Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1935, p.84-85

General Article.

Persekutuan Guru-Guru Melayu.

Telah termaklum pada tuan-tuan sekalian akan nama persekutuan guru-guru Melayu ini ialah suatu daripada persekutuan-persekutuan Melayu Semenanjung ini yang mana ahli-ahlinya daripada guru-guru Melayu belaka.

Semenjak terdiri persekutuan ini hingga sekarang adalah beberapa riwayat yang menyenangkan hati. Tetapi sedikit dukacita kita atas saudara kita yang menjadi guru di Johor, Singapura, Kedah, Terengganu, Perak dan di Perlis itu masa sekarang belum juga lagi masuk bersatu ke dalam golongan persekutuan guru-guru Melayu ini.

Merasa malu kita pihak guru-guru Melayu semenanjung ini kepada pihak-pihak lain kerana tidaklah patut kiranya semenanjung tanah Melayu yang sekecil ini dan yang sebegitu sedikit bilangan guru-guru Melayunya maka tiada boleh bersekutu dan semuafakat. Soalnya sekali pada hal adalah kita berkediaman pada sekeping tanah sahaja. Tambahan lagi, dalam sedikit masa yang lalu kerajaan telah mempersatukan maktab-maktab di Melaka di mana dalam negeri Perak dan di Johor itu disatukan semuanya ke Tanjung Malim. Inilah suatu daripada jalan-jalan yang rapat yang boleh menjadikan kita sekalian kaum guru-guru sangat wajib bersekutu semuanya.

Tidak guna lagi kita memekik-mekik ke dalam surat-surat khabar mengatakan majulah Melayu .... sedarlah Melayu ... dirikanlah persatuan .... tahankanlah hak-hak Melayu ... jika sekiranya persekutuan yang adapun tidak disokongi dengan kuat dan rapi. Majukan dan sokonglah dahulu persekutuan yang ada ini sehingga sudah menjadi berakar tunjang berbatang besar berdahan banyak berdaun lebat dan sudah pula mengeluarkan hasilnya barulah pula kita biakkan mengikut kadar pendapatan dan yang termampu oleh kita mengadakannya.

Tentang seruan kita pada kali ini adakah kiranya dianggap dan dipermenungkan oleh guru-guru yang belum bersekutu itu?

Fikirkanlah wahai saudara-saudaraku akan kemajuan Melayu yang mana yang terkebawah sekali dari bangsa-bangsa asing.

Sedikit riwayatnya telah kita ketahui -- dalam sedikit masa yang lalu guru-guru dalam negeri Perak telah mengadakan dua kali permesyuaratan kerana hendak mendirikan persekutuan guru-guru yang bersendirian, malangnya terbengkalai sahaja. Menungkanlah balik semula wahai saudara-saudaraku di negeri Perak!

Rose Affandi, Selangor.

((Sepanjang pengetahuan kita di Singapura dan Kedah telah ada persekutuan guru-guru Melayu sungguhpun persekutuan itu belum masuk bercampur bersama-sama mempunyai Majalah Guru. Diharapkan negeri-negeri lain yang belum ada persekutuan itu tidak akan berpuas-hati dengan ketiadaannya sahaja. P.))