Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1935, p.265-270

Feature Article.

Tun Seri Lanang dan Munshi Abdullah.

Orang-orang Melayu di Semenanjung ini baik di Indonesia sekalipun memang kenal akan nama pengarang buku-buku Melayu yang masyhur sebagai Tun Seri Lanang yang mengarang dua tiga buah kitabnya; kitab pelayarannya dan kitab Abdullah sendiri.

Maka kedua pengarang ini memang patut diucapkan setinggi-tinggi pujian di atas jasanya atas Bahasa Melayu dalam karangannya itulah yang hampir menjadi tauladan pada segala penulis-penulis Melayu zaman sekarang. Walaupun pengarang-pengarang atau penulis-penulis zaman ini telah mengarang beberapa buah buku dari berbagai-bagai haluan seumpama cerita Asyik-Mashyuk, berbagai-bagai pengetahuan, berbagai-bagai perasaan, berjenis-jenis lain lagi, maka tidaklah dapat tinggi darjatnya sebagai kedua hikayat yang telah kita sebutkan dahulu.

Apakah sebabnya dan mengapa?

Itu sangat payah kita hendak menjawabnya. Tetapi menurut perasaan kita adalah Tun Seri Lanang yang mengarangkan Sejarah Melayu pada tahun 1612 itu dan Munshi Abdullah yang mengarang beberapa buah kitab yang telah dipandangnya dan dirasanya itu ialah mereka yakin dan bersungguh-sungguh mengarang atau menimbulkan namanya sama ada cerita yang dibuatnya itu betul atau tidak. Maka bagi pujangga-pujangga Melayu di Semenanjung zaman ini walaupun mereka boleh mengarang seberapa sedap dan ringkas susunannya, tetapi payahlah hendak melawan akan jenis hikayat yang dikarangkan oleh kedua pengarang yang masyhur itu.

Kitab-kitab yang dikarangkan oleh kedua pengarang itu di zaman ini sudah timbul berbagai-bagai kritik kepada perasaan pengarang baru tentang kitab-kitab ini. Di bawah ini kita akan menyebutkan setengah daripada perasaan kita iaitu kemudian daripada kita telah baca serta siasat akan kitab-kitab yang tersebut.

Sejarah Melayu.

Kitab Sejarah Melayu ini ialah telah menceritakan tawarikh-tawarikh Raja-Raja Melayu dari zaman purbakala semenjak Raja Suran hingga boleh disusur jejak kepada zaman ini. Di dalam cerita-cerita itu kemudian daripada telah dibandingkan dengan beberapa tawarikh-tawarikh bangsa-bangsa asing setengahnya betul menepati sebagaimana zaman-zaman raja-raja Melayu itu memerintah sesuatu tempat. Akan tetapi, setengahnya pula telah tiada betul sama sekali. Dari itu, kita fakir adalah orang-orang kita Melayu zaman dahulu itu tiadalah sekali tahu menggunakan tawarikh-tawarikh di dalam karangan melainkan memakai peringatan sahaja, iaitu manakala kita bandingkan dengan pengarang-pengarang bangsa yang lebih maju masing ada menggunakan tawarikh-tawarikhnya yang betul dan bila masanya sesuatu hal itu berlaku.

Sungguhpun demikian, maka adalah pula satu perkara yang wajib kita percaya di dalam Sejarah Melayu itu tentang kelakuan dan tabiat seorang raja di dalam pemerintahannya -- zalim dan aniaya -- adil dan pemurah -- serta saksama -- bodoh dan tiada berpelajaran -- dan sebagainya.

Maka sekalian itu ialah jadi bandingan kepada kita yang hidup di zaman ini, bagaimana dikehendaki seorang raja adil dan saksama dalam memerintah negeri sebagai Sultan Mansur Shah memerintah Melaka itu yang mana boleh membesarkan nama negeri Melaka hingga sudut ke sudut Semenanjung Tanah Melayu dan bagaimana pula supaya boleh menjadikan negeri kita damai dan dimuliakan oleh raja-raja negeri-negeri lain -- seumpama Sultan Mansur Shah itu juga hingga tahu merendahkan diri menjadi menantu Raja Cina dan berbaik-berbaik dengan lain kerajaan Melayu pada zaman itu. Maka itu menandakan adalah baginda telah memikirkan supaya negerinya elok dan boleh berbaik-berbaik dengan negeri yang boleh menjadi seteru raja.

Orang-orang Besarnya.

Tidak hairan jika Ramsay MacDonald telah berusaha mengamankan dunia supaya British dikemukakan orang lain. Maka begitulah juga tawarikh orang-orang besar Melayu sebagai Bendahara Paduka Maharaja yang telah menimbulkan kasih sayang segala anak negeri kepadanya kerana akalnya yang bijak; dibuatnya baik bangsa-bangsa asing, diangkat-angkatnya dan dikurniakannya anugerah kepada orang yang tahan berperang sebagai Laksamana Hang Tuah dan Panglima-Panglima lain. Sekarang dengan mutu yang seperti itulah sepatutnya orang-orang besar kita Melayu mengambil tauladan dan bagaimana orang-orang besar Melayu dahulu membesarkan negerinya dengan taat dan yakin akan kerajaannya.

