Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1934, p.248-252

General Article.

Kemajuan dan Kebebasan.

Adalah perjalanan kemajuan tiap-tiap bangsa itu bolehlah dikatakan samalah jua seperti perjalanan sebuah motokar: yakni sebuah motokar yang baru yang tidak rosak satu pun daripada perkakasnya tentulah boleh berlari dengan deras dan tidak terkencat sedikit pun perjalanannya.

Tetapi sebaliknya, pula kalau sudah rosak walau sedikit sahaja pun, sudah tentu pula perjalanannya tidak memuaskan hati. Buruk perjalanan motokar itu mengikut kerosakannya yakni kalau motokar itu sudah rosak gerudinya tentulah ia berjalan tiada betul ataupun barangkali perjalanannya terkejut-kejut sekiranya saluran minyaknya sudah tersumbat-sumbat -- bukankah begitu?

Walhalnya, bila rosak sahaja salah satu daripada perkakasnya, bahwa tergendalalah perjalanannya dan lambatlah sampai ke tempat mana yang ditujuinya.

Maka seperti inilah pula halnya perjalanan kemajuan bangsa-bangsa tadi, yakni bangsa yang tidak terosak sedikit pun daripada perkakasnya tentulah boleh berjalan maju dengan sempurna hingga ke mana had yang ditujui. Dan sebaliknya pula bangsa-bangsa yang telah rosak walau sedikit sahaja pun daripada perkakasnya, tentulah rosak pula jalan kemajuannya. Hingga boleh jadi membawa kepada kemelaratan yang dahsyat pada akhirnya.

Jadinya, dengan mengambil misalan kepada perjalanan motorcar tadi, adalah bangsa kita ini samalah jua seperti perjalanan sebuah motokar yang sudah tua dan lebih buruk daripada yang lain-lain; tetapi bukannya pula keburukannya itu kerana sudah lama dipakai, tidak! Hanya kerana buruk lama bersimpan, perkakasnya itu jadi berkarat, dan rosak sendiri.

Betapa tidaknya?

Cubalah kita sama-sama perhati dan menung-menungkan bukankah kemajuan bangsa kita itu tenggelam timbul, kadang-kadang boleh dikatakan memberi puas hati dan kadang-kadang sebaliknya pula?

Kemajuan yang memuaskan hati itu Cuma buat beberapa bulan sahaja kemudian daripada itu, bom! Jatuh balik!

Pekan-pekan minggu telah diadakan di tempat-tempat yang ramai penduduknya, kemajuannya sangat baik, tetapi buat sementara sahaja, dua atau tiga bulan lepas itu beransur-ansur semula ke asalnya; melainkan pekan-pekan minggu yang ramai bangsa-bangsa asing pergi datang, di sana bolehlah umur sedikit kemajuannya daripada saudara-saudaranya yang di tempat-tempat asing.

Demikianlah kebanyakan daripada kemajuan bangsa-bangsa kita, tidak pernah menyampai. Bahkan di dalam hal menuntut ilmu di dalam sekolah pun serupa pula, yakni anak-anak muda yang belajar di sekolah-sekolah Inggeris kelihatan sangat jaya pada mula-mulanya tetapi kemudian bila sudah sampai Standard Tujuh atau Delapan, berhenti sekolah.

Kerana mahu cari kerja. Akhirnya kerja tiada dapat, pelajaran sudah terhenti, langsung jadi melarat. Kasihan!

Menilik kepada perkara ini, sekarang kita ketahuilah iaitu adalah kemajuan bangsa kita ini telah rosak, hingga kita tiada boleh merasa atau melihat dengan puas hati akan perjalanannya yang sempurna jadi.

Selama mana kita tiada dapat menyembuhkan penyakit-penyakit itu selama itu pulalah kita akan tinggal di dalam kemunduran.

Oleh itu, kita wajib mengetahui apakah penyakit yang telah merosakkan kemajuan bangsa kita itu.

Sebenarnya, penyakit yang merosakkan hingga menyekat pada jalan kemajuan bangsa kita ini ada banyak sekali. Maka di antaranya pada fikiran penulis adalah kebebasan itu suatu daripada penyakit yang besar pula.

Kebebasan itu mengandungi banyak pecahan dan tiap-tiap pecahannya itu ada membawa beberapa bahagian yang sebesar-besar pula. Maka separuh daripada kebebasan itu adalah seperti ini:

1. Kebebasan negeri dan rakyatnya :

2. Kebebasan kaum :

3. Kebebasan pekerjaan :

4. Kebebasan fikiran atau angan-angan :

Di dalam hal ini, kemajuan adalah tiga jenis kebebasan yang disebutkan dahulu itu tiadalah memberi sangat mudarat kepada kita kerana iaitu bolehlah dikatakan sama sekali bergantung ia kepada puncanya yang satu, yakni kebebasan fikiran atau angan-angan. Sebenarnya adalah kemajuan itu bergantung ia kepada kebebasan fikiran atau angan-angan itu.

