Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Feb 1933, p.71-73

Editorial.

Selamat Hari Raya.

Oleh sebab Majalah Guru ini keluarnya pada masa orang-orang tengah berHari Raya, kita mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya kepada sekalian Guru-Guru dan Pembaca sekalian.

Telah setahun lamanya kita sekalian bekerja dalam masing-masing cawangan pekerjaan dengan tujuan hendak menebus nama bangsa kita daripada cakap-cakap yang mengatakan Melayu pemalas dan pelesir, mudah-mudahan nampaknya dari sehari ke sehari sebulan ke sebulan, hingga tamat pula sekali lagi Puasa, adalah kaum kita bergerak dengan perlahan-perlahan dalam serba cawangan yang tercapai dan terdiri olehnya. Dalam setahun yang lalu ini kita telah dapat memerhatikan beberapa perubahan yang menunjukkan hidup dan segar semangat umat kita. Soal yang penting sekali yang telah mengocak fikiran anak-anak Melayu kita dalam tempoh setahun yang lalu ialah berhubung dengan perkara hak-hak anak negeri seperti bagaimana telah kita saksikan sekalian umat Melayu yang berfikiran itu daripun Raja-Raja dan Orang-Orang Besarnya hingga kepada rakyat-rakyatnya yang ramai mempertahankan rempuhan kehendak-kehendak bangsa-bangsa Asiatik dagang.

Berkaitan dengan itu, telah nampak pula oleh kita kesedaran orang-orang Melayu itu pada tentang bercucuk tanam dan membuka pasar-pasar mingguan. Lain daripada itu, dalam jajahan Kuala Selangor, Kelang dan Kuala Langat, telah bergerak orang-orang Melayu di situ tentang membuat dan menjual kelapa keringnya sendiri dengan bersungguh-sungguh tidak hendak membiarkan orang-orang tengah bangsa asing itu membolot segala keuntungannya.

Di Melaka, iaitu tempat yang masyhur dengan gelaran "Ceruk yang Lena" ((Sleepy Hollow)), telah terbit suatu surat khabar yang tak dapat tiada menunjukkan kebangkitan dan kesedaran bumiputera di situ.

Di Pahang, dari sehari ke sehari semakin bertambah bilangan pembaca-pembaca surat khabarnya iaitu, jika diperhatikan daripada tulisan-tulisan dan karangan-karangan yang dihantar dari sana ke dalam surat khabar "Majlis".

Di Kelantan, di mana orang-orang Melayunya memang masyhur lebih rajin dan lebih usaha daripada Melayu-Melayu di lain-lain tempat telah dapat anak-anak Melayunya menyudahkan bangunan Pejabat Ukur dan jambatan yang molek dan moden.

Di Kerian, Perak, telah terdiri perniagaan menjual telur kepunyaan orang-orang Melayu hingga merebak jualan-jualan itu ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura.

Di Kuala Lumpur, di Kelang dan di Kedah, telah terdiri Persekutuan atau Kelab-Kelab Perempuan-Perempuan Melayu yang mencuba bertatih ((?) berjalan dengan perlahan-perlahan bagi faedah pelajaran dan pengetahuan.

Dalam tahun yang lalu ini jua Tanah Melayu telah menerima lawatan Tuan Sir Samuel Wilson, Timbalan Menteri Jajahan-Jajahan Luar Inggeris berhubung dengan siasat atas permintaan Raja-Raja Melayu Negeri-Negeri Melayu yang Bersekutu hendak membalikkan kuasa-kuasanya, dan dalam tahun yang lalu jua undang-undang sekatan di atas kedatangan bangsa-bangsa asing dengan mengecualikan bangsa-bangsa Melayu Gugusan Pulau-Pulau Melayu telah disahkan di negeri-negeri Selat.

Dalam tahun yang lalu itu, peperangan hidup yang disebabkan oleh zaman meleset ini telah menjadi semakin bertambah-tambah hebat, hingga berpuluh ribu bilangan orang-orang Cina dan India telah dihantar dan dikirim balik ke negerinya dan beribu-ribu lagi bangsa asing yang dahulu mewah hidupnya telah hilang pekerjaan dan terapung-terapung menjadi kaum pengganggur yang terpaksa diberi belanja dan makan oleh pungutan khairat orang ramai, Alhamdulillah dalam kehidupan yang terdesak oleh musim kesempitan yang seperti itu orang-orang kita Melayu dipukul rata tidak merasa begitu sangat kesusahan seperti anak-anak bangsa asing oleh kerana hampir-hampir semuanya orang-orang Melayu itu ada mempunyai tanah dan banyak sekali yang mempunyai sawah padi.

Sungguhpun demikian, kesusahan atau bahang kepanasan musim kemarau wang itu telah terasa jua kepada mereka itu bahkan yang demikian itulah yang telah menjadikan mereka itu lebih-lebih lebar membukakan matanya dan pemandangannya. Atas pihak orang-orang Melayu, alam, adalah musim kesusahan itu telah menjadi sebesar-besar rahmat dan hikmat Tuhan pada menolong mereka itu belajar berdiri sendiri dan berikhtiar sendiri. Pendeknya, pergerakan dan kemajuan umat Melayu itu dalam setahun yang lalu ada memberi puashati.

Sekarang lepas kita berpuasa dan berHari Raya, patutlah pula masing-masing kita memandang ke hadapan sekurang-kurangnya kepada masa setahun yang akan datang. Dari sekarang tiap-tiap orang daripada kita mesti mengemaskan ikat kain atau tali seluar kita untuk bekerja bersungguh-sungguh lagi mencapai apa-apa yang belum tercapai oleh kita.

Soldadu-soldadu yang hendak dimulai berlatih di Port Dickson itu akan bekerja dengan serajin-rajin dan sekuat-sekuatnya dalam ilmu ketaatan dan menjaga negeri. Orang yang akan diberi tanah daripada beribu-ribu ekar tanah sawah yang baru dibuka itu, akan bersungguh-sungguh memajukan tanah ladangnya. Orang-orang Melayu yang telah mencuba berniaga dan telah merasa kelazatannya dalam masa yang lalu wajib jangan menoleh-noleh lagi melainkan maralah ke hadapan memajukan dan membesarkan kawasan perniagaan bangsanya. Pasar-Pasar mingguan yang kurang elok dan tegap perdiriannya baiklah mempertegapkan dan membetulkan asas-asasnya mana yang longgar dan yang kurang teguh. Dobi-dobi Melayu, tukang cukur Melayu, tukang-tukang Melayu, patut bertambah ramai dan berlebih-lebih mengeluarkan tenaganya. Pegawai-Pegawai kerajaan Melayu yang tinggal menggantikan tempat-tempat orang Keling dan Cina yang telah terundur oleh masa kesusahan ini, mesti bekerja dengan sekuat-sekuatnya menunjukkan kelayakannya.

Guru-Guru Melayu yang telah berjaya dalam pekerjaannya tentang melatih anak-anak Melayu dalam hal-hal pelajaran, senaman, permainan, pertukangan, meninggikan lagi sinsing lengannya masanya dan tenaganya untuk merebus dan melebur bagai-bagai kemalasan dan kelalaian yang masih ada tertinggal.

Pendeknya, biarlah ucapan kita pada Hari Raya ini, selain daripada doa selamat dan persatuan "kita akan bekerja lebih kuat lagi, kita akan berusaha lebih keras lagi".

Kerja dan perbuatan itulah yang akan dihitung apabila sampai masanya setahun lagi kita akan mengira-ngira buah kemajuan kita. Selamat Hari Raya.