Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1933, p.3-6

General Article.

Lawatan Saya ke Negeri Jepun.

Kepada orang-orang kita di sebelah sini, iaitu Indonesia dan Semenanjung, negeri Jepun ialah sebuah negeri di Timur Jauh yang maju dan yang pada masa ini sibuk dengan peperangan di Manchuria.

Selain daripada itu, mereka mengetahui bahwa negeri Jepun itu selalu dilawati oleh gempa yang merbahaya. Ketika saya hendak bertolak meninggalkan Kuala Lumpur, ramailah kawan-kawan daripada orang-orang muda yang telah datang memberi selamat berlayar dan di antara mereka itu ada jua tampaknya ((daripada air mukanya)) yang memikirkan harus saya tiada balik oleh kerana bahaya-bahaya gempa dan peperangan yang sibuk di dalam surat-surat khabar di sebelah sini.

Di stesen Kajang, Seremban, dan tampin jua, saya telah berjumpa dengan sahabat-sahabat yang memberi ucapan selamat berlayar. Apabila sampai sahaja di Johor Baharu, saya dapati Syed Alwi al-Hadi dan En. Mahmud Noor ((adik Cik Zainon)) serta beberapa orang sahabat yang lain telah sedia menanti dan dengan mereka itu saya telah berulang-alik dari Johor baharu ke Singapura dalam sehari-dua sebelum saya berlayar. Masa di Singapura saya telah bertemu dengan Tuan Syed Ahmad al-Sakaff dan Encik Onn bin Ja`afar, pengarang Warta Malaya.

Saya telah bertolak dari Singapura dengan kapal Haruna Maru lebih kurang pukul 5 1/2 petang pada 12 haribulan March. Dalam kapal itu, saya dapati ada beberapa orang tumpangan daripada Orang Putih, tetapi yang ramainya ialah orang-orang Jepun yang dalam perlayarannya balik daripada Eropah, India dan pulau-pulau Melayu. Oleh sebab saya seorang sahaja orang Melayu, maka terasalah oleh saya lengang dan keseorangan. Ada tak ada, yang saya kenali dari Toyo Hotel Singapura ialah Mister Miyata dan Mister Tanaka, yang sedang balik dari India dan pulau-pulau Melayu di mana mereka telah enam bulan lamanya menjajahi dan melawat segala agen-agen perniagaannya. Terkadang-kadang mereka itu berjumpa dengan saya di dalam "saloon" atau dalam bilik kutub Khanah, tetapi kebanyakan masa saya telah habiskan dengan membaca buku-buku yang berkenaan dengan negeri Jepun yang dipinjam dari kutub Khanah buku-buku itu. Saya ulangi balik beberapa kali membaca surat-surat daripada sahabat-sahabat yang telah saya terima sebelum saya meninggalkan Singapura -- masing-masing surat ini masing-masing gaya dan bunyinya, bahkan ada pula surat-surat yang datangkan sayu sahaja hati membacanya.

Kira-kira dua hari lagi hendak sampai ke Hong Kong, Mister Tanaka telah mengenalkan saya dengan Mister Hanawa Kobayashi, siap sedang balik dari mengelilingi pulau-pulau Melayu berhubungan dengan perniagaan-perniagaan Jepun di sebelah sini. Mister Hanawa Kobayashi ini pula telah mengenalkan saya dengan Professor Siziru Kawai ((seorang Professor dalam bahagian Ekonomi di Imperial University Tokyo)) dan Professor Nagasawa ((seorang Professor dalam Keio University, Tokyo)), kedua-duanya sedang balik dari Eropah.

Professor Nagasawa itu telah tiga tahun meninggalkan negerinya dengan mengikut jalan keretapi Siberia dan telah melawat beberapa buah negeri di Eropah, termasuk Germany, Belgium, England dan France, kerana menyiasat hal peraturan jel di sana.

Oleh sebab laut dari Singapura ke Hong Kong ada gelora sedikit, kapal yang jangkanya sampai di Hong Kong pada 17 haribulan mac telah tiba pada pukul 9 malam 18 haribulan mac. Tiap-tiap orang yang di dalam kapal telah menerpa ke deck dan berdiri menjamukan mata kepada api bandar Hong Kong yang mengerlip bermilyun-milyun bertingkat-tingkat dari tepi laut hingga ke puncak bukit.