Kemudian daripada orang-orang besarnya pula kedapatan oleh kita beberapa rakyat-rakyat raja Melayu yang taat dan tidak mahu derhaka. Sebagai Hang Tuah siapa dia seorang Laksamana peperangan raja-raja Melayu zaman dahulu yang besar kuasanya dan gagahnya sebagai Napoleon di negeri France itu. Sekarang segala dunia ada mengadakan satu peringatan kepada segala Panglima Perangnya yang gagah dan berjasa pada negerinya. Maka sebagai Hang Tuah yang memang orang-orang Melayu tahu bukan umum lagi -- ialah seorang hulubalang Melayu yang termashyur daripada segala hulubalang Melayu di dalam tawarikh orang-orang Melayu dunia ini.

Rasanya jika ada orang-orang yang suka mengadakan satu kemegahan khas untuk Hang Tuah, maka kita ucapkan selamat buat kita sokong -- Hang Tuah! Hang Tuah! Hang Tuah! Sebesar-Sesarnya hulubalang Melayu yang jadi sebut-sebutan pada lidah orang-orang Melayu. Jika diadakan satu nyanyian sebagai ini kita pun sangat setuju.

Hang Tuah! Hang Tuah! Hulubalang berakal! Handal dan Pendekar lagi tukul ;

Keris dan Lembing dijadikan tangkal Setia dan taat kerja pukul |

Seantero Melayu tiada bertara Sikap berani lagi perwira , Nama kenang lanang dan dara , Disematkan di hati dihebahkan di udara |

Orang-orang yang lebih maju seperti di benua Eropah zaman ini bermegah-megahkan hulubalangnya seperti Hitler dan Mussolini, Napoleon dan Nelson, diperbuatkan nyanyi di dalam satu hari kesukaan orang-orang perangnya; maka apa pula salahnya Hang Tuah dijadikan suatu nyanyian khas bagi Orang Melayu?

Raja-Raja dan Zalimnya.

Menangislah kita bila kita mendengar akan cerita-cerita dalam Sejarah Melayu itu bagaimana kezaliman Sultan Mahmud!

Pada hal negeri Melaka itu sebuah daripada negeri yang terbesar dan masyhur di dalam dunia zaman itu. Maka mengapa boleh jatuh?

Itu tidak lain menurut bunyi cerita itu dengan sekali terka sahaja negeri Melaka itu kalau tak dilanggar Portugis pun sememang jatuh dengan berbagai-bagai sebab dari kezaliman Sultan sendiri. Kita rasa sekiranya sultan itu adil dan saksama lagi berpengetahuan tentulah negeri Melaka itu masih besar lagi dan berkuasa besar di Semenanjung ini. tidak salah sebagai negeri Siam juga yang ada sekarang.

Tun Seri Lanang-lah yang mengadakan cermin perbandingan kita, meskipun cerita-cerita di dalam Sejarah Melayu itu tiada berapa betul, tetapi adalah satu pujian yang sangat kita hargakan masa ini.

Bahasa-bahasa dalam karangannya.

Bahasa-bahasa dalam susuk karangan di Sejarah Melayu itu memang jati Melayunya dan sebenar-benar terang dan sedap dibaca. Bahkan tidak ada sebuah pun kitab-kitab bahasa Melayu yang lebih dihargakan lain daripada Sejarah Melayu. Orang-orang Melayu sekarang kita telah lihat beberapa orang telah memburukkan bahasa-bahasa Melayu orang dahulu dan sengaja dipetiknya rantau ((ranting)) ayat-ayat yang buruk dalam Sejarah Melayu; tetapi mengapa mereka tidak mahu menunjukkan tentang mana yang sedap dan terang dan bahasa Melayu yang betul dalam Sejarah Melayu itu?

Cuba bandingkan tentang Sultan Mahmud hendak meminang Puteri Gunung Ledang:

"...Maka Tun Mamat pun bertemu dengan satu taman terlalu indah perbuatan taman itu, dilihatnya oleh Tun Mamat serba bunga-bungaan dan pelbagai buah-buahan ada di dalam taman itu, sekaliannya dengan jambangan pelbagai warna. Setelah dilihatnya Tun Mamat datang segala burung di dalam taman itupun berbunyi pelbagai bunyinya ada yang seperti orang bersiul, ada yang seperti orang berbangsi, ada yang seperti orang bersyair, ada seperti orang yang berbait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam, limau manggar pun bersorak, anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum dan bunga air berpantun katanya:

Sanya di sini gigi menimbang Hendak memakan ikan telaga ; Lagi lemak telur berlinang , Sisiknya lekat kepada dada |

Maka disahut oleh Bunga Tanjung Biru, katanya:

Dang Nila memangku Puan Berembang buah pedada ; Adakah gila bagiMu Tuan , Burung terbang dipipiskan lada." |

Sekianlah sedikit kita petik tentang mana kita rasa betul sedap bahasanya dan bermakna pantunnya, belum ada orang yang boleh mengarang pantun yang begitu dalam maknyanya dalam tiap-tiap satu rangkap itu jauh perginya dan betul, cuba perhatikan ia atau tidaknya?

