Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1934, p.105-108

General Article.

Persatuan Kemajuan Kampung.

Di muka Majalah ini biarlah penulis bukakan sedikit jalan hendak membangkitkan nama persatuan kampungnya masing-masing.

Pendapatan penulis adalah lebih kurang begini buat pembuka jalan sedikit iaitu:

1. Mahulah seseorang itu merendah-rendahkan diri kepada ketua-ketua ((Penghulu, Ketua Kampung, Tok Pawang dan pegawai-pegawai masjid)) janganlah kita melebih-lebihkan perkataan dan kepandaian terutama di dalam perkara perubatan secara kampung itu, janganlah lekas kita mengatakan keburukan dan tidak baik, kerana mendatangkan kebencian kepada orang-orang tua kampung akhirnya kita tidak dapat persahabatan dan jadi perseteruan dengan orang-orang kampung. Bila kita demam-demam air, panggillah lekas-lekas tok-tok pawang supaya segera ditawar jampinya -- tetapi semasa dekat tok pawang itu hendak balik, hadiahkan tiga empat biji quinine, ceritakan sedikit aturan makan dan khasiatnya, mana tahu kalau-kalau anaknya digigit nyamuk atau dia sendiri cubalah makan ubat ini. Mudah-mudahan bersetuju!! Begitulah tiap-tiap kali tok pawang atau tukang jampi kita datang biarlah ubat-ubat hospital itu dengan perlahan-perlahan, dalam mana supaya kita itu berbudi kononnya!

2. Kita mesti mengorbankan tulang urat sendiri, istimewa pula mata wang ringgit mana-mana masjid bocor atau nak naik, kita sendiri baiki dan upahkan. Kalau ada orang-orang yang hendak menolong terimalah seberapa ikhlas; jangan sekali-kali kita aturkan sekian-sekian yuran pada seseorang lama-lama perbuatan itu tidak dirasainya sakit. Nanti banyak orang menurut pula -- begitulah di atas serba serbinya pergaulan kampung itu kita masuk bercampur.

3. Dengan pemuda-pemuda kampung pula, kita mesti berkasih-kasihan dan turut sekadar-kadar yang patut-patut tabiat-tabiat yang baik, yang buruk itu jangan lekas kita katakan -- asuhlah dengan perlahan-perlahan supaya tidak zahir sangat kebodohan mereka itu.

4. Kesukaan cara kampung, di situ kita turutlah dahulu ((walaupun sudah tentu tidak ada isinya pada pemandangan kita, tetapi mengapa kerana ada tujuan di belakang hari dapat perubahan)). Jikalau pemuda-pemuda di situ gemar permainan "bersilat", kita setujukan permainan itu kita sendiri beryuran, kalau tidak bermain sekalipun. Begitulah pula permainan Ronggeng; jika kita sendiri tak gemar, biarlah budak-budak di situ melakukan. Tetapi bunyi-bunyian ((muzik)) kita mesti latih dan adakan alatannya suruh pemuda-pemuda itu ketepi-tepikan dengan tidak kenampakan sangat. Alih-alihlah permainan yang baik-baik dan bersetuju dengan tamadun sekarang.

5. Berkenaan dengan membaca surat-surat khabar dan majalah itu, dengan perlahan-perlahan kita cuba ajak gemarkan membaca dan memerhatikan buah fikiran di dalamnya. Jangan sekali-kali kita mengatakan budak muda di situ tidak gemar membaca surat-surat khabar. Kita mesti tutup mulut sama sekali di atas mencerca keburukan pergaulan di kampung itu, takut kita dibenci dan tidak disetuju dengan mereka itu. Sini kita pula jadi seperti kera sumbang. Maka mana-mana surat-surat khabar yang tidak sangat kita sayang itu, cubalah berikan biar dibawa balik jangan kita paksa disuruh simpan, katakan jikalau musim padi boleh juga gantung tepi paya supaya ditakut oleh sang babi itu. Jikalau kita tidak cemus-cemus berkawan-kawan dengan orang yang bodoh itu, lama-lama kita tidak berputus harap sahaja akan boleh menyatukan fikiran orang-orang di dalam kampung itu di dalam tempoh lima enam tahun di belakang.

