Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1933, p.3-7

General Article.

Jawab yang lebih baik sekali kepada Peranakan-Peranakan yang bukan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini.

Barangkali kita telah mendengar dan membaca dengan cukup akan fikiran-fikiran yang telah diterbitkan oleh keturunan bangsa-bangsa Asiatic dagang dan penyokong-penyokongnya berkenaan dengan tuntutan-tuntutan mereka, baik pun di dalam Majlis Mesyuarat atau dalam surat-surat khabar ataupun dalam percakapan-percakapan di antara kita dengannya dan kita telah mengetahui dan mendengar jua apa-apa cawapan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak anak-anak muda bangsa kita Melayu untuk mempertahankan hak-hak kita bagi masa ini dan bagi masa yang akan datang.

Pada pemandangan kita perbahasan yang seperti ini tidak akan berkesudahan bahkan akan turun menurun menjadi pesaka kepada anak cucu kita dan anak-anak cucu peranakan-peranakan yang bukan Melayu dan yang bukan Islam itu. Maka sekiranya tiada cermat di antara kedua belah pihak menjalankan perbahasan itu bolehlah pula pada suatu masa akan membawa kepada pertempuran yang tiada baik.

Dalam salah satu karangan Monsieur Clemenceau, bekas Menteri Besar Perancis, yang telah meninggal yang bergelar "Harimau" itu, kita telah terbaca fikirannya yang lebih kurang mengatakan bahwa kejayaan dan kekalahan sesuatu bangsa itu bukanlah sahaja boleh didapati dengan alat senjata di medan peperangan tetapi jua kemenangan atau ketewasan itu berlaku seterusnya di dalam masa keamanan dan kemakmuran; di dalam masa membuat pakatan, mesyuarat dan perjanjian. Daripada fikiran yang tersebut nampaklah kepada kita bahwa perbahasan yang boleh membawa kepada kekusutan dan kacau bilau di atas keamanan negeri itu tiada berfaedah terutama sekali jika cita-cita dan kehendak-kehendak kita yang sejatinya itu boleh dihasilkan dengan mempersihkan ((?) kacau bilau itu.

Di antara bangsa Asiatic dagang itu yang kuat sekali dan yang selalu kedengaran bantahan atau suaranya di atas sesuatu cadangan yang hendak dijalankan oleh kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu ini ialah orang Cina. Jika kita permenungkan sekejap akan sebab-sebabnya orang Cina itu ((baik dagang totok atau peranakan)) telah menjadi suatu kaum yang berwang di Semenanjung ini, kejayaan dan kemakmuran mereka itu di dalam segala cawangan kehidupan dalam masa berpuluh tahun yang lalu telah diperolehinya dengan tidak sedikit pun payah menggunakan selaras senapang atau sebatang belantan. Senjata yang kuat sekali dalam masa yang telah lalu dan yang ditakuti sangat-sangat dalam masa yang akan datang ialah "rajin usaha dan kuat bekerja". Tabiat yang mana orang-orang kita Melayu mesti mencapai dan menggunakannya sekiranya mereka itu berkehendak bersungguh-sungguh mempertahankan tanahairnya.

Pendeknya, sekiranya dalam masa yang telah lalu kita dan bangsa kita telah hanci ((hancur)) dan berseti-seti ditempuh oleh langgaran dan serbu "rajin dan usaha" mereka itu, maka pada masa ini wajiblah pula kita jawab atau balasa langgaran mereka itu dengan serbu "rajin dan usaha" pula.

Kita ketahui bahwa di antara bangsa-bangsa dagang itu bukannya bangsa Cina sahaja yang di Tanah Melayu ini, tetapi jua ada beratus-ratus ribu bangsa Indian. Tetapi mengapa bangsa-bangsa India itu tidak kedengaran begitu keras dan merbahaya seperti suara-suara orang Cina? Tidak lain lagi melainkan ialah orang-orang India itu kebanyakannya daripada kaum kuli yang tiada berwang dan tiada mempunyai harta seperti orang Cina. Jikalau adapun daripada mereka itu yang dijumlahkan kepada ceti dan tuan tanah tetapi bilangan mereka itu tiada berapa banyak seperti orang-orang Cina. Berlainan orang Cina: merekalah yang memegang hampir-hampir semua perniagaan daripada yang besar hingga kepada sekecil-kecil perniagaan. Merekalah yang banyak harta dan tanah, merekalah yang memegang perusahaan menangkap ikan di laut-laut, mengambil bahagian yang tidak sedikit dalam perkara lombong-lombong dan membuat segala-segalanya hingga kepada menyampaikan belacan dan asam garam ke tangga dan pintu rumah-rumah dan penduduk-penduduk Melayu pun mereka itulah jua.