Pemandangan di Hong Kong pada malam hari ialah suatu pemandangan yang sekali-kali tidak boleh dilupakan indahnya. Tiap orang mengucapkan dalam bahasanya masing-masing akan perkataan-perkataan yang memuji kecantikan bandar Hong Kong -- Hong Kong yang dahulunya sarang perompak lanun dan tempat-tempat singgah penangkap-penangkap ikan telah bertukar menjadi bandar "Hikayat Seribu Satu Malam".

Apabila telah sampai ke tangan orang-orang Inggeris yang masyhur bijak pada tentang perniagaan dan memerintah negeri. Pada hari ini penduduk bandar Hong Kong dan jajahan-jajahannya telah hampir semilyun banyaknya.

Professor Nagasawa yang berdiri di sebelah saya telah beberapa kali menyebut "beautiful" dan telah berkata yang bandar ini ada pula seakan-akan bandar Naples di Itali. Jikalau benar kata setengah penulis "lihat Naples dahulu baru mati", maka begitulah jua benarnya perkataan "lihatlah bandar Hong Kong pada malam hari sebelum mati". Begitulah hal keadaan kami berdiri di deck hingga jauh malam memuaskan dahaga pemandangan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas puncak bukit yang tidak kurang 800 kaki tingginya dari muka laut itu.

Bukannya sahaja dihadapan, tetapi di kiri kanan kami gemerlip api daripada rumah dan kedai-kedai, istimewa pula api-api daripada kapal-kapal, motorbot dan sampan-sampan yang sibuk berulang-alik di dalam teluk pelabuhan itu.

Pada esoknya saya telah turun ke darat dan oleh kapal Haruna Maru akan belayar pada tengah hari 19 haribulan itu, tiadalah dapat saya menjelajahi dan melawat tempat-tempat yang lain dari keliling-keliling bandar itu sahaja. Tetapi pulau Hong Kong itu telah saya kelilingi dan puncak bukitnya telah saya lawati dengan motorcar pada 15 april dalam perjalanan saya balik ke Singapura dari negeri Jepun.

Dari Hong Kong ke Shanghai lautnya tenang tetapi hawa telah bertambah-tambah sejuk dan kapal selalu sahaja siang malam membunyikan semboyan di dalam kabus yang tebal itu. Pagi-pagi 22 haribulan mac, kami telah rapat di wharf pelabuhan Shanghai. Kepada saya, seorang yang datang dari negeri yang panas hawa, di Shanghai itu ((sungguhpun telah mulai musim bunga)) berasa terlalu sejuk -- bahkan lebih sejuk daripada hawa yang saya rasai di mana-mana tempat ((melainkan Tokyo)) dalam negeri Jepun. Sekalian orang di Shanghai masih memakai pakaian musim sejuk lagi dan oleh sebab saya tiada bersiap masa hendak bertolak dari Singapura, maka di situlah saya telah terpaksa membeli baju tebal ((overcoat)). Pohon-Pohon kayu dalam lorong-lorong di Shanghai masih meranting dan salji masih ada bertimbun-timbun di tepi-tepi jalan raya. Dalam masa yang pendek sebelum kapal belayar hari itu telah sempat jua saya berpusing-pusing keliling bandar itu dalam motorcar Mister Oti ((sahabat Mister Mayata di Shanghai)), beserta dengan seorang Jepun kerani Mister Oti, siap telah menunjukkan tempat-tempat itu kepada saya. Bandar ini telah saya lawati lagi masa saya balik pada 10 haribulan april dalam masa mana saya telah sempat melawat bandar Capi [?], yang telah roboh-roboh dan hancur luluh dibedil oleh kapal-kapal terbang Jepun dahulu. Saya telah melawat bahagian bandar Cina dan dalam sebuah kedai makan orang Islam Cina saya telah bertemu dan berkenal-kenalan dengan beberapa orang Islam Cina di situ. Di situlah saya telah mendapat ketahui bahwa dalam bandar Shanghai tidak kurang dari tiga puluh ribu orang-orang Cina Islam berkedudukan di sana. Mereka itu ada mempunyai tujuh buah masjid -- empat buat daripadanya masjid yang besar. Mereka itu telah memberi tahu jua bahwa hampir-hampir semua mata-mata Cina dalam bandar Shanghai itu daripada Cina Islam dan meskipun ramai peminta sedekah dalam bandar itu, tetapi tiada kedapatan peminta sedekah dari orang Islam.