6. Cuba kita ajak budak-budak muda di situ bersyarikat memelihara ayam dan kita sendiri korban modal dahulu seberapa mampu dan cuba mintak seekor ibu ayam kepada pemuda-pemuda kampung itu buat mengeluar telur, seminggu sekali kita jemput ahli-ahli syarikat ayam itu ke sekolah kita dan petang itu kita adakan perlawanan permainan apa-apa; lepas bermain itu kita adakan jamuan kuih-kuih yang diperbuat daripada telur ayam seekor seorang itu. Budak-budak muda kampung gemar makan kuih-kuih telur ((bahulu)) itu kerana mereka itu jarang-jarang makan. Oleh yang demikian itu apakala dirasai sedap kuih-kuih telur itu, dan dapat makan seminggu sekali, tentu gemar ia menambahkan ibu-ibu ayam lagi, sambil-sambil itu pujuklah membawa padinya segantang sebulan buat memberi makan ayam masing-masing. Selang-Selang itu cubalah kita beri duit pula keuntungan daripada jualan telur-telur ayam walaupun satu dua sen lekaskan diberi supaya gemar dan sedap dilihatnya aturan kita itu. Lama berlama dengan peraturan yang betul kita boleh menarik kepada syarikat yang besar-besar bahwa kita terlebih utama hendaklah lurus biarlah rugi sedikit bahagian kita, asalkan berkelamaan maju cita-cita kita itu; teruskanlah betul-betul.

7. Kebersihan pula kita ajaklah dengan bermuafakat dan berbual-berbual dahulu secara mana hendak membaiki kebersihan dekat rumat masing-masing. Kalau dapat kita keluarkan hadiah barangsiapa yang cukup kebersihan dikawasan rumahnya serta letak reban ayam itik tidak di bawah rumah dan longkang rumahnya bersedia dengan elok di pemandangan kawan-kawannya di situ diletakkan hadiah kebaikan kawasan rumahnya yang elok itu letakkan di sekolah Melayu atau di ofis Penghulu di mana tempat-tempat yang selalu dilihat orang ramai. Di situlah kita boleh beransur kedapatan kampung-kampung Melayu ada di dalam keelokan semasa akan datang. Tentang keadaan rumah itu tidak termasuk elok dan cantik iaitu berkehendak modal ((harta)) membuatnya orang miskin tentu tidak memperbuatnya. Ada juga setengah-setengah rumah di kampung itu cukup elok tetapi kawasannya buruk sekali. Inilah yang kita mahu ubah perlahan-perlahan dengan asuhan yang pandai oleh kaumnya yang berperasaan kemajuan.

8. Kita adakan jemputan atau perjumpaan sekali sebulan buat merundingkan apa-apa hal yang patut diadakan. Di dalam perjumpaan ini mestilah diadakan makan minum sedikit buat pengalas atau mepanas* [?] perjumpaan itu, yang elokknya perbelanjaan ini jangan dikenakan kepada siapa-siapa melainkan sendiri-sendiri sahaja -- baru senang hati ahli kampung itu -- biarlah mereka itu senang berperasaan mengeluarkan fikiran-fikirannya hendak mengadakan pemberian kepada kita atau buat menyokong jamuan kita itu, yang kita tidak boleh sekali nampakkan kemusykilan di atas jamuan itu dan kita jangan sekali buka mulut dan bercakap-cakap di atas hal-hal kelainan orang walaupun kepada orang-orang yang jauh di kampung itu kerana apakala kita bersungut, tak dapat tidak haluan kita tak akan menjadi.

9. Perempuan atau isteri kita mahulah lebih-lebih ramah mesra dengan ibu atau gadis-gadis di kampung itu. Tunjukkan tulus ikhlas bagaimana bercakap perkara-perkara yang berguna sahaja dan cubalah ajar budak-budak perempuan itu sedikit kebersihan dan menyediakan kelengkapan rumah tangga. Mudah-mudahan dengan didikkan begitu kaum ibu pula boleh bersekutu dan bersetuju hati.

10. Tiap-Tiap penganjur itu mestilah berhaluan kepada pengetahuan dan wang ringgit serta rajib usaha itulah panggil kemajuan dan seruan kepada kaum -- Wasallam.

A.B.K. Pahang.