Dalam keamanan dan kemakmuran yang telah berlaku dari semenjak negeri ini dinaungi oleh kerajaan Inggeris, mereka itu telah menderu-deru lebih daripada angkatan bala tentera datang ke mari dan dalam masa itu jua mereka itu telah mengatur dan mengemaskan segala barisannya dalam segala cawangan kehidupan di sini iaitu pada masa orang-orang Melayu kita tengah tidur lenyak dengan urat belikatnya yang terbelangko. Mujur jua dalam masa kemenangan dan kejayaannya itu orang-orang kita Melayu tidak hilang dan hapus sama sekali dari muka bumi Semenanjung ini. Bahkah oleh sebab asuhan dan pelajaran yang telah diberi kepada kita oleh kerajaan yang menaungkan kita maka sekarang kita telah begitu membuka mata terpesot-pesot [?] dan mencuba pula melaung-melaung mengatakan orang telah masuk ke rumah kita.

Oleh itu apalah jawab dan balas kita kepada Cina yang telah memperbuat seperti itu? Bukannya dengan surat-surat sahaja yang tidak diperdulikan, bahkan dijawabnya pula dengan surat oleh orang-orang Cina itu, tetapi ialah dengan bekerja, berusaha, membanting tulang, memperbaiki kehidupan kita dan mengunci sebarang yang terdapat sekalian mata air pencarian yang selama ini meleleh atau melurut ke dalam saku kuli-kuli dan singkek-singkek bangsa mereka itu.

Kuli-kuli atau singkek-singkek mereka itulah yang menjadi asas dan tapak kekayaan dan kemakmuran mereka itu di negeri ini bahkan jikalau tiada dengan kuli-kuli dan singkek-singkek itu, maka akan terapung-terapunglah beberapa banyak pencarian mereka yang lebih senang di antaranya.

Dengan sebab itu wajiblah kita:

1. Bekerja dengan sekuat-sekuat dan serajin-rajinnya memajukan sawah padi, kebun kelapa, getah, sayur-sayur, buah-buahan dan lain-lain tanaman yang boleh tumbuh dan berhasil di negeri ini.

2. Berusaha betul-betul membela hidup-hidupan seperti kerbau, kambing, lembu, ayam, itik, dan lain-lain binatang dan burung yang boleh menjadi mata pencarian dan wang.

3. Berjimat cermat dan bersungguh-sungguh melepaskan diri kita daripada belitan dan belenggu hutang kepada bangsa-bangsa asing itu serta berniaga sendiri, berjual beli sendiri akan segala hasil daripada kepenatan titik peluh kita itu hingga kepada had menjualkannya ke negeri lain-lain dan membawa masuk dagangan-dagangan negeri lain buat keperluan kita sendiri dengan tidak sedikit pun mengharapkan tulang urat atau titik peluh bangsa yang kuat hendak merebut-rebut hak-hak bumiputera di Tanah Melayu ini.

4. Belajar di dalam dan di luar sekolah dengan bersungguh-sungguh terutama pada tentang memerhati dan mengecamkan serta meneladan perbuatan-perbuatan dan langkah-langkah bangsa yang telah maju dengan tidak membuang atau menghilangkan apa-apa yang baik yang telah ada kepada kita. Dalam perkara ini temasuklah melebar dan meluaskan pemandangan dengan melihat sendiri atau dengan membaca buku-buku dan surat-surat khabar di atas segala hal-hal dan perusahaan negeri-negeri lain di dalam dunia dengan tidak sedikit pun lalai daripada membandingkan sekalian itu dengan hal-hal di negeri kita, tempat kita dan bangsa kita. 5. Bersatu dan bermuafakat dalam serba perkara terutama tentang hal mencari kehidupan. Kurangkan perbalahan dan perselisihan dan cari ikhtiar yang boleh menambah baiki sesuatu tujuan atau kekuatan.

Lain daripada itu sekalian orang-orang Melayu yang menjadi dan yang akan menjadi kaki tangan kerajaan hendaklah bekerja berusaha bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan masing-masing kepada Raja, Kerajaan, dan Negeri, dengan tidak sedikit pun bengkok atau makan suap.

Pendeknya tunjukkan yang kita Melayu ada mempunyai tulang urat dan semangat yang keras yang tidak mudah dipatah-patah dan dipeletok-peletokkan seperti batang keladi atau sayur kangkung. Orang kita yang menjadi kakitangan kerajaan yang memangnya diakui hamba dan abdi kepada orang ramai dan negeri wajiblah bersungguh-sungguh setia dan taat kepada rajanya dan negerinya -- bukannya taat dan setia yang dibuat-dibuat dan tunjuk-tunjukkan pada zahirnya sahaja, tetapi bengkok dan makan upah atau suap apabila mendapat peluang melainkan dikehendaki ialah taat yang sebenarnya seperti seorang soldadu penjaga kota yang reda membuang jiwanya apabila disuap atau digasak oleh musuh negerinya.