Hal ini dipersetujui oleh "guide" Cina saya yang berugama Christian. Bandar Shanghai itu duduknya lebih kurang 13 batu dari laut di tebing sungai Wangfu. Saya telah melihat kota Wusang di kuala sungai itu yang telah roboh-roboh dibuat oleh peluru kapal-kapal perang dan kapal-kapal terbang kerajaan Jepun.

Bandar Shanghai itu besar tetapi banyak lorong-lorongnya yang sempit seperti lorong bandar belanda di Melaka. Bukannya tidak ada beberapa lorong yang lebar dan kedai-kedai yang cantik; dalam bandar itu kelihatan beberapa bangsa, Cina, Jepun, Benggali Sikh, Inggeris, Perancis, Russian, dan lain-lain bangsa Eropah. Pada merata-rata lorong penuh sesak dengan orang-orang Cina yang kelihatan tiada apa-apa pekerjaannya. Mereka itu sekalian ((laki-lakinya)) memakai baju hitam yang labuh dan kopiah Cina yang bersumbu di tengah-tengahnya. Perempuan-Perempuan Cina kebanyakan ((yang muda-mudanya)) memakai cara Shanghai dan berambut pendek seperti yang biasa kita lihat di sini. Kata orang Shanghai, ini bandar segala kesukaan dan saya yakin atas kebenaran perkataan ini.

Pada pagi 24 haribulan mac saya telah sampai ke Kobe ((negeri Jepun)). Semalam dahulu dari sampai ke Kobe itu, iaitu pada ketiga hari tengah berayun petang, kami telah melalui beberapa buah pulau diBarat daya negeri Jepun. Ketika hendak masuk ke laut yang di kelilingi oleh daratan ((inland sea)) yang masyhur indahnya itu, kami telah menempuh selat yang sempit ((lebih kurang selebar selat Johor)) iaitu selat yang menceraikan pulau Kyushu dengan tanah besar Jepun. Pemandangan di situ sangat indah. Pohon-Pohon Pine ((pine trees)) yang tiada gugur daun-daunnya dalam musim sejuk itu tampak teratur dengan kecantikannya dan di pantai-pantai pulau di keliling kami, kelihatan dengan terang rumah-rumah, pekan-pekan, dan kilang-kilang yang sibuk bekerja sehari-hari. Asap-asap dari corong-corong kilang itu nampak berkepul-kepul naik dengan hitam. Kata Professor Nagasawa yang berdiri di sebelah saya, "Nature is very beautiful in Japan", yakni kejadian alam sangat cantik dalam negeri Jepun. Sambil mata saya memandang dengan fikiran yang suatu macam rasanya, saya telah mengiyakan perkataannya itu, sambil menambah-nambah pula lagi dengan perkataan-perkataan yang terbit dari hati saya. Ketika matahari telah jatuh di sebalik bukit yang dipenuhi oleh pohon pine itu, kami telah berada di laut yang di kelilingi oleh daratan negeri Jepun.

Sebelum meninggalkan kapal Haruna Maru pada pagi 24 april, kami telah berjabat-jabat tangan mengucapkan selamat tinggal kepada pegawai-pegawai kapal itu dan jua kepada sahabat kenalan yang lain termasuk wakil kerajaan Manchukuo yang sedang balik dari Geneva ke negerinya.

Professor Nagasawa telah mengajak saya melawat "Keio University" masa saya sampai di Tokyo, dan Mister Hana Kobayashi telah berbalik-balik memesan supaya saya mengirim telegram kepadanya menyatakan hari dan waktu saya sampai di Tokyo. Mister Miyata ((Tuan punya factory basikal yang besar sekali dalam negeri Jepun)) telah mengajak saya melawat factorynya apabila saya sampai di Tokyo, dan Mister Tanaka ((manager cawangan company Miyata itu)) telah mengajak saya melawat pejabatnya di Osaka.

