Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Apr 1935, p.140-142

Surat Kiriman.

Cadangan Kepada Majalah Guru Menungkan pada kebiasaan Majalah.

Kita tak dapat menyalahkan dia itu dan tak membenarkan dia ini. Perkara cadangan pada Majalah Guru ini bersabit mulanya di Warta Malaya Malaya oleh "Guru Muda". Kemudian jawab dan disindir sekali oleh "Adik Guru Muda" di Majlis pula.

Encik Muhammad Yusuf bin Ahmad menyampuk dalam Majalah Guru ini, baru selesai.

Saya percaya Si Penulis yang mencadangkan isi Majalah Guru ini itu ialah semuanya kaum guru; tetapi perkara yang dicadangkan itu; yang mana Encik Muhammad Yusuf bin Ahmad ((Dipertua Persekutuan Guru-Guru Melayu Selangor)) sendiri tidak bersetuju yang Majalah Guru ini semata-mata dibukakan ruangannya kepada guru dan menceritakan hal-hal yang bersangkut-paut dengan guru sahaja.

Bagi kita, seseorang daripada bukan kaum guru tetapi kita pernah juga mengambil dalam ruangan Majalah Guru ini tanda-tanda mengah-mengah sahaja, bukannya pula kita berkehendak benar natijah yang terpuji daripada kaum guru, di atas mana tulisan kita ini dan yang sudah-sudah, Majalah Guru sudah berjalan menjelang ke tahun yang ke dua belas; iaitu menunjukkan keteguhan perjalanannya daripun hayatnya masa di Seremban lagi dalam asuhan pengarangnya Encik Muhammad bin Datuk Muda CH, yang bersara hingga beralih ke Kuala Lumpur dididik oleh pengarangnya Encik Muhammad Yasin bin Makmur. Kebolehan Majalah Guru ternyata dengan rupa yang tegak, cekap, sajak, modern dan popular.

Dengan cadangan "Guru Muda" itu, kita sekali-kali tiada gusar tetapi wajiblah kita menungkan pada kebiasaan majalah ini, bukan patut "Guru Muda" itu menunjukkan mekar dengan keras kepala melainkan hendaklah difikirkan halus-halus dan lebih jauh. Kita tau adalah "Guru Muda" telah mencontohkan dengan Majalah Cenderamata di Kolej Tanjung Malim khas pada guru sahaja; dengan itu hendak dibawanya kepada Majalah Guru. Kita sangat dukacita manakala Majalah Guru ini terbuka pada guru sahaja, padahal kita sendiri ((beberapa ramai orang luar)) telah membaca dan berjinak-jinak dengan majalah ini semenjak dari mula-mula zahirnya lagi hingga masa ini dan kita telah terasa enaknya apa-apa yang ada dikandungan perut Majalah Guru.

Jika terwajib Majalah Guru ini terbuka kepada guru sahaja dan tidak terbuka rencana-rencananya dengan orang luar dan fikiran luar semata-mata dari hal guru, maka terpaksalah beberapa ramai pembaca-pembaca dan berpuluh-puluh penulis-penulis khas orang-orang luar memberi selamat jalan kepada Majalah Guru.

Sekiranya telah patut begitu maka sewajibnya pula Encik Guru Muda dengan serta-merta ((atau boleh urus sendiri?)) beri tau kepada Manager Majalah Guru memotong segala langganan-langganan orang-orang luar dan wakil-wakil khas yang sedia itu, artinya jika Majalah Guru tidak berkehendakan laba kerana diketahui majalah ini terdiri dengan modal guru sendiri.

Bila ruangan Majalah Guru berisi dengan perkhabaran guru bersara, anak guru itu berkahwin, sekolah sana dipukul rebut, "Guru Muda" itu dipegang janda malam Jumaat dahulu dan sebagainya ... mengajar darjah itu begini mengajar darjah ini begitu, darjah lima patut dihantar ke Kolej kesada-kesadanya* [?].

Maka betapalah hal-hal ini diketahui orang luar. Jika penulisnya tidak berkehendakan orang luar baharu perkaranya pun tak haruslah dibaca oleh orang luar pula. Hal itu ada baik dan kita sangat setujui dengan Majalah Guru yang berkeadaan seperti sekarang ini sentiasa membawa fikiran orang luar yang bukan guru dan fikiran guru-guru jua.

Bolehkah ditahan jalan yang elok faedah ramai itu?

Atau didiamkan semata-mata hal guru sahaja?!

Memang kita percaya Majalah Guru tidak berkurangan penulis-penulisnya tetapi jika terhak pada guru sahaja, bila jadi akan datang guru itu bermacam-macam helah kerja banyak hendak menulis oleh itu kita suka lagi hendak menentang isi Majalah Guru dengan sifat dibebaskan sahaja siapa-siapa menulis ke dalamnya dan isi-isinya seperti yang ada sekarang -- jangan balik-balik hal guru gaduhkan tak ada rumah dan tiada diperikan kerajaan terpaksa menyewa sahaja dan sebagainya .....

Jika sekiranya Majalah Guru dapat dibebaskan diharap ia akan tekun berjalan seperti biasa menurut pepatah:

Sebuah batu yang duduk tekun itu lama-lama kelak akan diliputi oleh lumut yang tebal sebaliknya kata bidalan Inggeris,

"Rolling stone gathers no moss".

Dengan itu, sabarlah dahulu tentang dengan kebebasan majalah ini ((Encik Bakariah)).

((Tujuan Majalah Guru ini hendak merafakkan ikatan di antara sekalian guru-guru Semenanjung hendak menambahkan pengetahuan dan merapatkan guru-guru dengan orang-orang yang bukan guru supaya sekaliannya bersekutu dan tolong menolong. Majalah Guru sedia terbuka kepada guru-guru dan tuan-tuan yang bukan guru. M.Y.))