Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1935, p.263-265

General Article.

Apa Pekerjaan Orang Melayu Kampung?

Saya seorang pengembara yang sudah biasa berulang-alik dari utara dan ke selatan Tanah Melayu. Dalam perjalanan saya selalu melalui pekan dan kampung-kampung Melayu pada berbagai-bagai waktu. Maka di dalam tiap-tiap waktu yang saya tempoh itu timbullah perasaan saya mengatakan orang Melayu yang ada di Semenanjung ini orang yang sehabis senang cita-cita dan sabar dengan perasaan apa yang terjadi di kelilingnya. Walau di mana tempat pun dalam Semenanjung.

Di mana tempat pun saya pernah berjalan, baik dalam pekan atau kampung Melayu, jika pukul empat pagi saya berjalan melalui barang diaman tempat pun maka di dalam hawa yang sejuk dan gelap serta keadaan sunyi yang seperti itu didapati tiap-tiap orang yang saya jumpai kelihatanlah orang-orang Cina dan India dengan terkejar-kejar ke tempat kerjanya: setengah mereka memakai pakaian yang kotor dan bergantung dengan baldi-baldi atau bakul. Romannya pada mukanya nyatalah mereka itu sekalian ahli pencari wang kerana hidupannya di Tanah Melayu. Saya tak pernah jumpa ((jarang)) dengan orang-orang Melayu baik tua atau muda yang tersera-sera demikian. Melainkan segala orang Melayu dalam waktu yang disebut adalah mereka sedang tidur dengan nyenyak serta berselimut dengan kain panjang dua tiga lapis.

Kenyataan yang saya dapat dari dua tiga orang sahabat saya -- mengapa orang-orang Melayu itu tidak keluar menuju tempat kerjanya dalam waktu demikian? Jawab mereka, kerana masa itu orang Melayu masih mengantuk lagi lantaran baru tidur pukul 12 yang lalu untuk berjaga-jaga bermain terup dan setengahnya balik dari masjid berlabun-labunkan coupon getah dan bercerita-cerita akan hal-hal akhirat hidup mati, syurga neraka, dosa pahala, halal, haram dan sebagainya!

Bila masanya orang-orang Melayu itu baru kelihatan?

Pukul 7 pagi barulah kelihatan seorang berdua orang Melayu itu keluar dengan dua tiga joran kail, dan kadang-kadang sebilah parang putting atau dua buah baldi getah. Itupun mereka keluar dengan berbungkus-bungkus badannya dengan kain sarung berjalan dengan pergerakan yang lembut serta mengisap beberapa batang rokok.

Mereka-mereka ini saya puji adalah juga perasaan sedikit daripada bangsa asing yang lebih gemar mencari wang, tetapi saya sangat hairan kerana kelihatan beberapa buah rumah yang di tepi jalan itu dua tiga orang muda yang tegap tubuhnya masih berselubung dengan kain tidur dan duduk mencangkung di muka tangga terpisut-pisut [?] dengan tiada apa tujuannya lain dari berjalan menuju kedai kopi untuk mengisi perutnya.

Orang bangsa asing yang bekerja sedang tekun. Maka masa itulah anak-anak muda Melayu kampung tercongak-congak di kedai kopi!

Pukul 10 atau sebelas pagi barang di mana pun dalam dunia ini waktu itu semua orang sedang bekerja keras kerana kerjanya baik kerja sendiri atau makan gaji, maka pada masa itulah orang-orang muda Melayu membanyakkan duduk di rumahnya atau di kedai-kedai kopi atau di satu tempat perhimpunan orang-orang muda dengan tidak ada satu pekerjaan niat hendak mencari wang. Saya jumpa selonggok-selonggok di bangku sini dan 7, 8, orang di bangku lain bermain-main terup Keling dengan riuh suaranya, 300, 2,3,4 dan sebagainya. Setengahnya pula jika musim bermain gasing sudah menjadi satu gelanggang.

Anak muda sekalian itu saya fikir ialah sebesar-besar kerugian kepada segala anak-anak Melayu -- kerana mereka lupa adalah dalam ketika itu segala orang sedang bekerja tunak kerana nafkah dan pencari wang.

Alangkah kasihan saya melihat jika 10 orang anak Melayu di kampung-kampung itu membuat pekerjaan, tentulah tak dapat tiada menguntungkan orang Melayu sendiri. Ada juga orang mudanya itu bekerja yang tidak berakal langsung dengan menunggu buah manggisnya dua pokok atau durian sepokok dijualnya dengan membuat sebuah pondok kecil di tepi jalan ditunggunya dari pagi hingga petang! Adakah terfikir olehnya bagaimana ia boleh melakukan jualannya itu supaya lekas laku dengan muka jalan menggerakkan tubuhnya berjual dan berfikir hal-hal lain? Oh tidak!

Mereka tersengih-sengih saja bila orang bermotokar lalu di jalan dengan muka yang sadin dan berharap pula orang sudi singgah membeli sahaja. Apalagi jika orang yang membeli itu membawa dua tiga orang perempuan muda. Maka ketika itu tampaklah ia menunjukkan kelakarnya dan temberangnya seperti terkulat-kulat dan tergaru-garu macam beruk kena belacan!

Maka oleh sebab yang saya sebutkan di atas, maka rasanya sudah patutlah orang-orang Melayu itu sedarkan hal kemiskinan mereka. Orang Melayu patut ingat -- Cina dan India yang ramai di negeri ini telah membungkus akan nikmat wang yang ada di dalam Tanah Melayu. Orang Melayu patut ketahui Tanah Melayu ini ialah Tanah yang penuh dengan perbendaharaan wang.

Tidak satu jalan dan satu rantai tanah di sini yang tiada boleh diikhtiarkan jadi wang: bercucuk tanam dan sebagainya. Tidak ada satu kayu kayan dalam Semenanjung ini yang tiada berguna, melainkan semua terpakai! Sehinggakan kayu-kayu dalam hutan sampai ke kampung dan lalang pun boleh dijadikan wang.

Orang Melayu tidak mau bekerja, orang Melayu hatinya puas dengan apa yang ada di kelilingnya: tetapi bengis mereka manakala ianya telah bangsat dan menjadi kuli orang. Dan mendayu-dayu orang Melayu itu bila kerajaan negeri ini tiada memandang harapan orang Melayu, pada hal mereka lupa adalah orang Melayu itu selalu tidak menghargakan jasa kerajaan.

Dengan pemandangan yang ringkas ini sayogianya orang Melayu patut telah ingat dan buangkan perasaan dan tabiat membuang waktu itu.

Dalam tiap-tiap detik atau masa itu ada mengandung beberapa hal yang boleh terjadi. Cuba ingat dalam kata-kata orang yang telah maju, "Masa itu ialah Wang". Usaha itu ialah Gajian! Alpa dan lalai itu menumbuhkan api di atas kepala. Tidak menghiraukan di keliling itu halipan akan masuk dalam seluar!

Sangkut ini saya rintikkan rencana ini moga-moga orang Melayu wajib mengerti apa-apa yang kita sebut kerana kata-kata yang saya sebut ini bukanlah satu perkara yang diniatkan supaya jadi-jadi tetapi benar saya sebut saya jumpa!

((Pengembara)).