Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1932, p.184-186

General Article.

Pertunjukkan Tanah Melayu di Kuala Lumpur.

Pertunjukkan di Tanah-Tanah Melayu yang akan diadakan di Semenanjung Tanah Melayu ini besar sekali artinya kepada bumiputera tiap-tiap negeri. Tetapi kita berani kata, arti pertunjukan itu masih tersembunyi sekali dalam fikiran mereka. Terutama kita orang Melayu. Kebanyakan yang datang dalam temasha pertunjukan itu cuma-cuma datang mengintai-intai sahaja, menumpang suka hati memandang-mandangkan ramai manusia laki-laki dan perempuan berduyun-duyun serta asyik leka memerhatikan jenis-jenis benda yang teratur dalam tiap-tiap bilik yang tertentu. Menyesalnya kalau memandang benda-benda lukisan kesihatan yang tergantung di dalam bilik pertunjukan. Maka pada perasaan mereka seolah-olah seperti memandang gambar yang boleh menyenangkan hati, dan bila melihat pula akan tanam-tanaman dan bunga-bunga yang ditunjukkan di situ, terasalah pula laksana melawat taman penglipur lara sahaja.

Demikian juga kalau memerhatikan rupa-rupa ternak-ternak yang gemuk dan tegap, pertukangan-pertukangan yang cantik, enjin-enjin yang terpasang seperti motokar, motorsikal dan lain-lain lagi ... sekaliannya itu menjadi hairan semata-mata kepada kebanyakan mereka: tetapi adalah terasa oleh hati-hatinya hendak menyiasat atau mengambil tahu manakala melihat ayam-ayam yang besar dan sihat serta rancak rupanya itu, bagaimana boleh jadi besar dan gemuk serta sihat seperti itu, atau pun adakah terasa oleh hatinya hendak mencuba membuat dan membela ayam supaya jadi pertunjukan dan perusahaan besar yang boleh mengalahkan bangsa-bangsa asing dalam negeri kita Melayu! Itu nampaknya jauh benar dari pendapatan bangsa kita.

Dalil-dalil keterangan benar sangka-sangka kita begitu. Bolehlah kita camkan berapa lamakah sudah pertunjukan itu sudah diadakan? Adakah pernah kita lihat yang bangsa kita sudah pernah mengalahkan perusahaan bangsa yang gemar mengambil tahu pada tiap-tiap sesuatu hal! Malahan boleh jadi kita makin lama semakin hilang dan pupus dalam tiap-tiap perkara pertunjukan di temasha yang sangat berarti itu.

Oleh sebab Majalah Guru ini keluarnya pada awal bulan lapan dan bertembung dengan pertunjukan ini, maka kita suka memberi nasihat pada sekalian kita orang Melayu: wajib sedar dan tahu akan makna pertunjukan itu -- harus kita menyiasat lebih dalam dan gemar bertanya, apa sebab? Dan bagaimana? Maka sesuatu benda itu boleh jadi lebih baik dan molek pada pertukangan dan perusahaan kita, bukannya kita datang ke situ semata-mata membuang wang dan masa dengan percuma, melopong-lopong pada tiap-tiap sudut pertunjukan itu sahaja, melainkan mesti kita berdaya upaya mengambil wang kerugian masuk ke dalam pertunjukan itu. Bahkan lebih wajib pula biar kita berikhtiar mencari jalan supaya beruntung besar dengan sebab melihat contoh-contoh dan tauladan yang telah dikemukakan oleh orang yang lebih rajin dari kita, iaitu seolah-olah jadi cermin muka yang boleh dan dapat kita lihat rupa-rupa keburukan parut-parut luka di muka kemalasan kita yang tidak cukup beransur-ansur rajin dari beberapa zaman yang sudah.

Kita tidak memuji di belakang-belakang melainkan berhadapan: iaitu kita harus memuji dan mengangkat tangan memberi terima kasih atas jasa anak-anak negeri Kedah dan Kelantan. Di mana negeri Kedah tidak jua jemu-jemunya -- bahkah lebih berusaha mengelokkan pekerjaannya -- memajukan dan menimbangkan pertukangan-pertukangan Melayu di selitar negeri dalam Semenanjung ini. Kita boleh jumpa di dalam pertunjukan itu rupa-rupa pertukangan anak-anak Melayu negeri Kedah seperti tongkat dan pipe rokok, yang tidak apa kurangnya dengan pekerjaan bangsa asing.

Anak-anak Melayu negeri Kelantan pula baru-baru tahun itu sudah ada rupa membina rumah batu, membuat jambatan besi, yang mana tak pernah orang Melayu mencuba-cuba membuatnya! Kalau boleh kiranya diangkat-angkat pertukangan anak-anak Kelantan seperti rumah batu dan jambatan itu, kita suka menunggukan di dalam pertunjukan di Kuala Lumpur ini, biar dipandang oleh orang Melayu ramai-ramai, bukannya kita tidak boleh buat apa yang telah dibuat oleh bangsa-bangsa asing! Tetapi apa daya tak boleh diangkat-angkat!

Diharap tahun yang akan datang ((pertunjukan ini harus tidak ada)) kita boleh lihat bekas-bekas tangan anak-anak Melayu banyak ditunjukkan di dalam temasha itu, jangan pula makin layu! Lebih lagi harapan kita kerana zaman meleset ini, moga-moga kita tidak lagi memilih pada kerja yang senang sahaja, melainkan wajib kita mahu bekerja membuat sebarang apa kerja yang boleh jadi nafkah kehidupan dan keuntungan diri sendiri.