Kita tahu orang-orang sekarang rama boleh mengarang, tetapi belum sampai kepada had dan jangkanya menarik perasaan yang betul di dalam Bahasa Melayu. Cuba perhatikan beberapa kitab-kitab karangan pengarang-pengarang yang baru ini, jika hendak menyebutkan sesuatu hal itu tidak lemak dan jika mengarang sesuatu syair itu, tidak dalam maknanya walaupun ia menceritakan sesuatu kejadian yang betul dirasanya sekalipun. Dalilnya jika orang sekarang betul boleh mengarang gurindam atau pantun atau syair yang sedap -- mengapa pantun dan dan .... Itu tiada masyhur?

Jika mengarang pantun hari ini maka esok sudah hilang!

Itu menunjukkan tiada tarikan yang sedap semata-mata kulit sahaja baru.

Pantun dalam Sejarah Melayu perhatikan -- sana sini gigi menimang -- itu berarti Sultan Mahmud itu oleh sebab sangat hendaknya akan Puteri Gunung Ledang itu, adalah sebagai giginya sentiasa menimbang hendakkan -- memakan ikan dalam telaga -- Puteri Gunung Ledang yang laksana ikan yang sangat sedap.

Cerita ini walaupun bohong tetapi kita ambil sedapnya karangan Melayu jati dan pengarang yang masyhur sebagai Tun Seri Lanang itu!

Hikayat Abdullah.

Hikayat ini bila dibaca tentang Abdullah belayar ke Kelantan -- tentang itu tentu ramai orang Melayu menutup muka -- malu! Tetapi adalah apa yang dikatakannya itu betul bagaimana yang dirasa oleh Abdullah akan kerendahan pengetahuan dan kehidupan orang-orang Melayu yang mana Abdullah telah memerhatikan dirinya dan bangsa-bangsa Inggeris lebih elok teratur dan hidupnya dan baik hatinya antara bangsa-bangsa lain. Bukan sebagai cerita Raja Melayu di Kelantan berperang adik-beradik hendakkan sebidang Tanah akan diperintahnya hingga menghapuskan jiwa manusia beribu-ribu!

Maka begitu juga Abdullah menyatakan peri kekuatan orang Kelantan yang dijumpainya: galas yang tiada berwarna dan sebagainya -- ialah betul! Hendak tahu Hikayat Abdullah itulah yang telah mengejutkan orang-orang Melayu semuanya betapa pengotornya orang-orang Melayu itu supaya diubah dengan segera. Hikayat Abdullah yang speech diberikan dan dijadikan bacaan di sekolah-sekolah Melayu itu supaya jadi cermin kepada orang-orang Melayu.

Tentang jasanya tidak sama dengan satu penulis suratkhabar itu dibaca semata-mata oleh orang-orang yang berakal sedia. Tetapi Hikayat Abdullah itu dari kanak-kanak lagi telah dijijik-jijikkannya supaya jangan anak-anak Melayu pengotor sebagai yang telah dijumpai oleh Abdullah.

Sanya, Abdullah awal-awal orang Melayu yang berperasaan baru manakala disiasat betul tidak ada orang-orang Melayu dahulu daripadanya ada berpengetahuan tinggi sebagai ianya. Melainkan kemudian daripada fikiran Abdullah yang telah keluar seperti apa yang sudah kita baca. Kita tahu mujur juga hikayat-hikayat itu sudah sedia tercetak dan masa masyhur Abdullah tiada lagi sudah meninggal dunia; jika sekiranya ia masih hidup, kemudian daripada hikayat itu, telah masyhur, tentu ia akan mati dikerat-kerat oleh orang-orang Melayu yang disebut kotor dan bodoh dalam hikayatnya itu!

Sekarang ini hal Abdullah itu tentang jasanya ada terbahagi dua pihak; satu pihak orang-orang Melayu mengenal nama Abdullah itu dengan sebutan keji dengan alasan Abdullah tak patut dan Abdullah seorang Melayu yang busuk! Kerana merendah-rendahkan bangsanya sendiri.

Dan satu puak lagi memuji-muji Abdullah bagus, iaitu ialah seorang Melayu yang mula-mula sekali berperasaan halus dalam hal kehidupannya. Berani berkata benar dengan apa yang terasa salah di dalam fikirannya tidak menyorok-nyorokkan hal yang betul.

Di antara dua pihak itu kita rasa yang pertama itulah yang tidak betul fikirannya. Jika Abdullah itu busuk hati dan tak patut menyebut-nyebut keburukan orang-orang Melayu, maka tentulah segala pengarang-pengarang suratkhabar Melayu yang masih berjalan sekarang ini pun sama juga salahnya seperti Abdullah jua, perhatikan isi-isi suratkhabar setengah daripada isi-isinya Orang Melayu: pemalas, masih tidur, pengotor, bodoh, dengki, khianat, penakut, dan sebagainya. Oleh itu jika ada orang mengata Abdullah seorang yang jahat menulis tentulah penulis-penulis sekarang lebih lagi daripada itu.

Keris Melayu.