Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Sep 1932, p.223-226

General Article.

Pemandangan Pertunjukkan yang lalu di Kuala Lumpur.

Walaupun musim yang begitu susah, tentang barang pertukangan baru serta perusahaan baru tidak boleh dikatakan kurang, bahkan boleh dikatakan segala pertukangan dan perusahaan tahun ini adalah elok dan jaya di dalam temasha itu. Atau pun boleh jua dikatakan tahun inilah patut segala orang memerhatikan segala rupa kemahuan manusia di dalam kalangan perusahaannya.

Oleh itu kita berani kata disebabkan musim yang susah wang ini, nyatalah anak-anak bangsa asing di negeri ini leka berbuat-buat dan mengadakan jalan pencariannya untuk kesenangan bagi hidupnya menurut peredaran masa. Dalil keterangan ini boleh kita lihat di dalam pertunjukan itu kita dapati rupa-rupa barang yang diperagakan oleh bangsa-bangsa asing itu hampir-hampir tidak ada seiras pun dengan tahun yang lalu. Misalnya masa motokar laku kelmarin, saudagar asyik mengemukakan contoh motokarnya yang cantik tetapi tahun ini boleh bilangkan tidak ada pertunjukan motokar itu yang supaya menarik hati orang ingin hendak membeli. Tahun ini kita boleh jumpa rupa-rupa contoh perusahaan yang lain dari itu; umpamanya memakai baja pokok bunga; pokok yang tak berbaja itu kurus dan yang berbaja itu gemuk. Ini wajib kita orang Melayu mengambil tahu, supaya bunga yang kita hiaskan di dalam rumah kita tidak buruk, kurus, kering, hidup segan mati tak mahu. Lain dari itu kita tidak kuasa hendak menyatakan apa dia benda yang kecil, melainkan memadai kalau dikatakan sangat berguna kepada anak-anak negeri ((orang Melayu)) yang sudah menyaksikan pertunjukan yang tersebut.

Perbuatan Melayu: tidak ada yang lebih elokkan disebutkan di sini tentang pertunjukan anak-anak Melayu yang hendak dijadikan pemberangsang hati, ada tak adanya ialah satu daripada bahagian pertunjukan membatik kain yang dari Sultan Idris Training College Tanjung Malim. Yang mana perbuatan itu ditukang oleh anak Melayu yang datang dari beberapa buah negeri Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. Mereka itu seolah-olah jadi wakil negerinya untuk mencapai ilmu mebatik yang akan dikembangkan di dalam negerinya masing-masing, negeri yang belum jua hendak menghantar anak negerinya menuntut ilmu itu patut simpan hati dan mahu cuba pula menghantarkan anak-anaknya yang akan menuntut pelajaran yang sangat wajib itu.

Kerana pekerjaan itu ialah satu daripada cawangan yang besar faedahnya dan tidak terfikir mengatakan tidak laku dan tidak jaya. Kalau kita agakkan perempuan Melayu di Semenanjung sahaja ((tak kira negeri lain!)) sejuta orang, semua itu semuanya itu mesti memakai kain batik! Tentu sekali tidak diterima akal kita mengatakan perusahaan itu tidak jaya atau tak laku!

Tentang pertunjukan orang-orang Melayu yang lain, kalau dibanding-bandingkan dengan lain bangsa, pertunjukan Melayulah yang tidak berubah-ubah dari tahun yang sudah. Jika dahulu ada tudung saji, sekarang pun ada juga tudung saji itu dengan tidak ada apa-apa ubah contohnya dengan tahun yang lalu. Begitulah juga tikar, bakul, sumpit, bujum, dan ... dan .... Disebabkan rupa perusahaan yang begitu kita pernah jumpa di dalam surat khabar bangsa asing, mengatakan yang orang Melayu tidak tahu memakai fikiran baru dan bercawang-cawang, hanya semata-mata tertutup dengan satu jalan fikiran yang dari kuno ((datuk nenek)) dan yang telah luput dari peredaran dunia sekarang. Dan lagi, kena kata juga kita orang Melayu tidak mahu memakai fikiran orang Melayunya yang lebih mengerti di dalam golongan satu bangsa, meskipun ramai penulis-penulis surat khabar dan majalah yang telah mencerita-cerita dan memintakkan dipenggal telinganya menyuruh buat begini dan begitu! Jadinya sekarang kalau kita menyesalkan Semenanjung tanah Melayu ini tapak judi: nescaya bolehlah kita lihat bangsa-bangsa asing itulah yang senantiasa menang di dalam permainannya, dan ketaralah yang ahli-ahli penjudi tanah Melayu ini asyik mengeluarkan wang modalnya dari dalam poket baju dan seluar serta terkelip-kelip matanya memerhatikan wang masuk di poket kanan dan keluar di poket kiri di dalam genggaman bangsa asing itu.

