Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1932, p.53

General Article.

Anak Melayu Tiruan dan Tujuannya.

Sesungguhnya jika dibandingkan tentang pengetahuan dan ilmu anak-anak Melayu kita dari beberapa tahun yang telah lalu adalah kira-kira atau hitungannya kanak-kanak di dalam sekolah semakin bertambah-tambah ramai bilangannya, maka iaitu suatu bukti atau contoh yang menunjukkan telah banyaklah nampaknya akan guna dan faedah pelajaran itu kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dari pun mereka yang dalam kota atau bandar hingga pada setengah daripada mereka-mereka yang di dalam kampung atau dusun. Bahkan telah ada pula setengah daripada anak-anak bangsawan dan hartawan yang di Semenanjung ini telah dihantarkan kerana menuntut ilmu ke negeri barat. Bukankah iaitu pun suatu dalil yang mengatakan bahwa orang-orang kita Melayu telah mesra dan suka meniru adat bangsa-bangsa yang dibertamadun itu. Baik pada tentang ilmu pengetahuan maupun gerak-geri mereka itu; dan ada lagi berapa banyak yang seumpama seperti permainan perbuatan dan sebagainya yang mana dapat ditengok dan dilihat dengan mata kepala sendiri akan perubahan-perubahannya dan perbezaannya.

Sesungguhpun demikian, tetapi kebanyakannya masih gelap jua lagi nampaknya di dalam hati masing-masing iaitu daripada murid-murid ataupun ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu pada jalan mengunakan ilmunya buat menanam ke dalam dada anak-anak negerinya, melainkan semata-mata mereka menuju dan menghalakan pandangan kepada jawatan kerajaan yang akan disandangkan pada masa ia meninggalkan bangku sekolahnya kelak. Manakala kita menunggu dan ingat-ingatkan ataupun dibuka semula segala majalah dan akhbar yang telah keluar selama sepuluh lima belas tahun yang lalu maka dapatlah kita berjumpa beberapa terik tangis, dan jerit pekik anak Melayu yang suka menuju kepada segala jawatan kerajaan yang layak baginya.

Sebaik-sebaiknya tak usahlah kita semuanya menurut pada suatu jalan itu sahaja tetapi hendaklah diganti balik kepada kewajipan kita iaitu menjaga dan memelihara watan kita: ilmu itu dijadikan senjata dan kerajaan itu dijadikan pelita, barulah jadi yang dicita-cita. Dalam pada itupun harus jua terjadi tujuan anak-anak Melayu yang semata-mata berharapkan gaji daripada jawatan kerajaan itu berilah dua kali kalau sekiranya encik-encik guru tiada jemu daripada menasihatkan kepada murid-muridnya akan kegunaan kasihkan tanah air sendiri itu kita percaya yang demo-demo semuanya sudah tahu dan mengerti baik-baik akan makna "sehari-hari seurat benang lama-lama sehelai kain" dan "berdikit-dikit lama-lama jadi bukit". Maka jika berpegang tetap pada jalan itu bukanlah kita boleh berharap kepada orang-orang yang hartawan sahaja, bahkan orang miskin pun boleh jadi. Di dalam pada itupun susah jua hendak jadi lamun tidak diperbuatkan muafakat dan persatuan tolong menolong di antara satu dengan lain. Bahwa jalan ini barulah dapat mengampu benda berat menjadi ringan, dan di situlah jua dapat membuka apa-apa pekerjaan yang patut menambahkan kejayaan.

Sungguhpun Melayu suka meniru, tetapi belum boleh jadi dengan sendirinya. Biasanya selalu terlebih dahulu dipimpin oleh bangsa-bangsa lain. Jika dapat pun ditirunya hanyalah boleh dikatakan perkara-perkara yang di luar kulitnya sahaja, tetapi isinya susahlah atau tak akan dapat olehnya. Kononnya mereka meniru berbagai-bagai sport seperti mainan bola sepak, hoki, tennis, dan sebagainya itu, ialah meniru kemajuan bangsa-bangsa Barat dan begitu jua mereka meniru cara pakaian-pakaiannya -- itukah dia kemajuan yang sebenar-benarnya itu? Maka yang terlebih mustahak ditiru ialah kemajuan bangsa-bangsa Timur yang telah merampas pesaka nenek moyang kita dengan kerajinannya dan usahanya memenuhkan lapangan tanah di keliling-keliling rumah tangga kita dengan tanam-tanaman dan memelihara ternak atau binatang hidup-hidupannya dimerata-merata kampung kita itu.

Sekarang sedarlah wahai saudara dan bangsaku, dan taatlah dengan bersungguh-sungguh kepada kerajaan kita. Maka hendaklah kita sekalian menurut dan dilihat pergerakan ketua-ketua yang memimpin kita, semakin ianya mendiamkan dirinya sahaja pada hal ia lebih sayang kepada bangsanya yang telah hampir semuanya hal dalam Tanah Melayu ini telah termasuk ke dalam genggaman bangsa-bangsa lain itu. Had inilah sahaja ditempatkan dengan mengharapkan berbanyak-banyak maaf daripada tuan-tuan pembaca serta mengucapkan terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya yang berharga adanya.

Tahir al-Zaini -- Kelantan.