Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1934, p.201-204

General Article.

Kaum Perempuan. Perbahasan yang tidak berkesudahan.

Bertimbang: berilah pelajaran anak-anak perempuan kamu sebagai kamu memberi pelajaran anak laki-laki juga. Telah panjang benar percakapan yang tiada berkesudahan di antara pelajaran perempuan itu dikemukakan oleh perempuan-perempuannya dan laki-lakinya di dalam suratkhabar-suratkhabar dan majalah. Tiada

suatu ketetapan yang akan patut diturut atau dijadikan

pedoman untuk dilakukan oleh anak-anak perempuan yang masih lagi hidup dan yang lagi akan datang.

Setengah kaum perempuan telah berfikir laki-laki itu zalim. Ianya sahaja yang boleh berpelajaran ianya sahaja yang boleh bekerja dan ianya juga yang boleh bebas sekehendak hati. Ada setengahnya pula telah mengecutkan hati perut laki-laki menyuruh laki-laki itu masak nasi, membasuh lampin, membela anak dan segala-segalanya yang diperbuat oleh perempuan. Sekalian sangka-sangka itu betul belaka iaitu manakala kita dengar dan kita lihat laki-laki yang selalu sempit fikiran dan laki-laki yang tidak berkemajuan. Pada hal mereka itu lupa membandingkan apa perkara yang tersebut di bawah ini.

Lebih dahulu kita mesti pandang keadaan kaum laki-laki: bukannya semua laki-laki ada pelajaran bekerja menjadi kerani, menjadi guru, menjadi lawyer, dan bekerja menjadi kakitangan pemerintah. Bahkan berlebih-lebihan pula mereka ((laki-laki)) yang bekerja kuli, yang jadi peladang, yang ahli perniagaan yang ahli judi, yang ahli menganga, yang ahli pencuri, yang ahli penipu, dan sebagainya.

Maka sekalian ketinggian martabat tiap-tiap laki-laki itu dan sekalian kerendahan pekerjaan laki-laki yang tersebut memang ada dalam dunia baik di negeri mana dan diceruk mana di dunia ini sekalipun memang ada tiga bahagian.

Sekalian itulah yang saya hendak bisikkan ke telinga segala anak-anak perempuan. Pertama mana-mana perempuan yang boleh terus belakar menuntut pengetahuan segeralah belajar. Jangan didengarkan kata orang laki-laki yang balik* percayakan ugama itu. Kerana tuan-tuanlah ((perempuan yang terpelajar)) akan menjadi kongsi anak-anak laki yang berpelajaran juga, yang mana mereka itu tiap-tiap hari ada membuka mata memandang kamu akan jadi bakal isterinya. Kalau kamu sekiranya menjadi ahli ((isteri)) mereka yang berpelajaran dan sama-sama bekerja makan gaji misalnya ((kalau makan gaji!)) amat benar kamu ada rupa menyuruh dan mengarah orang laki-laki membasuh lampin anak kamu di rumah atau membasuh periuk belanga di dapur, atau tukang cuci kain baju -- apa salah kalau laki-laki yang tiada bekerja melangut-langut di kedai kopi itu diberi gaji jadi orang suruhan kamu, daripada ia membuang-buang masa melepak jadi hamba perut di rumah ibu bapanya atau jadi kutu embun.

Kedua: perempuan yang tiada mempelajari atau yang sudah liat masa belajar yang hidup sederhana, belajarlah kamu bagi mengurus rumah tangga kamu dan aturan mendidik anak kamu ((manakala kamu berputera atau berputeri)) kelak. Kamu jangan putus harap bahwasanya kamulah pula yang selalu dipandang oleh laki-laki yang hidup sederhana umpamanya laki-laki yang berniaga, laki-laki yang berladang, laki-laki yang bergaji sederhana. Yang mana kamu tiada akan keluar bekerja sebagai perempuan saudara kamu yang lain ((yang bekerja misalnya)). Pada masa itu bergunalah segala pelajaran yang telah kamu usahakan. Pandai menjahit, pandai memasak, pandai menekat, pandai mendidik anak, pandai mengambil hati anak-anak laki.

Maka manakala berjodoh antara kedua pihak kamu itu tak dapat tiada jadilah panjang kasih dan kekal tali suami isteri kamu. Anak perempuan yang hidup sederhana jangan selalu runsing dan jangan selalu memandang kepada apa kesenangan yang ada pada saudara perempuan-perempuan kamu yang lain, kerana sudah memang adat di dunia tiada semua orang pandai, tiada semua orang bodoh, tiada sekalian orang susah dan tiada sekalian orang bernasib baik. Melainkan mesti pandang kepada segala orang yang lebih susah dan tiada sekalian orang yang lebih susah kepada kamu. Tetapi kamu jangan lupa hendaklah sehabis-habis daya kamu mesti usaha untuk ilmu kamu dalam pergaulan hidup perempuan.

Yang mana kamu fakir kelak tiada harapan kamu senang atau kamu syak tiada akan boleh jadi kamu susah, padahal jangan lupa seperti kata pendita: hidup manusia itu sebagai pusingan roda kereta.

