Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1934, p.107-110

Feature Article.

Ibu Melayu dengan Kemerdekaannya Yang Terpelajar.

Oleh Muhammad Arif bin Abdul Rahman.

Syukurlah kita kepada Allah kerana dapat bangsa kita Melayu bernaung di bawah panji-panji suatu kerajaan yang maha besar yang telah memimpin kita sama ada pihak bapa-bapa ataupun kaum ibu Melayu daripada kebodohan kepada bertambah-tambah pelajaran, daripada tahu menggunakan dunia kepada bertambah-tambah mengetahui mengelokkan peraturan hidup dan daripada tahu menghormatkan dan memeliharakan diri kepada bertambah-tambah mengetahui meninggikan nama kemajuan tanahair sendiri.

Seperti sepatah kata seorang pendita, "Keterbitan darah keberanian dan kebangsaan sesuatu bangsa berasal daripada dibaikkan Kaum Ibu setia".

Sebelum saya meneruskan rencana ini, moleklah rasanya saya menerangkan sedikit didikan daripada kaum Ibu yang bijaksana itu tetaplah meninggikan hemah kemajuan sesuatu bangsa, cubalah kita halakan selidikkan kita tawarikh-tawarikh kajian dan kebijakan beliau-beliau seperti Iskandar ((Alexander the Great)), Kamal Pasha, Abraham Lincoln, atau Lord Nelson, yang telah menerima didikan dan pemimpin daripada Kaum Ibu, benih-benih keberanian dan berhati besi pembesar-pembesar dunia ini tak dapat tiada ditanam dan dibaca oleh ibu-ibunya yang bijaksana dari masih ia kanak-kanak lagi.

Didikan yang mana terucaplah pula ibu kita Melayu mengetahui segala rahsia-rahsianya dengan membaca hikayat-hikayat didikan dan meluaskan perhatiannya kepada didikan bangsa-bangsa yang telah jauh di dalam tarikh perjalanan kemajuan.

Maksud ayat-ayat saya hendak menanam semangat keberanian dan hendak menyedap-nyedapkan mulut berkata sahaja, tetapi tetap dan sah yang perasaan mencuba dan berhati di antara beberapa haluan yang boleh kita membalikkan semangat keberanian dan hemah ketinggian anak-anak bangsa kita ialah dengan menerima didikan yang sempurna daripada Kaum Ibu yang berpelajaran.

Dan oleh sebab bangsa kita sekarang bercita-cita dan beransur-ansur mencapai pergerakan hidup, Kaum Ibu Melayu dengan membukakan selebar-lebar peluang kepada Kaum Ibu bagi meluaskan pengetahuannya dan melanjutkan pelajaran didikan tanahairnya.

Kita balikkan perhatian kita kepada didikan daripada Kaum Ibu yang tiada berpelajaran nampaklah kita asuhan anak-anak watan kita yang telah lalu semata-mata ialah diiringkan di dalam kemanjaan yang mana suatu racun yang membunuh perasaan keberanian dan cita-cita kebangkitan bangsa kita. Kita percaya yang cita-cita dan pergerakan Kaum Ibu pada mendidiki anak-anak watannya tak dapat tiada bersamaan jua dengan kasih dan kebaktian bapa-bapa Melayu kepada tanahirnya.

Selain daripada faedah memerdekakan fikiran dan meninggikan pelajaran Kaum Ibu apa-apa pergerakkannya pada meninggikan nama kemuliaan-kemuliaan hidup kaumnya ialah menjadi suatu iri-irian kepada bapa kita yang masih di dalam ketiduran hemah.

Adapun yang saya katakan pemimpin kerajaan daripada kebodohan kepada bertambah-tambah pelajaran. Bolehlah kita perhatikan dengan mudahnya, cubalah kita kisarkan perhatian kita kepada tawarikh-tawarikh kehidupan bangsa kita pada masa seratus tahun dahulu.

Sebagaimanakah hidup dan adat lembaga Kaum Ibu kita yang telah lalu?

Hidup Kaum Ibu kita masa yang telah lalu ialah hidup tiada beradab kesopanan dan adat di dalam kepercayaan kuno. Baik tentang rumah tangga, kampung halaman, adat lembaga dan sebagainya.

