Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1934, p.418-419

Feature Article.

Betapa Hendak Memajukan Karangan Anak Negeri.

Sebagaimana yang tersebut pertanyaan di kepala rencana ini, eloklah pihak yang berkuasa mengambil berat sedikit. Oleh sebab pada abad yang akhir ini nampaknya pendita-pendita bangsa kita masing-masing tertewas pada mengeluarkan buku-buku yang berfaedah kepada kaum bangsanya. Tetapi sekiranya tidak dibantu oleh pihak yang berkuasa dengan hargakan otak mereka-mereka itu, barangkali juga harus-harus berlapuklah di mana-mana ceruk dengan sia-sia jua. Sedangkan masing-masing dewasa ini hendak mengeluarkannya itu tentulah beroleh beberapa kelelahan dan kesengsaraan hendak menyudahkan sebuah-sebuah buku itu. Di sini penulis terangkan sedikit bandingan di sebelah negeri-negeri yang telah beroleh kemajuan semuanya; masing-masing menggunakan serba jenis perjalanan dengan bahasa negerinya seperti Jepun, pada permulaan pergerakan itu. Ini menggunakan buku-buku pelajaran dengan bahasa Barat juga. Oleh sebab guru besarnya diambil dan didatangkan dari Barat belaka untuk mengajarkan anak negerinya. Maka pada tahun 1884 masehi, Jepun telah memasukkan pelajaran bahasa Inggeris. Maka dari masa inilah Jepun beroleh jaya kemajuan tentang karang mengarang, terjemah menerjemah buku-buku dan mengarang akhbar-akhbar. Apakah sebab kerajaannya tiada menggunakan buku-buku pelajaran negerinya dengan bahasa Barat lagi pada masa ini? Dan adakah pihak kerajaan sedang berangan-angan akan menggunakan dan memperhargakan bahasa Melayu iaitu bahasa negerinya?

Penulis percaya jika digunakan sebagaimana fikiran ini tentulah akan kembali faedahnya kepada bumi Melayu juga kelak, dengan tiada syak lagi. Maka jalan hendak menggunakan fikiran ini mudah sahaja, dengan tiada payah membangunkan sekolah-sekolah khas untuknya lagi, bahkan dengan sekolah-sekolah yang ada sekarang juga dapat dijalankan dengan beransur-ansur sedikit-sedikit agaknya tiada sempat sepuluh tahun ke hadapan ini tiadalah kita berkehendak lagi kepada buku-buku pelajaran bahasa asing. Oleh sebab masing-masing yang telah lulus dalam pelajarannya atau mereka yang menjadi guru di sekolah-sekolah bahasa asing itu syor oleh kerajaan dengan menyuruh pengarang atau menterjemahkan buku-buku pelajaran yang diajari dengan bahasa asing itu kerana akan digunakan kelak.

Maka dewasa itu tentulah akan ternampak masing-masing berlumba pada mendapatkan keharuman nama bagi pihak kerajaan dan rakyat berkenaan dengan karangannya itu. Ada yang menyambut pada pendahuluan bukannya mengatakan telah diaku oleh Pejabat Pelajaran menggunakannya dalam darjah anu, dan ada pula yang mengatakan telah bersetuju dan bersepadan dengan pelajaran darjah anu, macam-macamlah akan kita dengarkan pendita-pendita dan pengarang-pengarang menyambut dalam bukunya dengan kerayaan hati kelak. Bukanlah dikehendakkan terjemah itu cuma pada pelajaran Senior Junior sahaja, bahkan pada serba serbi cawangan pelajaran pun sangatlah diharap juga seperti doktor, lawyer, engineer, dan lain-lain lagi daripada segala cawangan ilmu pengetahuan. Sedangkan bahasa asing itu janganlah ketinggalan pula di belakang seperti bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman dan lain-lain. tetapi untuk sementara eloklah cubakan sebuah di sekolah dahulu dengan mengadakan pelajaran-pelajarannya dengan bahasa kita sendiri serta dikhaskan dua orang guru pertamanya guru bahasa Arab; iaitu untuk bakal menghalusi berkenaan dengan ugama Islam yang maha suci ini. Kedua guru bahasa Inggeris untuk bakal menghalusi perkara-perkara yang lain. Kelak barulah diansurkan sedikit pada mengadakan bahasa-bahasa yang lain. Tetapi hendaklah buku-buku yang lain dipelajari itu mesti dikerahkan dari masa ini pada menterjemah atau mengarangnya. Jika sudah berlaku seperti fikiran ini nak maju pun majulah kalau tidak, entalah! Dan dewasa ini barulah diberi nama ((mengutamakan bahasa sendiri)) kalau tidak penulis belum percaya lagi pihak orang lain, entahlah?

Demikianlah penulis merabahkan qalam untuk sementara mendengar fikiran pendita-pendita dan ahli-ahli akal fikiran yang sempurna tentang perkara ini dengan mengucap berbanyak-banyak terima kasih kepada tuan penyunting adanya. Wasallam.

Al-Azhari Terengganu.