Saya telah berhenti di Oriental Hotel, iaitu hotel yang sangat disukai oleh pelawat-pelawat Eropah dan amerika di Kobe. Dalam hotel itu ada cawangan company Thomas Cook & Son. Pada masa itu, saya telah keseorangan balik semula dan tiada sesiapa pun yang saya kenal lagi.

Kemudian daripada makan tengahari dan menulis surat-surat ke Tanah Melayu, saya telah berpusing-pusing mengelilingi bandar Kobe yang mengandungi lebih 700,000 penduduk. Saya melawat tempat-tempat air terjun, rumah-rumah sembahyang ((temple)) dan singgah di kedai-kedainya membeli sedikit barang-barang.

Pada esoknya pagi-pagi saya telah menaiki motorcar menuju bandar Osaka yang tidak berapa jauh dari Kobe ((kira-kira setengah jam perjalanan)). Bandar Osaka itu mengandungi hampir-hampir empat milyun manusia dan digelar jua akan dia Manchester of Japan, kerana di situlah yang banyak sekali kilang-kilang perusahaan dalam negeri Jepun. Terkadang-kadang jua bandar itu dipanggil "Venice of Japan" kerana di situlah ada taman-taman bunga dan tempat-tempat kesukaan yang di kelilingi oleh air. Saya telah menuju sekolah-sekolah bahasa asing dan berjumpa dengan Mister Naito, seorang guru bahasa Melayu dalam tempat itu. Ia telah membawakan saya ke rumah Encik Bachik bin Wan Chik, seorang anak kampung baru Kuala Lumpur, siap telah 19 tahun lamanya menjadi guru bahasa Melayu di negeri Jepun. Ia seorang telah menerima anugerah bintang FORS ((Fifth Order of the Rising Sun)) dari Yang Maha Mulia Raja Negeri Jepun. Didapati ia tengah bergenggang di bilik rumahnya dan telah mempersilakan kami masuk ke dalam sambil menyebut-nyebut akan kesejukan hawa di negeri Jepun. Ia terlampau suka dan riang dapat bertemu dengan orang Melayu dan katanya semenjak ia balik cuti ke Kuala Lumpur sebelas tahun dahulu, tidak sehari pun ia lupa akan Tanah Melayu yang dikasihi. Saya sudah tidak diberinya pergi ke hotel lagi bahkan tiga hari lamanya sebelum pergi ke Tokyo, saya telah menumpang di rumahnya -- tidur baring bersama-sama, berjalan-jalan sama-sama dan tiap-tiap malam berbual sampai jauh-jauh malam ((walaupun kami kedua telah berbaring hendak memejamkan mata, terkadang-kadang bangkit semula duduk)), bercakapkan hal-hal Tanah Melayu dan kisah diri masing-masing. Terkadang-kadang Cik Zainab, isteri Encik Bachik ((peranakan Numazu, di antara Osaka dan Tokyo)) menggeleng-geleng kasihan melihatkan Encik Bachik yang sangat asyik dan cinta akan negerinya Semenanjung ini. Selama 15 tahun Encik Bachik telah bersama dengan isterinya ia telah memperoleh empat orang anak. Yang tuanya telah kembali ke rahmatullah dan dikuburkan di Numazu. Yang keduanya Abdul Manaf berumur lebih kurang 16 tahun, sekarang tengah belajar ilmu engineer electric di Osaka dengan tujuan hendak balik membuat pekerjaan sendiri di Tanah Melayu. Yang ketiga Hafsah, berumur sebelas tahun, dan yang keempat Muhammad Kassim, berumur 7 tahun, kedua-duanya dalam sekolah rendah ((primary school)) lagi. Niat Encik Bachik tidak lama lagi akan berpensiun dan balik dengan anak isterinya ke Semenanjung Tanah Melayu.

