Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1935, p.31-33

General Article.

Usaha Tekun dan Jimat Cermat.

Dalam masa orang-orang Melayu kita tengah berkeluh kesah hendak melayak dan memadankan dirinya sebagai tuan punya yang sebenar bagi negeri ini bukannya sahaja tuan punya pada nama dan sebutan tetapi jua pada hakikat dan keadaannya sekali, maka tidaklah ada yang patut lebih diutamakan oleh mereka melainkan usaha tekun dan jimat cermat.

Usaha tekun dan jimat cermat itu mesti berjalan dengan seterusnya, tidak terbantut oleh Hari Raya, tidak terhalang oleh kenduri kendara dan tidak terlintang oleh saudara mara.

Selagi kebanyakan orang-orang kita Melayu tidak rajin, tidak usaha dan tidak tekun menjalankan kerja-kerjanya, selagi mereka itu kenalkan jimat cermat itu hanya dengan menyebut di mulut dan tidak dibuat dengan betul dan selagi mereka itu mudah terbantut dan terlalai pekerjaannya dan cita-citanya oleh sebab Hari Raya, kenduri-kendara, saudara-mara, menantu-tua* dan bersuka raya, maka selama itulah teriak tangisan di surat-surat khabar dan majalah-majalah Melayu yang setiap-setiap hari masa ini mengira-ngira kelebihan bangsa asing dan membayang-bayang kekurangan bangsa sendiri itu akan tinggal jadi cacar-cacar-marbah sahaja.

Ucapan-ucapan kesukaan yang dilafazkan pada Hari Raya itu dan makanan, pakaian serta perhiasan yang ditunjukkan pada Hari itu bukanlah sekali-kali maksudnya kita mesti hidup dan berusaha semata-mata kerana hendak "Hari Raya", apabila seseorang mengucapkan Selamat Hari Raya bukanlah maknanya yang ia mengucapkan atau menyatakan supaya dibelanjakan duit selagi-lagi ada kerana Hari Raya atau supaya dihiaskan segala pandangan yang diperoleh dengan titik peluh selama setahun itu dengan berHari Raya sehari.

Semua orang pun tahu yang demikian itu bukan maksudnya tetapi yang kebanyakan kerap berlaku di antara kita ialah begitu; boros dan habur selama dua tiga hari atau seminggu dari terbit bulan Syawal dan kering sesak hingga bergadai dan berjumpa Benggali sebelum pun timbul bulan yang satu lagi, tiap-tiap orang memang berhaj bersuka-suka dan berHari Raya, tetapi mahulah dengan berhad dan bersempadan, bukannya sahaja pada masa Puasa seseorang itu patut menahan diri dan nafsunya, tetapi jua pada masa berHari Raya dan masa bersuka-suka seseorang itu patut tahu menahan dirinya yang sekadar had yang sederhana.

Sia-sia latihan menahan diri yang telah dijalankan sebulan sekiranya sekalian bekas-bekas latihan itu akan runtuh dalam sehari Raya itu! Puasa dan sedekah yang kita kuatkan dalam sebulan-sebulan Puasa itu ialah sebaik-baik latihan dan amalan yang boleh memuji umat Melayu kita kepada perangai-perangai yang mulia seperti menahan nafsu, mengeraskan cita-cita, menguatkan tekun, membiasakan jimat-cermat, dan menjauhkan haloba dan tamak yang senantiasa mengira-ngirakan untung dan faedah diri sendiri sahaja. Oleh itu jagalah jangan latihan yang sebegitu elok boleh jadi rosak dan jahanam sekali apabila tiba Hari Raya.

Hari Raya itu tidak patut dijadikan "Hari Huru Hara" yakni hari membuat hutang, tetapi patut hari itu dijadikan hari menyelesaikan segala hutang-hutang antara sama-sama manusia seberapa yang dapat, baik hutang itu hutang dosa atau hutang ringgit dan lain-lain.

Hutang dosa bolehlah diselesaikan dengan bermaaf-maafan tetapi hutang duit di kedai Cina atau pada Benggali dan Ceti tidakkan boleh terhapus dengan asap cerutu Hari Raya yang sebesar ibu jari kaki!

Surat-surat "Promissory Note" dan I.O.U tidakkan boleh jelas diselesaikan semata-mata dengan memberi salam dan mengucup-ngucup tangan! Lagipun, siapa dia Cina, Ceti dan Benggali itu yang hendak pergi didapatkan pagi-pagi Hari Raya itu?

Hari Raya itu patut dijadikan hari membuat dan membina cita-cita yang baru untuk dibuat dan diikut dalam masa setahun yang akan datang, bahkan Hari Raya itu patut dijadikan hari mengira segala kebaikan dan keburukan yang telah diperbuat selama setahun yang telah lalu dan hari mengubah atau membaiki segala peraturan ((Program)) hidup supaya menjadi lebih baik dan lebih sempurna lagi dalam masa yang akan datang.

Walaupun cita-cita dan peraturan hidup yang baru dicadangkan pada Hari Raya itu maka tidaklah cukup lengkap sekiranya tidak termasuk di dalamnya "jimat cermat". Pelajaran pengetahuan perniagaan perusahaan kemerdekaan dari hutang dan kelayakan diri sendiri untuk membuat sesuatunya, buat bertanding dengan bangsa-bangsa asing di negeri ini, tidakkan boleh ditepati dengan jaya sekiranya kita tidak menghargakan "jimat cermat".

Biarlah usaha tekun dan jimat cermat itu menjadi cadangan dan cita-cita yang terbina pada Hari Raya ini dan dengan pedoman cita-cita itu kita akan senantiasa bergerak dan mara ke hadapan di dalam pejalanan umat kita hendak menjadikan diri kita layak dan lebih-lebih lagi layak membuat segala kerja di dalam negeri kita sehingga kawan-kawan kita yang mengatakan kitalah tuan dan kitalah anak negeri yang sebenar di bahagian bumi yang kaya dan permai ini. Tidaklah kosong kelompong sahaja sehingga boleh dibuat kandang oleh bangsa-bangsa lain dipukul dan dipermainkannya bila mereka teringat hendak bersuka-suka dan menari-nari!

Allah Selamat dan Panjangkan Umur Raja-Raja Kita dan kekalkan kerajaan-kerajaannya yang senantiasa kasih dan ingin hendak melihat segala rakyatnya maju jaya, dan layak menjadi kaum yang terpuji di dunia ini.

Diucapkan Selamat Hari Raya kepada sekalian Tuan-Tuan Pembaca.

Anak Negeri.