Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1932, p.172-175

General Article.

Cahaya-Cahaya Kemajuan dan Kebangsaan telah nampak di kaki-kaki langit Alam Melayu oleh sebab Sultan-Sultan dan Orang-Orang Besarnya.

Berbanyak-banyak kita menerima kasih kepada Kerajaan Inggeris yang maha besar memimpin bangsa kita Melayu di dalam segala perlumbaan kehidupan, serta terselamat takhta kerajaan kita daripada segala jenis tamak bangsa-bangsa lain yang hendak merebut hak-hak Melayu, dan menyekat segala rupa hisapan bangsa-bangsa asing yang hendak menghirup darah anak putera negeri ini ((Semenanjung)).

Maka dengan sebab baik adil itulah yang telah menjadikan raja-raja dan Orang-Orang Besar kita melangkah dengan langkah yang panjang mencari pengetahuan, fikiran dan menuntut serba jenis ilmu bagi menyelamatkan kaum bangsanya dan negerinya, daripada berbagai-bagai penyakit yang dari luar dan di dalamnya juga.

Sesungguhnya kerajaan bangsa kita sekarang tiadalah apa-apa pun yang boleh kita jadikan tanda pergerakan; akan tetapi diharap jangan kita berputus asa yang kita mesti suatu masa kelak akan dapat menghampiri bangsa-bangsa asing, baik pada kemajuan dan pelajaran, serta pengetahuan yang tinggi. Mahulah diingatkan ada pun kemajuan itu bukanlah boleh direntap dengan serta-merta, melainkan hendaklah mengambil masa yang panjang dari satu tenggang ke satu tenggang dan dari satu zaman ke satu zaman. Tambahan pula segala rupa kemajuan bangsa itu memang banyak pencubaan yang harus ditanggung dan dilalui. Akan tetapi, sekaliannya itu boleh kita daki dengan syarat berhemat tinggi, berhati besi, pertolongan sendiri dan sabar di dalam peperangan kehidupan.

Apakah harapan atau dalil-dalilnya yang dikatakan maksud-maksud kita berhasil?

Maka keterangannya itu bolehlah kita lihat yang Sultan-Sultan dan Orang-Orang Besar kita Melayu pada masa ini sedang bekerja keras pada mencari ikhtiar memimpin rakyat-rakyatnya kepada jalan-jalan kemajuan dan yang seumpama itu. kita yakin perasaan menghiraukan diri sendiri ((fikiran kuno)) telah hapus sama sekali daripada hati Sultan-Sultan dan Orang Besar-Besar kita. Beberapa ramai di antara orang yang ternama di negeri kita sedang berupaya menasihatkan kaum bangsanya untuk memberangsangkan hati suruh berusaha, bekerja, belajar dan sebagainya; dengan jalan diadakan hadiah-hadiah seperti piala-piala perak dan shield yang selalu diadakan perlawanan bagi memajukan perusahaan dan permainan anak-anak bangsanya yang di dalam sekolah.

Bangsa-bangsa kita Melayu tidak mahu jadi hina dan bodoh seperti yang disangkakan dan digambarkan oleh bangsa asing.

Bangsa-bangsa asing ((Cina dan Keling)) yang ada di negeri ini telah mengambil faedah di atas kelalaian bangsa kita. Dan mereka itu sudah menunjukkan keberaniannya memanggil dirinya bumiputera negeri ini. Begitu juga mereka-mereka asyik mengemukakan tuntutan haknya pada negeri kita.

Tuan-Tuan pembaca lebih mengetahui pada tiap-tiap masa bangsa asing itu leka bersorak-sorak dan merebut serta merempuh pekerjaan-pekerjaan hak Melayu, terutama sekali jawatan memerintah di negeri kita ((Malayan Civil Service)), alangkah sengsaranya kehidupan kita kalau lulus tuntutan bangsa-bangsa yang dengki pada hak-hak kita itu! Kita berharap yang bangsa kita wajib sedar segala ancaman bahaya yang bergantung di atas awan langit Melayu: tetapi kita tidak terfikir, masakan pula Sultan-Sultan dan Orang Besar-Besar kita menaruh sabar sepanjang masa. Pada hal negeri-negerinya dan bangsanya dihimpit dan diperit-peritkan bangsa asing dengan himpitan yang kuat itu! Dan lagi, kita yakin, bahwa Kerajaan British yang maha adil tidak akan mengubah janji pada menyokong dan menyelamatkan hak-hak anak bumiputera Melayu daripada kemahuan dan tuntutan bangsa-bangsa asing itu. Berbanyak-banyaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah, kerana mengukuhkan hati perasaan Sultan-Sultan dan Orang Besar-Besar yang masih menahan rempuhan tuntutan bangsa-bangsa asing pada kuota-kuota hak kepunyaan bangsa kita Melayu.

Bagi pihak guru-guru Melayu: tiada jua khali daripada menahan benih perasaan kasihkan tanah air sendiri di hati anak-anak bangsanya yang akan menjadi ibu bapa Melayu dan mengalu-alukan serta memberangsangkan kaum bangsanya pada jalan mencari kemajuan hidup. Adapun guru-guru Melayu itu sudah memang selama-lamanya ia tidakkan jemu daripada menunjuk ajar dan menimbangkan perasaan kebangsaannya pada berusaha mencari kehidupan dan keselamatan negerinya, yang mana pada masa ini sedang kuat berjalan tenaga dan usaha mereka itu melatih anak-anak Melayu pada sebarang cawangan hidup.

Ibu bapa anak-anak Melayu: selamatkan harta akan memberi pelajaran anakmu, tunjukkan pergerakan dan perusahaanmu, supaya menjadi tauladan yang akan diikut oleh anak bangsamu. Ambillah peluang seperti yang telah dikhutbahkan oleh Yang Berhormat Tuan Chief Secretary di Stadium Kuala Lumpur tempoh hari itu: supaya dapat kita mencapai di dalam perlumbaan kemajuan. Kerana kepicikan kehidupan bangsa-bangsa asing di negeri ini. Itulah peluang yang patut diselamatkan daripada disambar oleh bangsa-bangsa yang tamak akan faedah Tanah Melayu. Hendaklah banyak anak Melayu sedar akan perubahan masa. Jika tidak jua bapa-bapa itu menjaga dan menjalankan serta membetulkan perdiriannya di dalam sebarang perubahan zaman, tiada dapat tiada bangsa-bangsamu akan pupus di muka bumi Melayu ini.

Pupus Melayu, hilanglah bangsanya! Kota kekuatan Sultan-Sultan dan orang besar-besar pun robohlah oleh rempuhan bangsa-bangsa asing. Tak dapat tiada anak-anakmu manakala besar menjadi ibu bapa Melayu yang akan datang itupun menjadi hamba taman, gundik-gundik ((perempuannya)) pada bangsa-bangsa asing di negeri Melayu ini.

Wahai ibu bapa Melayu! Janganlah disia-siakan jua pada memelihara harta, nama bangsa dan kemajuan di negeri kita ini.