) itu dengan lidah sahaja, melainkan dengan tenaga kita. Oleh itulah kita seru pemuda-pemuda kita tersebut supaya menghunus pedang tenaganya menolak segala tuduhan yang cemar-cemar itu dari nama kita pada yang akan datang.

Ingatlah! Sungguh pun negeri ini negeri kita, tetapi tidak ada halangan bagi kerajaan kita menolak orang-orang yang kurang berguna dan mengambil orang-orang yang lebih berguna. Jika pemuda-pemuda Melayu itu tak dapat menunjukkan kelayakannya. Tunggulah kelak bangsa-bangsa asing itu akan menunjukkan kelayakan mereka dihadapan mata kita.

Kita tahu bahwa bertuan kepada Keling atau Cina di dalam satu-satu pejabat itu selalu tidak menyenangkan hati pemuda-pemuda Melayu yang baru-baru belajar kerja itu di bawah tangannya. Tetapi pemuda-pemuda kita hendaklah ingat bahwa yang demikian itu kesalahan dan kelalaian abang-abang kita sendiri yang terdahulu. Oleh itulah jawatan-jawatan Office Assistant dan kerani-kerani besar itu terpulang kepada bangsa asing dan pada masa ini kita terpaksa bertempat di bawah telunjuk mereka hingga sampai pemuda-pemuda kita yang ada ini dapat berkisut ke hadapan menggantikan bangsa-bangsa asing itu barulah kelak pemuda-pemuda kita di belakang akan bertuan kepada bangsa sendiri.

Sungguh pun kita tahu bagaimana hasad dan dengkian bangsa-bangsa asing itu di atas bangsa kita, sungguh pun kita berani berkata lebih jauh yang bangsa asing itu pernah mencuaikan pengajarannya kepada anak-anak bangsa kita atau muslihat supaya dikelirukan dan miskin sahaja, disia-siakan dia supaya asal tidak dapat bersaing sama sekali-kali elak pemuda-pemuda Melayu!