Encik Bachik telah membawa saya melawat Nara dengan menaiki keretapi electric dan beberapa tempat yang lain, termasuk Osaka Castle. Ia tidak penat-penat memberi saya faham atas hal aturan dan adat orang Jepun, baik pada tentang kehalusan bahasa, adat perkahwinan, kematian dan lain-lain, dengan sebab sukanya dan bertentangan pula masa itu sekolahnya sedang bercuti, ia telah bersama-sama dengan saya pergi ke Tokyo dan tinggal bersama-sama sebilik dalam Imperial Hotel di Tokyo selama 5 hari. Ia telah meninggalkan saya dengan beberapa orang sahabatnya dan bekas murid-muridnya di Tokyo, siapa telah menunjukkan dan menjamu kami bergilir-gilir hampir-hampir tiap-tiap malam.

Pada pagi 29 mac, semasa kami di Tokyo, Mister Hana Kobayashi telah datang berjumpa saya bersama-sama dengan setiausaha sulitnya ((private secretary)) dan Mister Ikeda, President dari Persekutuan Orang-Orang Jepun di Medan, Sumatera, siapa pada masa itu tengah bercuti dalam negeri Jepun.

Mister Hana Kobayashi telah memberi kepada saya beberapa pertolongan yang sangat dihargai, terutama sekali meminjamkan Private Secretarynya ((Mister Matsuzawa)) menjadi pandu saya sehingga sampai saya belayar meninggalkan pelabuhan Kobe pada 6 april. Mister Matsuzawa ini seorang muda yang baru setahun lepas dari sekolah bahasa asing di Osaka, dan ia boleh bertutur Inggeris dan hindustan. Bersama-sama dia saya telah melawat Ueno Park, Imperial Museum, Zoological Garden ((Kebun Binatang-binatang)), Meiji Shrine, Tokugawa Shrine, Ginza Street ((iaitu "Bond Street" di Tokyo)), masjid orang-orang Islam Russian di Tokyo dan lain-lain. Terkadang-kadang dengan menggunakan motorcar Mister Hana Kobayashi sendiri, dan terkadang dengan menyewa motorcar-motorcar yang memang murah dan berkelabut seperti semut di dalam bandar Tokyo itu.

Professor Nagasawa telah datang ke hotel saya membawa pergi melawat ke Keio University, di mana saya telah dikenalkan dengan beberapa orang pegawai yang berjumpa di dalam pejabat-pejabatnya, termasuk Mister Yoshikone Ozawa, setiausaha university itu, dan Professor Kobayashi, siapa seorang ahli pelajaran Jepun yang terbilang yang telah pernah hadir dalam majlis bangsa-bangsa di Geneva ((Eropah)). Sungguhpun university itu pada masa itu tengah bercuti, tetapi masih ramai nampaknya penuntut-penuntut dan guru-guru serta pegawai-pegawai yang sibuk membuat kerja masing-masing. Saya telah dibawa melawat bilik-bilik kutub Khanahnya yang beberapa tingkat sekaliannya penuh dengan kitab-kitab dan buku-buku dalam bahasa Jepun dan bahasa-bahasa asing dan saya telah dibawa jua melawat dari sebuah ke sebuah bilik tempat pelajaran yang cukup dengan alat kelengkapan untuk mengajar.

Keio University ialah university yang tua sekali di dalam Jepun, yang telah didirikan mula-mulanya oleh Mister Yoichi Fukuzawa pada tahun 1868, lebih kurang 65 tahun dahulu. University itu terdiri hingga sekarang ini dengan bantuan orang ramai ((bukan university kerajaan seperti Imperial University)) dan pelajaran-pelajaran yang diajarkan di dalamnya mengandungi dari pelajaran yang sehabis-habis rendah ((pelajaran kanak-kanak yang baru masuk sekolah)) hingga kepada pelajaran-pelajaran yang tinggi seperti ilmu bahasa dan karang-mengarang, ekonomi, undang-undang, ubat-ubatan, perniagaan dan pertukangan dan lain. Kemudian daripada telah puas berjalan dari suatu bilik ke suatu bilik dan dari suatu bangunan ke suatu bangunan ((dan ada beberapa bangunan dalam kawasan itu dan di tempat lain yang tiada sempat saya lawati)) saya telah dibawa masuk duduk becakap-becakap dalam pejabat Professor Kobayashi. Sambil tersenyum, Professor Kobayashi telah menghulurkan cigarettenya dengan berkata "inilah cigarette yang sehabis-habis murah sekali dalam, negeri Jepun". Dalam bercakap-cakap itu, telah saya dapati bahawa belanja yang cukup bagi seorang penuntut university itu termasuk belanja pelajaran, makan, dan pakaian ((sekaliannya)) memadai dengan 65 atau 70 Yen sebulan, atau lebih kurang $40 sebulan jikalau mengikut tukaran wang sekarang (($100 ringgit sama dengan 180 Yen)). Penuntut-Penuntut bangsa asing yang ramai di dalam universiti-universiti di negeri Jepun itu ialah penuntut-penuntut bangsa Cina, dan saya telah diberitahu bahwa ada seorang penuntut bangsa Siam yang telah lulus belum beberapa lama dahulu dari Imperial University.