Tetaplah pada pemandangan kita sekali-kali tiada berperaturan. Tetapi selama ada tawarikh pelajaran bapa-bapa kita Melayu di dalam pelajaran tidaklah jua Kaum Ibu kita tertinggal daripada melanjutkan pelajarannya.

Yang mana pengetahuan kaum tentang didikan, pergaulan, laki isteri, ilmu kebersihan, jahit menjahit dan lain-lainnya tersangatlah dikehendaki bagi kefardhuan dan kemajuan watan kita.

Seperti perkataan saya, daripada tahu menggunakan dunia kepada bertambah-tambah mengetahui mengelokkan peraturan hidup tidaklah sekali-kali saya bermaksud dimenghapuskan adab kesopanan dan adat lembaga bangsa kita dengan berpura-pura menyeru kepada Kaum Ibu meniru cara-cara dan gerak-geri kehidupan bangsa-bangsa Barat.

Yang mana hidup membebaskan pergaulan laki-laki dengan perempuan ialah semata-mata suatu langgaran yang merobohkan pendirian ugama kita Islam.

Hidup Kaum Ibu dengan pelajaran dan kehormatan ialah suatu perubahan bangsa kita Melayu dalam hidup bertambah-tambah bahagia dan peraturan hidup Kaum Ibu yang terpelajar dapatlah kita saksikan dari satu masa bertambah-tambah elok dan mulia. Banyak tentang adab kesopanan, pergaulan laki isteri dan sebagainya nampaklah kita beransur-ansur baik peraturannya.

Di dalam pergaulan laki isteri bapa Melayu, yang berpelajaran tiadalah lagi mensia-siakan tali perhubungan suami isteri dan bertambah-tambah mengetahui yang menceraikan isteri dengan tiada sesuatu kesalahan besar dan membinasakan kehormatan hidup Kaum Ibu ialah semata-mata amalan yang aniaya dan mencacat kemuliaan ugama kita Islam.

Begitu jua bagi pihak Kaum Ibu yang berpelajaran tetap pada pengharapan kita yang ibu-ibu Melayu bertambah-tambah memeliharakan kehormatannya dan meninggikan mutu kemuliaan hidup kaumnya dan terjauh daripada cita-cita menghinakan dan mencemar-cemarkan diri.

Pergerakkan selain daripada tanda-tanda ketinggian hemah Kaum Ibu yang berpelajaran boleh kita saksikan kepada pergerakan puteri-puteri Kedah yang sedang membaiki percaturan hidup kaumnya, yakni sentosa hidup di dalam golongan kehormatan dan kemuliaan.

Menurut maksud ayat-ayat saya, daripada tahu menghormatkan dan memuliakan diri kepada bertambah-tambah mengetahui meninggikan nama kemajuan tanahair sendiri, tak dapat tiada bergantung semata-mata kepada bilangan Kaum Ibu yang berpelajaran dan pembawaannya di dalam hidup kehormatan dan adab kesopanan.

Sungguhpun kemajuan bangsa kita tiadalah apa-apa pun yang boleh kita menjadikan tanda pergerakan, hidup bangsa kita Melayu di dalam pelajaran dan berhemah tinggi ialah suatu daripada yang meninggikan nama kemajuan watan kita.

Di dalam sedikit masa pencubaan bapa-bapa Melayu memerdekakan fikiran Kaum Ibu dan meluaskan pengetahuannya kita sudah terjumpa beberapa Kaum Ibu yang berpelajaran sedang menghormatkan tanahairnya. Sebagaimana penganjur-penganjur bangsa-bangsa kita bapa Melayu mengorbankan dirinya bagi memajukan bangsanya begitu jua kita jumpa beberapa penganjur-penganjur Kaum Ibu sedang menaburkan benih-benih pengetahuannya tentang didikan kanak-kanak, ilmu kebersihan, jahit menjahit dan lain-lainnya kepada kaumnya.

Pergerakan Kaum Ibu setia yang mana tersangatlah berfaedah dan membesarkan nama tuah Tanah kita bangsa Melayu.

Ya Allah! Peliharakanlah Sultan-Sultan Melayu dan Bangsanya!