Ketiga: perempuan yang tiada suka menambah pengetahuan dan ibu bapanya yang tiada suka menunjuk ajar akan anaknya pada jalan didikan perempuan, serta ibu bapa yang tak berperasaan kemajuan, leka membiarkan anak-anak perempuannya hidup buta kayu, hidup serupa lembu, hidup serupa lalang, dan hidup tidak bercampur gaul dengan orang yang berpelajaran dan anak perempuan-perempuan yang suka tersengih-sengih di tepi-tepi jalan dan anak perempuan yang cenderung kepada kejahatan; maka mereka itulah pula yang selalu diingat oleh anak-anak laki-laki yang kaki judi, yang kaki tabung, yang kaki penipu dan yang kaki pelesir.

Tetap kedua belah pihak akan jadi suami isteri salah satu masa .... Yang tidak dapat tiada ditetapkan melainkan Tuhan sahaja yang tahu. Maka perempuan yang begitulah akan jadi hancur luluh dan lebur kehidupannya dalam dunia.

Yang kita tahu mereka-merekalah yang suatu masa jadi puak jahat; termasuklah perempuan sundal, perempuan pembelit, perempuan penipu atau perempuan yang menarik-narik orang baik jadi jahat. Al-hasilnya itulah yang sebenar-benarnya Iblis di atas dunia. Kerana mereka tiada harapan akan jadi baik. Inilah cukup mereka-mereka yang selalu kita jumpai jadi kupu-kupu malam merata pekan dalam dunia, jadi baruah segenap hotel.

Jika laki-lakinya pula inilah laki-lakinya yang selalu membelit perempuan baik yang sesat, dengan mengenakan pujuk rayunya yang palsu, menyatakan; ia kerani, ia magistrate, ia tauke, ia manager dan sebagainya; dan mereka inilah juga yang kita jumpa merayap-rayap malam hari jadi kutu embun, jadi kaki judi dalam hotel-hotel dan kedai kopi atau kaki pencuri meresap merata-rata rumah orang kaya yang beruang.

Maka mereka itulah juga yang selalu keluar masuk dalam jel sebulan lepas dua tahun dalam lokap. Mereka tiada dipercayai oleh orang ramai, mereka tiada siapa pun ingin hendak menolong walau dalam kesusahan sekalipun. Tetapi mereka selalu meminta pertolongan pada orang mengatakan susah dan mengatakan topeng baik di mukanya.

Cukuplah sudah apa yang dinyatakan di atas ini kepada sekalian perempuan bangsa kut -- tiga peringkatnya kehidupan kita manusia dalam dunia. Tetapi jangan lupa nasib itu bukan tiada boleh diubah!

Melainkan boleh sahaja kita ubah dengan segera. Kamu-kamu perempuan yang sederhana kehidupan dalam peringkat kedua yang dinyatakan di atas boleh sampai lebih kehidupan kamu jika kamu ingat akan kehidupan kamu apa yang akan datang. Kamu boleh belajarlah pandai lagi daripada perempuan yang mempelajarakan dengan syarat kamu berhati keras hendak belakar. Jangan didengarkan sungutan laki-laki yang rendah fikiran dalam suratkhabar-suratkhabar itu. Kerana mereka

itu racun kemajuan; dan jika ibu bapa kamu seorang yang

berperasaan baik kepada anaknya.

Dan lagi, jangan lupa pula meskipun perempuan yang baik itu ada kalanya jadi lebih hina kehidupannya dia kehidupan perempuan yang dalam bahagian ketiga disebutkan tadi iaitu manakala mereka itu tiada sedarkan apa hal yang akan datang dalam kehidupannya.

Maka bagi kelakuan dan tabiat yang rendah yang sedia tertanam di dalam sanubari perangai perempuan yang ketiga itu tiadalah ada suatu harap yang baik supaya mereka itu jadi baik; melainkan didoakan supaya lekas mati sahaja. Tetapi ia tak nyata pula seperti kata orang-orang yang suku alim; jika tiada perempuan atau laki-laki yang berdosa seperti itu, siapa pula hendak mengisi Neraka!

Habis semuanya masuk syak pulak -- ya!

Sekarang sudah dinyatakan seperti hal yang di atas. Kaum-kaum perempuankan mau masuk Syurga atau Neraka?

Sila pilih!

Habis perkara!

Jangan lagi disempitkan fikiran gaduhkan pelajaran. Gaduhkan laki-laki hendak disuruh mengelak kerja perempuan dan sebagainya. Jangan cuak semuanya boleh! Tetapi memandang barangkali harus tak diterima oleh akal seperti yang dipercakap-percakapkan oleh segala penulis di dalam suratkhabar-suratkhabar yang lalu itu.

Lain perkara boleh buat, selagi orang laki-laki ramai masuk jadi puak malas, pasukan pencuri, kaki pelangut, ahli penipu dan kaki gila arak, maka semasa itulah patut kaum perempuan rebut dalam masa mereka yang lalai, sekurang-kurangnya bersaing sahaja dengan mereka laki-laki yang sedang kancung menuntut pelajaran masa ini. Buangkan ke belakang segala cakap laki-laki yang selalu menggalang kemajuan perempuan-perempuan itu.

Keris Melayu.