Kebodohan dan kejatuhan usaha bangsa kita yang begitu kita tidak dapat hendak menasihatkan kepada sesiapa pun. Tetapi kita harap akan jadi mengikut seperti kata-kata orang yang bijak dan ahli siasah -- adalah kebangkitan dan kesedaran perusahaan sesuatu kaum bangsa itu, ialah manakala usaha mereka itu telah jatuh dan terhimpit melepek dengan tanah -- perkataan itu diharap kita tidak mahu lagi hendak mendengar-dengar atau ingin melihat, bilakah dan bagaimana rupanya orang-orang Melayu jatuh dan terhimpit? Tetapi kita harus tahu inilah saatnya dan ketikanya yang kita sudah jatuh benar-benar dalam golongan perusahaan menurut contoh dan rupa yang sudah kita lihat di dalam pertunjukan awal bulan Ogos 1932 yang lalu.

Penonton-penonton ramai juga tidak berhenti keluar masuk dari pagi suntuk petang dan malam. Tetapi berkenaan penonton yang datang ini pun menjadi satu tilikan orang ramai, dalam mana hati kita kurang percaya mengatakan orang Melayu susah, kerana kita dapat juga melihat lagi perhiasan perempuan Melayu yang masuk ke dalam pertunjukan itu lebih daripada had, sendih-mendih dengan pakaian emas yang tergulung di kaki tangan dan yang tergantung di leher, serta yang tersemat di baju. Itu satu dalil orang Melayu masih senang limpah murah. Tentu sekali kerajaan tidak mahu percaya kalau anak-anak negeri ((orang Melayu)) berungut mengatakan susah hendak makan -- dan ada yang menyatakan tidak terbayar cukai tanah dan terpaksa pula dilelong pada merata-rata ceruk daerah di dalam negeri, disebabkan getah tidak laku dan harga bijih turun kepada darjah yang sehabis-habis rendah.

Committee-committee dalam pertunjukan berasa girang hati kalau seseorang penonton melihat dalam pertunjukan itu dengan betul memanjangkan lehernya melihat satu persatu dan gemar menyiasat sesuatu perkara baru dan lama. Akan tetapi ia berasa sebal hati pula manakala melihat sekumpulan orang yang ramai leka bertoyang-toyang tumit, henti ini jalan dan melihat itu segan! Terpusing-pusing dan tersipu-sipu. Di dalam temasha ini kita jangan malu dan segan menyiasat sesuatu hal kejadian dan kemajuan di dalam negeri kita, yang akan kita buat dan tiru pada jalan memperbaiki nasib negeri kita.

Tahun akan datang kita boleh teka barang-barang pertunjukan seperti itu haruslah lebih hairan dan elok dari tahun ini. Dikeranakan musim yang sempit dan susah wang, tiap-tiap orang leka hendak mengadakan perbuatan baru, kepandaian baru, serta mengubah keadaan rupa pemandangannya.

Moga-moga bangsa kita pun tidak juga mahu tinggal diam di dalam bahagian cicir, diharap mahu berlumba dalam berusaha, mahu berbuat mencari wang, mahu buat apa-apa contoh yang baru, dan mahu membuang segala resam-resam yang jadi hodoh memang tersemai di dalam sanubari kita dari zaman berzaman.