Pelajaran sekaliannya diajarkan dalam bahasa Jepun sungguhpun hampir-hampir semuanya perkataan ilmu yang diajarkan ((technical words)) menggunakan bahasa Inggeris atau salah satu bahasa Barat. Kemudian daripada telah dijamu makan tengah hari oleh Professor Kobayashi di dalam sebuah restoran bagi penuntut-penuntut yang berhampiran dengan university itu. Kami telah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal.

Tuan Miyata ((seorang mudah yang berumur 30 tahun Tuan punya Miyata bicycle factory)) telah datang ke hotel mengucap mengajak melawat factorynya. Di dalam factory itu saya telah dibawa berjalan dengan sepuas-sepuasnya melihat beberapa jenis jentera yang dijagai oleh beberapa banyak orang gaji masing-masing dengan pekerjaannya. Di situlah saya dapat melihat bagaimana besi-besi itu dengan serta-merta bila keluar dari jentera-jentera itu boleh dengan serta-merta menjadi lereng spring, skru, bolt basikal dan sebagainya. Dalam pejabat factory itu, saya telah dikenalkan dengan saudaranya siapa telah pernah mengelilingi dunia lebih kurang tiga tahun dahulu dalam kapal "Dollar Line", katanya tahun hadapan ia akan mengelilingi dunia sekali lagi. Kata Mister Matsuzawa pandu saya itu, bahwa Mister Miyata kedua beradik itu dikenali sebagai capitalist yang masyhur dalam negeri Jepun. Orang yang terlampau lembut dan halus bahasanya tidak sombong bongkak terduduk-duduk seperti kerani-kerani kecil kita di Tanah Melayu yang tidak mempunyai dua ringgit pun di dalam sakunya! Kemudian daripada minum teh ((teh Jepun yang hijau tanda selamat datang)) kami telah dihantar balik dengan motorcar. Pada masa hendak bertolak meninggalkan Tokyo, kami telah berucap-ucapan selamat tinggal dengan telefon.

Mister Kobayashi seorang kaya dalam Aori Prefecture ((sebahagian bandar Tokyo)) dan bekas murid bahasa Melayu Encik Bachik, telah menjemput dengan motorcar ke rumahnya pada ketika hendak naik ke rumahnya isterinya beserta dengan beberapa orang gaji perempuan telah datang duduk bertimpuh di atas lantai di muka tangga tunduk memberi hormat tanda memberi selamat datang.

Dalam rumah yang besar dan berbilik-bilik itu, kami telah dibawa berjalan dan ditunjukkan bilik cara Eropah, dan bilik cara Jepun, dengan segala alatannya. Kemudian daripada telah duduk bercakap-cakap dan minum teh yang diangkatkan oleh seorang gaji perempuannya ((isteri dan perempuan-perempuan lain tidak bercampur di dalam majlis laki-laki)). Maka kami telah dibawa oleh Mister Kobayashi dalam motorcarnya kepada sebuah restoran cara Jepun ((sebuah banglo yang mempunyai kawasan sendiri)) yang dikatakan besar sekali dalam Omori. Pada masa hendak turun dari rumah itu dan kemudian daripada telah dipakaikan bercoat oleh orang gajinya, sekali lagi isteri orang kaya itu dengan segala orang-orang gajinya duduk bertimpuh di atas lantai menundukkan hulu mengucapkan "sayonara". Mereka sekalian telah menghantar sehingga ke pintu pagar kawasannya dan tunduk belaka bila motorcar itu bergerak menuju haluannya ((akan bersambung)).