Orang yang bebas fikiran angan-angannya selalu berhasil barang yang ditujuinya sebagaimana beberapa ramai orang yang telah masyhur kejayaannya di dalam berbagai-bagai perkara yang sukar yang tidak terlintas difikiran manusia pada permulaannya.

Kita orang Melayu selalu tiada berjaya apa yang dimaksudkan kerana fikiran kepada yang dihajati itu tiada cukup bebas hingga dengan segera boleh bertukar-tukar sekiranya ada sahaja sesuatu yang melintangi perjalanannya.

Yakni sekiranya seorang telah berfikir mahu menjalankan suatu perniagaan, jadi Towkay kedai umpamanya, dengan kasad ia mahu jadi seorang yang kaya. Terus orang itu mencari modal dan menjalankan cita-citanya.

Tetapi beberapa bulan kemudian, bila perniagaan sedang berjalan maju, si tauke tidak lagi peduli kepada perniagaannya, ia leka-leka pula dengan hal asing pada halnya ia belum pun merasa keuntungan yang memuaskan dahaganya sendiri.

Oleh itu, kedainya sudah tiada berketentuan akhirnya tutup ((closed down)) -- apakah kesalahannya itu?

Ya! Dipercayai adalah kesalahannya itu tidak lain daripada fikiran kepada sesuatu perkara itu tiada cukup bebas yang boleh menjadikan perniagaannya tiada cukup lekat kepada angan-angannya. Dari itu, sangat mudah tujuannya yang pertama itu terpesong kerana sesuatu perkara yang menggalakkan perjalanannya.

Oleh itulah jua agaknya sudah ada bidalan Melayu, yang berperkataan, seperti ini: hangat-hangat tahi ayam, bukan?

Ketiadaan kebebasan fikiran boleh menimbulkan berbagai-bagai perkara yang buruk dan akasnya akan menenggelamkan beberapa hal yang elok-elok umpamanya: seorang berkehendak kepada kekayaan; sudah tentu ia akan menjalankan hartanya kepada perniagaan dan berikhtiar sedapat-dapatnya memajukan dia supaya boleh ia mencapai buah angan-angannya.

Tetapi kemudian, bila ia telah menerima keuntungan sedikit-sedikit daripada usahanya itu yang mana barangkali keuntungannya itu tidak memuaskan hatinya oleh perniagaan itu baru benar, fikirannya yang mula-mula itu segera berubah kepada yang lain, kerana jemu dan tidak ikhlas menerima hasil daripada usahanya yang sedikit itu dan timbul pula fikiran yang asing yakni mahu mengadap untung dengan membeli tiket loteri atau berjudi dilumba kuda misalnya, kerana ia mahu segera kaya dan banyak keuntungan dengan tiada payah berusaha sebagaimana berniaga.

Pada halnya tiada insaf olehnya bawah kekayaan daripada wang yang demikian itu datang melawatinya terkadang-kadang sahaja, itupun agaknya jauh kurangnya daripada keuntungan perniagaan. Jadi apa kata perniagaan yang telah ditinggalkannya?

Bukankah balik ia ke asalnya dan sekarang si tauke jadi gila judi yang akhirnya harta habis wang jadi melarat di dalam dunia kehidupannya. Ya, kerana apakah itu?

Tidakkah kerana fikirannya tiada tetap kepada seuatu yakni tidak bebas fikirannya daripada alangan hal yang asing?

Ya! Begitulah kebanyakan daripada sifat-sifat kaum kita, tiada sabar dan tidak tetap dalam sesuatunya.

Di zaman ini, banyak pula bangsa kita yang berfikir mahu membuat ini dan itu buat faedah diri dan bangsanya sendiri, tetapi fikiran itu Cuma boleh dijalankan olehnya sebelum ada ancaman dari seseorang.

Orang kita Melayu selalu ada kepadanya sifat-sifat takut rugi, kurang usaha, lemah hati, dan lain-lain lagi yang boleh menyekat jalan kemajuan yang asalnya itu tiada lain daripada tiada tetap atau tidak ada kebebasan fikiran.

Sekarang apa yang wajib kita buat untuk menghindarkan penyakit itu?

Ah! Tidak lain lagi kita mesti membebaskan fikiran kita kepada apa benda yang ditujui dan selalu beringat tiap-tiap sesuatu yang kita usahakan itu tentu akan memberi keputusan yang menyenangkan lamun kita kerjakan dengan sabar dan tugas setugas-tugasnya. Dengan hal yang demikian, mudah-mudahan adalah kita beransur-ansur di dalam kemajuan, bukankah begitu?

H. Manan.