Maka dengan mata kita yang terbuka dan hati kita yang ingat dan sedar serta dengan pakatan kita yang baik dan usaha kita yang bersungguh-sungguh dan bersama-sama, dapatlah kita memberi jawapan yang memberi bekas kepada peranak-peranakan yang hanya menjadi saluran dan suara orang-orang Cina yang telah datang dan yang lagi akan datang itu. Dengan jalan inilah sahaja boleh kita dapat menunjukkan syukur kita kepada kerajaan yang telah berusaha dan yang lagi akan berusaha menolong dan menaungi negeri ini.

Lain daripada beberapa banyak peraturan dan pertolongan yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi orang-orang Melayu termasuk cadangan-cadangannya yang besar yang hendak dijalankannya sekarang ini. Baharu ini pula kerajaan telah mengadakan undang-undang menyekat bangsa-bangsa asing itu datang ke Tanah Melayu ini.

Undang-undang sekatan yang baharu diluluskan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Selat dengan tidak memperdulikan terik laungan wakil-wakil orang-orang Cina itu memang suatu undang-undang yang sangat dicita-cita dan telah lama dimimpi-mimpi oleh orang-orang Melayu.

Dengan adanya undang-undang itu, meskipun tiba dan sampai balik masa kemakmuran yang boleh mengeluarkan air liur orang-orang di Tiongkok ((negeri Cina)) melihatnya, tidaklah boleh mereka itu bebas seperti dahulu lagi menumpu ke negeri ini.

Suatu lagi budi kerajaan yang tiada boleh dilupakan oleh orang-orang Melayu ialah dalam musim susah dan kekurangan pencarian ini, kerajaan telah membelanjakan beberapa banyak wang menghantar balik berpuluh-puluh ribu kuli-kuli bangsa asing itu ke negerinya. Peraturan itu bukannya sahaja akan melapangkan kesusahan dan kehidupan orang-orang di sini, tetapi jua supaya jangan pula mereka itu dalam masa yang akan datang dapat mengangkut anak bininya dan kembang biak di sini.

Undang-undang sekatan seperti yang telah diluluskan di dalam Negeri-Negeri Selat itu kita yakin akan diluluskan jua dalam tiap-tiap negeri di Semenanjung ini. Sekaliannya itu sangat besar maknanya dan faedahnya kepada orang-orang Melayu sekiranya mereka itu menangkap dan menggunakan peluang dan pertolongan-pertolongan itu dengan bersungguh-sungguh bangkit, mara dan maju ke hadapan melemparkan dirinya ke dalam segala perusahaan dengan tidak memperdulikan susah atau sakit. Jikalau teriak jeritan bangsa-bangsa asing itu telah diasaskannya kepada jerih penat dan titik peluhnya yang telah meleleh di dalam negeri ini, maka tiadalah dapat kita hapus atau padamkan bunyi suara itu melainkan dengan jerih penat dan titik peluh kita yang meleleh pula.

Pada akhirnya, kita nyatakan bahwa jikalau sekadarkan kita Melayu ini semata-mata berharap dengan peranakan-peranakan itu sahaja -- iaitu jika mereka itu tidak disokong dan dikuatkan belakangnya oleh tentera-tentera Cina totok yang sentiasa dahaga dan lapar akan tanah dan harta Semenanjung ini -- maka tidaklah kita ngeri sedikit pun mengadu tenaga kehidupan kita dengan mereka itu kerana kita ketahui baik-baik tidakkan ada rupa muka peranak-peranakkan yang telah menjadi malas dan kaum kerani itu akan boleh betul-betul membanting tulangnya membuka sawah padi, menebang hutan, membelah papan, dan sebagainya. Jikalau tidak, mereka itu dibantu oleh tulang urat kaum-kaumnya yang totok dari Tiongkok.

Jeritan-jeritan dan tuntutan-tuntutan mereka itu sungguh pun pada bunyinya ceritan-ceritan Malayan, tetapi yang sebenarnya tidak lain melainkan jeritan bagi faedah dan kegunaan benua Cina dan Hindustan. Jikalau umpamanya tuntutan-tuntutan mereka itu terbitnya daripada kaum anak cucu Portugis yang telah terpotong sama sekali daripada negeri asalnya tentulah kita memikirkan yang tuntutan itu sedikit pun tidak boleh menjadi kudis atau jerawat kepada kita.