Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1934, p.108-111

General Article.

Sekolah Melayu dan Faedahnya

Sekolah Melayu itu suatu cahaya atau mutu di alam kampung-kampung Melayu yang membangunkan orang-orang Melayu daripada ketidurannya supaya sedar dan berusaha menahankan watannya daripada dipupuskan oleh bangsa yang lain yang datangnya membuat-buat ke negeri kita ini. Juga, dengan jalan sekolahlah yang dapat mencabutkan umat Melayu yang tercebur ke dalam lumpur yang menjatuhkan nama dan maruah bangsanya.

Kerajaan telah membelanjakan wang bermillion-million ringgit untuk berkenaan dengan sekolah -- dari sana kita ketahuilah bahwa kerajaan yang maha adil sangat menimbang rasa pada anak negeri, dan berharap kepada sekalian umat Melayu yang berjumlah guru-guru daripada ketua-ketua hingga kepada yang sehabis-habis kecil pangkat guru -- wajiblah mereka itu sekalian bekerja dengan sekuat-sekuatnya buat membangunkan kaum bangsanya -- dengan memajukan lagi segala apa juga cawangan pelajaran di sekolah itu. Mahupun tulis menulis, kira mengira, dan seumpamanya hingga kepada pekerjaan tangan dan anggota pun diutamakan juga.

Pelajaran di sekolah Melayu itu memang tidak tinggal tetap sahaja melainkan senantiasa beransur-ansur maju dan berubah mengikut peredaran masa serta kebolehan gurunya -- mengikut kemajuan perjalanan sekolah-sekolah Melayu selama dua tiga puluh tahun yang lalu dengan terangnya kita boleh tampak bagaimana besar perubahannya mahupun kelebihan tentang pelajaran, peratuan, kebersihan, kemahuan dan lain-lain lagi. Maka bagaimana pula ketinggian, kelebihan pelajaran ini di masa dua tiga puluh tahun lagi-lagi tentu kita boleh lagang-lagangkan fikiran bagaimana besarnya perubahan-perubahan yang akan berlaku di dalam masa yang tersebut.

Pada masa sekarang nampaknya kerajaan sangat mengambil berat tentang soal pelajaran-pelajaran sama ada di sekolah Melayu mahupun di sekolah Inggeris. Yang diutamakan ialah hal di sekolah Melayu. Maka bukanlah pula pelajaran di sekolah Melayu itu tujuannya hendak dijadikan bahasa kerajaan, tetapi ialah berfaedah kepada anak-anak negeri supaya mengetahui baca-membaca, menulis serta berhitung, untuk menambah pengetahuan tentang segala apa juga; baik pengetahuan umum mahupun tentang pengetahuan ketuhanan agama, buat menghilangkan kejahilan buta kayu di antara orang-orang kampung Melayu. Dengan sebab itu, orang-orang kampung jadi rajin dan berusaha mengerjakan tanah-tanahnya memajukan pertukangannya, demikian juga dengan sebab ada sekolah Melayu itu kesihatan, kebersihan dan kecergasan gerak geri anak-anak Melayu telah bertambah baik dari sehari ke sehari. Dan dari sebab ada sekolah-sekolah Melayu itu juga anak-anak Melayu telah semakin bertambah ramai dapat menjalankan pekerjaan seperti: Guru Melayu, Mata-Mata, Kastam, Forest Guard, Peon dan lain-lain lagi seperti pekerjaan sehari-hari di dalam kampung -- buat menaikkan darjat hidup yang am.

Di sini sahaja kita menuliskan sebagai menunjukkan besarnya faedah sekolah Melayu itu kepada setengah-setengah mereka yang memikirkan sekolah Melayu itu tiada berfaedah. Kepada mereka yang demikian itu, kemajuan bahasanya yang akan menjadi sebaik-baik pemulih bangsa di dalam pengembaraan hidup di dunia ini dan adat resam yang elok itu boleh ditinggalkan asalkan mereka tahu pandai dalam bahasa asing ((Inggeris)) yang bertapakkan pencarian di dalam pekan. Pekerjaan di kampung yang sebaik-baik kerja itu akan tinggal sahaja.

Jika tiada sekolah Melayu, kita percaya bawa perasaan kebangsaan Melayu yang sangat wajib menjadi sangat kemajuan itu tidak akan bertambah subur seperti yang ada sekarang, bahkan makin bertambah-tambah kurang dan hilang. Jika tiada sekolah Melayu, kita berani kata empat perlima daripada orang-orang kita Melayu yang di dalam kampung ((yang tidak berpelajaran Inggeris)) mereka harus tak dapat mengecap nikmat pelajaran dan ilmu -- baik di dalam ugama maupun dunia seperti yang ada sekarang, melainkan tinggal jahil dan tidur lenyak begitu sahaja. Dan mereka tak tahu apa-apa yang akan berlaku di dalam negeri dan kaum bangsanya.

Jika tiada sekolah Melayu itu jadi menguatkan kubu-kubu kebangsaan Melayu dari serangan bangsa Malayan itu tentutlah bangsa itu tiada mengadakan undang-undang politik dan sebagainya yang dengan senang sahaja mereka itu dapat mempolitikkan kebangsaan Melayu yang bangang tiada mengetahui hal negerinya dari wasitah membaca surat-surat khabar Melayu sendiri.

Sungguhpun orang yang tamat dari sekolah Melayu itu tak layak menjadi Manager Bank, Penjaga Wang, tetapi kalau perasaan tetap tentu nampak bahwa perjalanan yang dituju oleh sekolah Melayu itu tidak lain lagi melainkan menyediakan tapak bagi benih kemajuan yang lain sama juga seperti keadaan orang yang lulus Senior Cambridge -- itupun setelah belajar di dalam masing-masing cawangannya yang khas. Pelajaran Melayu tapak semaian yang boleh subur ditanamkan di dalamnya beberapa jenis benih kemajuan yang lain.

Dengan perkataan ini, bukanlah sekali-kali kita pandang rendah atau memikirkan tiada berguna pelajaran bahasa asing itu terutama Inggeris yang dituntut oleh beberapa ramai anak-anak bangsa kita, bahkan diharap bertambah-tambah maju dan tinggi lagi pengajiannya terutama tentang ilmu sains; mereka itu dimaksudkan menjadi orang-orang yang bekerja dengan kerajaan, jadi pengetua, perusahaan, siasah, pengarang, doktor, lawyer, dan seumpamanya untuk menjadikan anggota kemajuan kehidupan yang luas dan besar bagi kaum bangsanya.

Anak-anak muda yang lepas daripada sekolah Melayu itu buat kerja dan cari nafkah dengan jalan apa yang boleh iaitu pencarian di masa ini. Pada lintasan penulis tidak lain daripada dikembangkan pelajaran yang dibawa dari sekolah itu seperti berucuck tanam, berniaga, dan perusahaan tangan. Itu semuanya pekerjaan yang senang dapat wang dan senang dikerjakan. Wasallam.

Oleh "Putera Timur".